MAAFKAN SAYA MALAYSIA – LIEW DAREN KECEWA GAGAL BERIKAN MATA KEMENANGAN

| May 26, 2014 | 0 Comments

Kapten skuad Piala Thomas negara, Liew Daren memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal memberikan mata kemenangan kepada pasukan untuk menamatkan kemarau selama 22 tahun menjulang trofi Piala Thomas 2014 selepas tewas kepada Jepun 2-3, malam tadi.

Daren yang diturunkan sebagai perseorangan ketiga diletakkan harapan menggunung untuk menghadiahkan mata kemenangan selepas Malaysia terikat 2-2 dengan Jepun tetapi tewas kepada Takuma Ueda 12-21, 21-18, 17-21. Begitupun, semangat juang tinggi ditunjukkan Daren wajar diberikan pujian kerana dia tidak mudah menyerah kalah biarpun tewas pada set pertama.

liew daren mohon maaf

“Saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya sudah berikan aksi terbaik tetapi jika ada juga pihak yang mahu salahkan saya, saya tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya selepas perlawanan malam tadi.

Daren berkata, dia memang terlalu mahu memberikan kemenangan kepada skuad negara selain membuktikan kemampuan sebenarnya selepas aksi hambarnya dalam dua perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini.

“Apa yang saya boleh katakan, perlawanan ini sedikit sebanyak memberikan motivasi dan pengajaran berguna kepada saya untuk menghadapi kejohanan seterusnya nanti. Saya tidak akan berputus asa sebaliknya akan terus memperbaiki kelemahan diri,” katanya yang berterima kasih kepada barisan jurulatih kerana memberikan kepercayaan kepadanya apabila menurunkannya pada perlawanan itu.

Datuk Lee Chong Wei sebelum itu memberi harapan buat Malaysia apabila mengutip mata harapan dengan mudah menundukkan Kenichi Tago 21-12, 21-16 dalam perseorangan pertama. Namun Tan Boon Heong-Hoon Thien How dan Chong Wei Feng gagal meneruskan permulaan baik apabila tewas dalam perlawanan masing-masing untuk menyebabkan Malaysia ketinggalan 1-2.

Boon Heong-Thien How tewas 21-12, 17-21, 19-21 kepada pasangan No. 3 dunia, Kenichi Hayakawa-Hiroyuki Endo, manakala Wei Feng gagal memberi tentangan sengit kepada juara remaja dunia, Kento Momota apabila tunduk 15-21, 17-21. V Shem-Wee Kiong bagaimanapun meneruskan rekod baik mereka pada Piala Thomas apabila menyamakan kedudukan 2-2 selepas menumpaskan Keigo Sonoda-Takeshi Kamura 21-19, 17-21, 12-21.

p/s: Rasanya Daren sudah bermain dengan sebaiknya. Beliau tak wajar dipersalahkan. Harap skuad negara terus berusaha untuk cabaran yang seterusnya selepas ini…


Tags: , , , ,

Category: BADMINTON

Leave a Reply

Your email address will not be published.