ROMBAK LIGA MALAYSIA – TAN SRI ANNUAR MUSA

| 01/12/2011 | 0 Comments

ROMBAK LIGA MALAYSIA – TAN SRI ANNUAR MUSA | Cadangan Tan Sri Annuar Musa (Timbalan Presiden FAM) untuk merombak Liga Malaysia nampaknya masih tiada jawapan dari seluruh anggota gabungan FAM itu. TSAM mengutarakan cadangan yang cukup baik dan mungkin boleh menaikkan taraf bola sepak di Malaysia ini dan bukannya mahu menghancurkan bola sepak kita. Beliau seolah-olah mahu menjadikan bola sepak sebagai satu industri dan pelaburan yang baik.

Tan Sri Annuar Musa (Sumber Gambar : bicarakelantan.blogspot.com)

Boleh dikatakan persatuan bola sepak negeri dan kelab masih bergantung harap 100% kepada sumber utama mereka iaitu (kerajaan negeri) sedangkan apa yang berlaku di Kelantan sebagai contoh adalah berusaha mencari dana sendiri dalam pembangunan sukan no. 1 negara itu. Bukan bermaksud ammboi nak menyebelahi Kelantan dan ammboi tahu memang kerajaan negeri Kelantan tidak mahu masuk campur dalam soal ini, namun itu bukan bermakna kerajaan Kelantan tidak berduit malah duit yang ada boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih bermakna. Hal itu memberi peluang dan ruang untuk Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk cuba ‘berdiri sendiri’ dan berdikari dalam memajukan arena bola sepak negeri.

Lain pula dengan persatuan negeri yang lain. Mereka nampaknya masih gah dengan bantuan kewangan dari kerajaan negeri. Penaja pun dari kalangan syarikat dimiliki kerajaan negeri. Sampai bila persatuan boleh berdiri sendiri? Sampai bila nak berada ditakuk ini. Ammboi selaku peminat underground bola sepak ni (nak kata tegar tu tak la..) menyokong penuh cadangan ‘murni’ TSAM. Cara dan komitmen yang beliau berikan telah banyak membantu pembangunan bola sepak di Kelantan. Sampai bila FAM nak berada di takuk lama jika cadangan ini diketepikan?

Dibawah ada petikan akhbar mengenai Cadangan TSAM “Rombak Liga-M”.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa menggesa supaya struktur Liga Malaysia dirombak bagi membolehkannya mendapat pengiktirafan antarabangsa. Beliau berkata, kelemahan struktur liga tempatan menyebabkan badan induk bola sepak negara serta pemain Malaysia sukar mendapat pengiktirafan di peringkat tertinggi.

Menurutnya, ramai yang tidak tahu mengenai negeri serta pemain yang bermain di Liga Malaysia sebenarnya tidak layak bermain di Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). “Di Eropah, pemain kita tidak layak menyertai kelab di sana disebabkan Liga Malaysia tidak diurus secara profesional,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 di sebuah hotel terkemuka, semalam. Annuar berkata, mengikut peraturan AFC pada 2009, Liga Malaysia sepatutnya diuruskan sebuah entiti yang membabitkan gabungan kelab dan persatuan negeri yang bersaing di liga itu dan diurus secara profesional.

“Namun berdasarkan perbincangan dengan anggota gabungan FAM, pengurusan di peringkat kelab dan persatuan negeri masih di takuk lama dan terus mengharap pemberian geran tahunan dari FAM,” katanya.

Katanya jika kelab dan persatuan negeri gagal diurus dengan baik, kesannya dapat dilihat pada pemain dilahirkan.

“Pemain pasukan kebangsaan dilahirkan kelab dan persatuan negeri dan taraf pemain kebangsaan itu juga menjadi cermin kepada liga tempatan,” katanya.

“Sebab itu, pemain terbaik di Malaysia ini sebenarnya hanya bertaraf sederhana di Asia. Kerana itu juga pemain kebangsaan sukar mendapat tempat bermain di Eropah.” Kenyataan Annuar itu merujuk kepada isu penyerang kebangsaan Safee Sali yang gagal mendapat permit kerja untuk bermain bagi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Cardiff City pada September lalu.

Masalah itu timbul berikutan pihak imigresen di United Kingdom mensyaratkan pemain yang mahu bermain dengan kelab di negara itu mestilah datangnya dari negara di ranking 70 terbaik dunia. Malaysia ketika itu berada di ranking ke-146 dunia. Petikan Harian Metro Online


Tags: , , , , , ,

Category: SUKAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.