SPEKULASI PERPINDAHAN PEMAIN NEGERI SEMBILAN MUSIM 2012 | SKUAD NEGERI SEMBILAN 2012

SPEKULASI PERPINDAHAN PEMAIN NEGERI SEMBILAN MUSIM 2012 | SKUAD NEGERI SEMBILAN 2012

0 36

SPEKULASI PERPINDAHAN PEMAIN NEGERI SEMBILAN MUSIM 2012 | SKUAD NEGERI SEMBILAN 2012 | Kejayaan menjulang Kejuaraan Piala Malaysia 2011 memang suatu yang menerujakan. Namun belum lagi habis berarak dengan piala kemenangan, ada ura-ura mengatakan beberapa pemain skuad hobin jang hobin telah dipikat pasukan ‘besar’ lain. Berita ini semakin menghampiri kenyataan apabila ramai pemain bintang mereka akan tamat kontrak hujung tahun ini.

Memetik laporan akhbar BHarian Online, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan, hari ini mengingatkan pemain skuad Rusa supaya berhati-hati dan jangan terpikat dengan pasukan lain yang menawarkan gaji lumayan. Beliau memberi ingatan itu berikutan ada mendengar khabar bahawa beberapa pemain Negeri Sembilan yang akan tamat kontraknya November ini sedang dipikat pasukan lain.

“Saya harap pemain ini fikir banyak kali kerana ada pasukan yang menawarkan gaji yang bukan-bukan (tinggi). Saya bukan mahu menghalang pemergian mereka tetapi kita tidak mahu mereka terperangkap dalam situasi pada awal tahun 90-an dulu di mana ada pasukan yang ‘kaya’ memberikan ganjaran lumayan tetapi selepas itu ‘bungkus’…ada pula yang tidak bayar gaji sehingga tiga empat bulan,” katanya di sini, hari ini. Mohamad yang juga Menteri Besar berkata, PBNS tidak pernah lewat membayar gaji dan imbuhan kepada pemain.

“Oleh itu saya hendak pemain ini memikirkan semasak-masaknya kerana mereka juga mesti memikirkan tentang kerjaya dan masa depan. Kadang-kadang mereka dipikat dengan gaji yang lumayan tapi tak dibayar gaji pun. Ini jelas dan banyak kita dengar dalam liga bola sepak di negara ini,” katanya. Ditanya sama ada PBNS akan menaikkan gaji pemainnya berikutan kejayaan merangkul Piala Malaysia musim ini, beliau berkata PBNS belum membuat apa-apa keputusan lagi.

“Kita tidak begitu ghairah menaikkan gaji kerana kita mahu supaya pemain ini bermain bukan kerana gaji, tetapi mereka bermain kerana mereka mempunyai kualiti dan juga kebolehan. Kalau kita asyik ‘berlawan-lawan’ tentang gaji, ia tiada kesudahannya dan akhirnya mutu dan industri bola sepak negara yang akan hancur,” katanya.

Bagi ammboi, isu bermain kerana gaji bukan masalah besar. Sebab kerjaya mereka sebagai pemain bola sepak ini kadang-kadang tidak lama dan mereka perlu mencari ‘wang lebih’ (jangan rasuah sudah) untuk bekalan masa hadapan. Memang hak pemain untuk mencari pasukan yang mampu memberikan mereka ganjaran yang lebih lumayan. Pasukan dan penyokong pula kenalah profesional. Jangan jadikan isu ini punca keruntuhan industri bola sepak di negara kita.

Namun ammboi sokong pendapat Presiden PBNS, mengenai isu pasukan yang gagal menjaga kebajikan pemain. Terpulang kepada pemain berkenaan untuk menilai kemampuan pasukan berkenaan. Pemain yang profesional sepatutnya sudah pandai memilih pasukan yang wajar mereka wakili. Mereka juga perlu ingat, bila gaji besar, pemain pun kena ‘besar’. Bukan besar kepala, tetapi besar peranannya, tanggungjawabnya, tugasnya dan amanahnya. Itu yang utama!