TUNKU ISMAIL (TMJ) KRITIK FAM

| 06/06/2013 | 1 Comment

Tunku Ismail (TMJ) Kritik FAM | Nampaknya semakin ramai yang sudah bersuara mengenai kelemahan dalam Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM). Ikut sejarah, ramai sudah digantung dan terbuang dari badan induk sukan bola sepak negara itu. Sesiapa yang bersuara pasti akan kena. Antara yang terbaru yang menjadi mangsa FAM adalah Tan Sri Annuar Musa (Kelantan), Datuk Seri Shahidan Kassim (Perlis), dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (Johor).

Minggu lepas, Presiden FAM kecewa dengan kritikan dan komen ‘ikhlas’ dari Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Kali ini baginda terpaksa pula mendengar keluhan kecewa dari Tunku Ismail pula. Ini adalah tindakan yang tidak dijangka kerana Tunku Ismail kini sedang berdepan hukuman pergantungan dari FAM. Namun beliau tetap bersuara demi mutu bola sepak negara.

tunku ismail tmj

Memetik laporan BH Online – Sukan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan berdasarkan keadaan semasa dalam Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) mutu bola sepak negara tidak akan berubah. Beliau berkata demikian kerana FAM dilihat gagal memberi layanan adil kepada gabungan, tidak membenarkan persatuan dan individu menyuarakan pendapat, selain membuat keputusan dan mengubah peraturan sewenang-wenangnya. FAM juga lebih gemar mengundang pasukan luar seperti Chelsea untuk beraksi di negara ini tetapi mengabaikan pembangunan bakat baru daripada kalangan belia dan hal-hal kritikal berkaitan bola sepak negara.

“Mungkin 20 tahun daripada sekarang pun, kita akan menghadapi kemelut yang sama jika keadaan semasa ini tidak diperbaiki,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sebagai contoh, katanya ketika beliau dikenakan tindakan penggantungan selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), beliau dimaklumkan tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang. Beliau berkata, segala hukuman dikatakan akan dijatuhkan oleh Lembaga Disiplin dan Tatatertib FAM. Bagaimanapun, katanya dalam kes Pahang menentang Johor Darul Takzim (DT) ketika aksi separuh akhir Piala FA, hukuman dijatuhkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

“Kita juga tidak diberikan ruang membuat sebarang rayuan atas denda itu. Pada saya, ia bukanlah soal kewangan, tetapi soal keadilan dalam layanan terhadap persatuan bola sepak. Ini jelas menunjukkan bahawa FAM boleh membuat keputusan dan mengubah peraturan sewenang-wenangnya,” kata Tunku Ismail.

Sekarang, kita tunggu dan lihat apa pula penjelasan dari pihak FAM pula. Nampaknya keadaan dalaman FAM semakin kelam kabut dan persoalannya adakah mereka masih mampu menggalas tugas meneraju sukan bola sepak negara kita ini lagi?


Tags: , , , , , , ,

Category: BOLASEPAK MALAYSIA

Leave a Reply

Your email address will not be published.