MULA191014TAMAT190115
KLServer

BURSARY (DERMASISWA) AUTOMATIK KEPADA PELAJAR SPM CEMERLANG

| Apr 10, 2012

Kerajaan hari ini memutuskan untuk menawarkan Bursary (dermasiswa) automatik kepada 1,609 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang memperoleh sekurang-kurangnya 9A+ dan ke atas. Statistik pencapaian 1,609 pelajar itu adalah 9A+ (1,020 orang), 10A+ (492 orang), 11A+ (90 orang) dan 12 A+ seramai tujuh orang.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan akhbar sebentar tadi berkata, Bursary adalah bantuan kewangan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran untuk mengikuti pengajian di peringkat persediaan (pra-universiti) sebelum pelajar melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Pertama di universiti dalam atau luar negara.

Beliau berkata, pada tahun ini, bagi mengiktiraf kecemerlangan pelajar lepasan SPM pada 2011, semua pelajar cemerlang yang mendapat keputusan sekurang-kurangnya 9A+ dan ke atas akan ditawarkan Bursary secara automatik oleh Kementerian Pelajaran tanpa mengira etnik, kaum, keturunan dan latarbelakang.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan juga meluluskan penajaan di bawah Program Biasiswa Nasional (PBN) kepada 50 orang pelajar paling cemerlang lepasan SPM 2011 di kalangan yang terbaik mengikut senarai Kementerian Pelajaran untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka dunia berasaskan kepada merit akademik.

Katanya, calon-calon yang terpilih akan ditawarkan biasiswa dari peringkat persediaan sehingga ke peringkat Ijazah Pertama tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dan pengiktirafan bidang pilihan yang menjadi minat pelajar di universiti dalam dan luar negara seperti disenaraikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Bagi kesemua program pra-universiti yang sudah tersenarai, pemberian Bursary tertakluk kepada pelajar sudah ditawarkan/ditempatkan di pusat persediaan yang ditetapkan oleh kerajaan. Sila layari laman web Kementerian Pelajaran di www.moe.gov.my untuk membuat semakan dan pengemaskinian profil pelajar program Busary mulai 16 April 2012.

 


Tags: , , , , , ,

Category: INFO SEMASA, PENDIDIKAN DAN KERJAYA

Comments are closed.