MULA191014TAMAT190115
KLServer
jadualpialaaff2014

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM (JPA) KAJI AMBIL LULUSAN PMR

| Dec 29, 2011

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM (JPA) KAJI AMBIL LULUSAN PMR | Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju mengkaji semula berhubung tahap kelulusan minimum Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi memohon kerja sebagai penjawat awam berdasarkan kriteria sektor yang berkaitan. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, berkata kajian berkenaan akan dilakukan dalam tempoh tiga bulan bermula Januari ini.

Katanya, ia adalah antara keputusan yang dicapai dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani semalam dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi menyelesaikan pelbagai isu berbangkit dalam skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

“Di bawah SBPA yang berkuat kuasa tahun depan, kelulusan minimum PMR sudah memadai bagi memohon jawatan dalam sektor awam tetapi selaras dengan semangat ingin memantapkan perjawatan kerajaan, kita akan mengkaji semula tahap kelayakan itu berdasarkan kerja yang dipohon.

“Selain PMR, kajian ini turut membabitkan permohonan menggunakan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Diploma serta sama ada sesuai untuk dipadankan dengan jenis pekerjaan yang dipohon dalam sektor awam. Ini akan menjadi sebahagian daripada pendekatan untuk menambah baik mutu perkhidmatan sektor awam yang menggalakkan pengwujudan tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang.

MoU itu ditandatangani Abu Bakar bagi pihak JPA manakala CUEPACS diwakili Presidennya, Datuk Omar Osman, sebagai tanda persefahaman bagi merungkai segala kekusutan berkaitan SBPA antara JPA dan penjawat awam.

Abu Bakar berkata, CUEPACS dengan sepenuh hati menerima skim baru itu dan menyatakan komitmen untuk menggalakkan 1.4 juta kakitangan awam menandatangani opsyen yang diberi sebelum tarikh tutup 15 Januari tahun depan.

Jelas beliau, MoU itu juga menetapkan bahawa sebarang isu membabitkan kewangan kerajaan perlu dibentangkan kepada kerajaan dan bergantung kepada kedudukan kewangan serta kelulusan kerajaan sama ada dapat dilaksanakan.

Selain itu, katanya, CUEPACS juga sedia turun padang bersama JPA untuk memperjelaskan sebarang kekeliruan berkaitan SBPA selain melakukan pemantauan bagi memastikan tiada penganiayaan berlaku sepanjang proses pegawai sumber manusia mengendalikan opsyen SBPA dalam kalangan kakitangan awam.

Beliau yakin persetujuan JPA mengadakan perjumpaan setiap tiga bulan sekali dengan CUEPACS, seperti mana yang termaktub dalam MoU itu, akan menjadi pentas terbaik bagi kedua-dua pihak mengemukakan isu masing-masing untuk diselesaikan bersama.

“Tindakan meminda markah dasar pemisah (exit policy) untuk dikurangkan daripada 69 kepada 60 di bawah skim SBPA dan kesediaan JPA serta CUEPACS menerimanya membuktikan kedua-dua pihak masih ada semangat kerjasama yang tinggi.

“JPA juga bersetuju cadangan CUEPACS meletakkan seorang wakil sebagai pemerhati dalam Panel Penilai Dasar Pemisah itu,” katanya. – BHarian Online


Tags: , , ,

Category: INFO KAKITANGAN AWAM, INFO SEMASA

Comments are closed.