BAPA KANDUNG DIRANG (NURUL NADHIRAH) DISAHKAN TAK TERBABIT

BAPA KANDUNG DIRANG (NURUL NADHIRAH) DISAHKAN TAK TERBABIT

0 62

Polis mengesahkan bapa kandung Nurul Nadhirah Abdullah, 5, atau Dirang tidak terbabit dalam kematian anaknya selepas siasatan mendapati hanya tiga suspek yang ditahan sebelum ini disyaki ada kaitan secara langsung dalam pembunuhan kejam itu.

Difahamkan, polis mempunyai bukti kukuh termasuk barangan milik mangsa yang ditemui untuk mengaitkan pembabitan tiga suspek berkenaan, selain membawa mereka ke lokasi penemuan mayat Dirang bagi mendapatkan gambaran semula kejadian. Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata bapa kandung mangsa berusia 30-an yang mempunyai kerakyatan Filipina itu akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen sebelum dihantar pulang ke negara asal kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan. “Penjenayah yang disyaki membunuh dan membakar mangsa sudah dalam tahanan polis. Polis dalam proses mendapatkan tempoh lanjutan reman sebelum pendakwaan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Tiga suspek termasuk seorang wanita yang berusia 30 hingga 40 tahun itu turut disahkan positif dadah Methamphetamine serta syabu. Malah, dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau penyalahgunaan dadah dan mencuri. Bagaimanapun, Mohd Mokhtar enggan menjelaskan motif sebenar pembunuhan Dirang, sebaliknya menyifatkan penahanan tiga suspek itu membolehkan pihaknya menyelesaikan kes itu dan meminta orang ramai menghentikan spekulasi.

Sementara itu, ibu mangsa, Roselyn Alan bersyukur kerana bekas suaminya dibebaskan untuk siasatan kemungkinan terbabit dalam pembunuhan Dirang. “Daripada awal lagi, jauh di sudut hati kecil saya mengetahui bekas suami saya tidak terbabit kerana dia menyayangi Dirang seperti saya sayangkan Dirang. Kami bercerai secara baik pada 2008 dan dia selalu menelefon bertanya khabar anak,” katanya yang kini semakin lega selepas kaunseling yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). – BH