KLServer

MYSIKAP JPJ ONLINE SIAP SEPENUHNYA JUN 2012

| 28/03/2012

Sistem pengkomputeran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dinaik taraf akan siap sepenuhnya Jun 2012 ini dan dijangka menggalakkan lebih ramai berurusan dengan jabatan itu secara online. Sistem yang dinamakan mysikap itu adalah penambahbaikan sistem sikap sedia ada dengan kapasiti serta tahap keselamatannya dipertingkat.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, kos penambahbaikan itu menelan belanja RM282 juta dan ia adalah satu daripada usaha transformasi di bawah Program Transformasi Jabatan (JTP) JPJ. Tambah beliau lagi, bila projek naik taraf ini siap, JPJ yakin sasaran 85 peratus urusan secara online dapat dicapai sebelum 2015. Datuk Solah berkata, pada masa ini hanya 20 peratus penggunaan urusan secara online dan selebihnya urusan di kaunter.

Beliau berkata, dengan sistem baru ini, segala urusan berkaitan seperti pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu, data pendaftaran kenderaan dapat dipercepat apabila memasuki laman portal JPJ. Beliau turut menjelaskan perkhidmatan oleh pengendali sistem elektronik e-Government Service Provider seperti www.myeg.com.my masih beroperasi seperti biasa walaupun sistem baru itu turut menyediakan perkhidmatan yang sama.

Sementara itu, Solah berkata, mulai minggu depan, proses tukar milik sementara daripada pemilik kenderaan kepada syarikat pengedar kereta terpakai akan mula dilaksana secara online. Beliau berkata, tempoh penukaran itu tidak melebihi enam bulan dan bayaran sebanyak RM25 dikenakan terhadap syarikat pengedar kereta terpakai manakala pemilik kenderaan tidak dikenakan bayaran. Sumber BH


Tags: , , , , ,

Category: INFO SEMASA

Comments are closed.