PREACH KHAN REACH FC TERUJA SERTAI PIALA FA 2012

PREACH KHAN REACH FC TERUJA SERTAI PIALA FA 2012

PREACH KHAN REACH FC TERUJA SERTAI PIALA FA 2012 | Kelab dari Kemboja, Preach Khan Reach FC yang buat pertama kali akan menyertai Piala FA musim ini menyifatkan penyertaan mereka sebagai permulaan penting. Pengerusi Kelab Prech Khan Reach FC menyifatkan Piala FA Malaysia merupakan langkah penting bagi mereka dan hampir 200 pemain dan staf berkenaan. Impiannya ialah untuk melihat imej yang lebih baik buat bola sepak Kemboja sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Preach Khan Reach yang merupakan Juara Piala FA di Kemboja (Hun Sen Cup)tahun lalu dijemput menyertai kejohanan Piala FA Malaysia bagi menggantikan tempat Harimau Muda B. Sebuah lagi pasukan luar yang bakal beraksi dalam Liga Malaysia tahun ini ialah Lions XII dari Singapura. Mengikut jadual, kelab Kemboja itu akan menentang Pulau Pinang pada 18 Feb dalam aksi pertama mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil, yang secara keseluruhan bakal menyaksikan 16 pasukan yang berjaya dalam pusingan pertama layak ke pusingan kedua.

Sementara itu pengarah teknikal kelab berkenaan, Rith Dikar dipetik sebagai berkata pasukannya akan membuat beberapa perubahan di kalangan pemain berikutan pesaraan penyerang veteran Sam El Nasa dan penjaga gol Ouk Mich.

“Hanya penyerang Mat Hassan merupakan pemain baru dan kami telah mengambil tujuh pemain dari kelab belia kami. Kami tidak mempunyai masalah di bahagian serangan dan tengah, tetapi kami perlu mengukuhkan pertahanan kami kerana dibarisi ramai pemain muda,” katanya. – BERNAMA