MY LEASE SKIM PAJAKAN KENDERAAN EON DIPERKENAL MENERUSI DRB HICOM LEASING

MY LEASE SKIM PAJAKAN KENDERAAN EON DIPERKENAL MENERUSI DRB HICOM LEASING

0 87

Edaran Otomobil Nasional Bhd (EON), sebuah anak syarikat DRB-Hicom Bhd melancarkan perkhidmatan My Lease, iaitu satu skim pemajakan kenderaan komprehensif pertama di Malaysia. Konsep itu yang popular di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), akan ditawarkan menerusi anak syarikat EON, DRB-Hicom Leasing Sdn Bhd. Buat permulaan, My Lease akan ditawarkan kepada pengguna korporat sebelum diperluaskan kepada individu sebelum hujung tahun ini.

Skim itu akan memberikan pilihan kepada pengguna dalam pemilikan kenderaan, selain daripada skim sewa yang ditawarkan institusi kewangan ketika ini. Ketua Pegawai Operasi EON, Azman Idris berkata, tidak seperti skim sewa beli, My Lease membolehkan pelanggan menggunakan kenderaan tanpa perlu memikirkan beberapa aspek pemilikan utamanya, iaitu servis dan penyelenggaraan serta pembaharuan insurans dan cukai jalan.

Kelebihan Skim Pemajakan Kenderaan Komprehensif (My Lease) :

  1. Pengguna kenderaan tidak perlu lagi bimbang memikirkan hal servis
  2. Pengguna tidak perlu risau kos penyelenggaraan kereta
  3. Pengguna juga bebas dari urusan pembaharuan insurans
  4. Cukai jalan dan banyak lagi akan ditanggung sepenuhnya oleh pemajak iaitu DRB-Hicom Leasing
  5. Tanggungan bulanannya adalah lebih rendah berbanding sewa beli

Bagi pelanggan korporat yang melanggan skim pemajakan, mereka antara lain akan menikmati penjimatan dari segi perbelanjaan modal yang rendah bagi pemilikan kenderaan kerana tidak perlu membuat bayaran pendahuluan yang tinggi berbanding sewa beli serta bebas dari menanggung kos penyelenggaraan. Mereka juga tidak perlu bimbang mengenai nilai jualan semula kerana bila tamat tempoh pajakan atau bila mereka ingin menggantikan kenderaan dengan yang baru, kenderaan lama akan dikembalikan kepada DRB-HICOM Leasing.

DRB-HICOM Leasing turut menyediakan pakej tambahan seperti, khidmat selepas pajakan, pusat khidmat pelanggan 24 jam, perkhidmatan tunda kenderaan di seluruh Malaysia, kemudahan pengambilan dan penghantaran kenderaan dan program penggantian kenderaan.