PELBAGAI CARA FAM CUBA MENYAKITKAN HATI ‘WARGA BOLASEPAK’ KELANTAN

| 11/07/2012 | 0 Comments

FAM dan Kelantan Ada Masalah Ke? | Itu pertanyaan pertama ammboi sejak dari dulu lagi. Kalau boleh ammboi nak tanyakan soalan ini sendiri kepada Tuanku Presiden FAM, Setiausaha Agungnya dan seluruh warga FAM yang hebat itu. Apa masalah sebenar mereka dengan negeri Kelantan? Kenapa mereka selalu memandang ‘sinis’ pada negeri Kelantan dan boleh ammboi khaskan seluruh warga bola sepak Kelantan termasuklah pengurusan, pemain dan penyokong pasukan Kelantan.

Sejak dari dulu lagi FAM menggunakan pelbagai cara untuk menyakitkan hati kami warga bolasepak Kelantan. Adakah ianya secara kebetulan atau sebaliknya? Jika benar FAM tidak berniat menyakitkan hati kami, apa penjelasan mereka? Satu persatu kami boleh singkapkan kesilapan kami yang sengaja FAM tonjolkan. Pelbagai helah yang digunakan agar arena bolasepak Kelantan bergolak berperang. Termasuklah dengan isu pergantungan Presiden kami, Tan Sri Annuar Musa yang kami laungkan sebagai bapa permodenan bola sepak Kelantan.

Apabila Kelantan melakukan kesilapan, begitu lantang FAM membuat kenyataan, begitu cepat FAM mengambil tindakan, begitu pantas hukuman dikenakan. Tetapi, jika kami yang menjadi mangsa keadaan, pelbagai helah FAM cuba melindungi pasukan lawan, pelbagai madah FAM cuba melambatkan keadaan. Jadi, apa makna kami dalam catatan FAM? Adakah ada unsur dendam yang masih membelit keadaan?

Namun itu semua membuatkan Kelantan jadi lebih kuat, bola Kelantan jadi lebih akrab, bola Kelantan juga membuatkan kami seluruh warga Kelantan lebih mengenali manisnya kejayaan yang bermula dari bawah. Kami pendam semua duka yang FAM luahkan, kami selindungkan semua duka yang FAM parutkan, kami simpan semua kisah yang FAM cuba timbulkan. Itu semua bagi kami, hanya mainan untuk menyemarakkan lagi semangat kami memeriahkan arena bola sepak Kelantan.

Kali ini, apabila dimaklumkan FAM akan membuat penyampaian Piala Liga Super 2012 hanya di Wisma FAM dan dilangsungkan pada 20 Julai 2012, iaitu hari sibuk Kelantan yang bakal berdepan QPR pada malam berkenaan. Selain itu, ianya akan menghadkan sebarang acara sambutan untuk meraikan kejayaan Kelantan kerana pada keesokannya sudah mula berpuasa. Apa maknanya semua ini?

Adakah ianya sebahagian agenda terancang oleh FAM? Jika sekalipun FAM mahu membuat majlis besar-besarkan sebagai parti kejutan untuk menyambut kejayaan Kelantan menjuarai Liga Super buat kali kedua berturut-turut, janganlah buat dalam bangunan. Adalah lebih baik kami dinegeri ‘miskin’ meraikannya secara sederhana diatas padang keramat kami, Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. Sederhana tapi penuh bermakna!

Seluruh warga FAM sudah pasti dijemput hadir dengan tangan terbuka untuk meraikan kejayaan Kelantan kali ini. Warga FAM pasti teruja dengan kemeriahan itu nanti. Kenapa mesti menggunakan cara ini untuk menghadkan kami meraikan kejayaan berganda ini? Jika benarlah FAM memang berniat untuk sekali lagi melukakan kami, maka tidaklah salah untuk ammboi katakan, FAM MEMANG SUDAH TUNGGANG LANGGANG!


Tags: , , , , , , ,

Category: THE RED WARRIORS NEWS

Leave a Reply

Your email address will not be published.