PERODUA BAKAL KELUARKAN MODEL SEDAN – PERODUA BEZZA 2012?

PERODUA BAKAL KELUARKAN MODEL SEDAN – PERODUA BEZZA 2012?

2 229
wangiangaharupalmabrand iklanmurah

PERODUA BAKAL KELUARKAN MODEL SEDAN – PERODUA BEZZA 2012? | Selepas 19 tahun menjadi pengeluar kereta kompak, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), dijangka memperoleh kebenaran daripada kerajaan untuk mengeluarkan kereta dengan kapasiti enjin lebih tinggi daripada 1.5 liter tidak lama lagi.

Sumber berkata, kebenaran itu akan diberikan sebaik kerajaan selesai menyemak semula aturan perjanjian yang dimeterai kedua-dua pihak ketika penubuhan PERODUA pada 1993. Ketika itu PERODUA hanya dibenar mengeluarkan kereta kompak dengan kapasiti enjin di bawah 1.5 liter dan tidak boleh membuat atau memasang kereta dengan kapasiti enjin lebih daripada yang ditetapkan.

Setelah semakan semula Dasar Automotif Nasional (NAP) yang kini sedang dilaksanakan kerajaan untuk menjadikan pasaran automotif tempatan lebih terbuka dalam setiap aspek rantaian industri kereta, kerajaan akan turut menyemak aturan perjanjian sedia ada itu dengan menarik semula larangan yang dikenakan kepada PERODUA sebelum ini.

Sumber berkenaan berkata, jika semakan semula aturan perjanjian itu membuahkan hasil positif, PERODUA akan mula memasang dan mengeluarkan kereta dengan kapasiti enjin antara 1.6 liter hingga 1.8 liter, sekali gus menandakan bermulanya penerokaan syarikat itu dalam segmen kereta sedan.

Pengenalan model baru dengan enjin kapasiti yang lebih besar dijangka dimulakan dengan model prototaip, Bezza yang kali pertama dipertontonkan kepada umum pada Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2010.

Katanya, pengenalan kereta dalam segmen baru itu juga dilihat amat logik dan bertepatan dengan peningkatan permintaan kereta sedan di kalangan pembeli kereta kali pertama di Malaysia, yang rata-ratanya terdiri daripada eksekutif muda dengan pendapatan lebih tinggi. Sumber itu bagaimanapun berkata, walaupun PERODUA akan terbabit dalam pengeluaran kereta dengan enjin kapasiti lebih daripada 1.5 liter, ia tidak bermakna tumpuan terhadap pengeluaran kereta kompak dikurangkan. – BHarian Online