MAWI DIIKAT EKIN PULA DIACU PISAU

MAWI DIIKAT EKIN PULA DIACU PISAU

0 51

Penyanyi terkenal Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi kerugian RM10,000 apabila banglonya dipecah masuk empat perompak Indonesia bersenjatakan parang serta pisau dalam kejadian yang mengambil masa selama 20 minit di Bangi Golf Resort di sini semalam.

Kejadian mencemaskan itu berlaku pada pukul 4 pagi ketika Mawi, isterinya, Nora’asikin Rahmat atau lebih dikenali sebagai Ekin; ibu mertuanya, Fatimah Saad, 55; neneknya, Salmah Sehan, 77; anak mereka, Cahaya Malaika dan seorang pembantu rumah sedang tidur di dalam banglo tersebut. Bagaimanapun, kesemua mereka tidak cedera.

Mengimbau semula kejadian itu, Mawi memberitahu, dia terjaga selepas pintu biliknya diketuk kuat oleh perompak tersebut sebelum Ekin bangun untuk membuka pintu kerana menyangka Salmah yang berbuat demikian. Katanya, apabila pintu dibuka, tiga daripada empat perompak yang memakai serba hitam dan bertopeng itu terus mengacukan pisau ke leher isterinya dan meminta barang kemas.

“Suspek kemudian menolak Ekin ke atas katil sebelum mengikat tangan dia dan ibu mertua saya menggunakan wayar pengecas telefon bimbit. Salah seorang suspek pula mengikat kaki dan tangan saya sebelum menutup muka saya dengan baju. Mereka kemudian mula menggeledah bilik sebelum melarikan rantai nenek, wang, serta empat buah telefon bimbit jenis BlackBerry dan Nokia yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM10,000,” cerita juara Akademi Fantasia musim ketiga itu.