KISAH SEBENAR TRAGEDI KEHILANGAN MURID ORANG ASLI DI SK TOHOI GUA MUSANG

| 16/10/2015 | 0 Comments

Kesian kepada para guru dipersalahkan ekoran tragedi kehilangan murid orang asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang. Mereka didakwa gagal mengawasi murid berkenaan dan dilaporkan lambat membuat laporan polis.

Memetik sumber berita, pihak Polis Kelantan ada memberi penjelasan mengenai kisah sebenar tragedi kehilangan murid orang asli di SK Tohoi Gua Musang yang melarikan diri dari asrama pada 23 Ogos lalu.

KISAH SEBENAR TRAGEDI KEHILANGAN MURID ORANG ASLI DI SK TOHOI GUA MUSANG

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata rentetan kejadian itu bermula pada 22 Ogos apabila sekumpulan 25 murid sekolah itu keluar mandi ke sungai berdekatan pada jam 1 tengah hari dan pengawal sekolah kemudiannya memaklumkan perkara berkenaan kepada seorang warden.

Warden itu kemudiannya, memanggil tiga daripada 25 murid terbabit dan memaklumkan akan mengenakan hukuman ke atas mereka pada keesokan harinya. Kira-kira jam 9 malam, 23 daripada 25 murid berkenaan berbincang dan merancang untuk melarikan diri ke kampung mereka iaitu Kampung Penad dan Kampung Gawin pada keesokan pagi.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata pada jam 7 hingga 9 pagi, 23 Ogos pula warden membuat pemeriksaan dan mendapati seramai 23 orang murid asrama melarikan diri dan warden bersama Pembantu Pengurusan Asrama, pengawal keselamatan dan dua orang penduduk kampung mencari murid berkenaan.

Mereka kemudiannya bertemu dengan 16 murid-murid ini di satu lokasi pada jam 6 petang dan memujuk mereka untuk pulang ke asrama, bagaimanapun tujuh belum ditemui sebelum pihak sekolah yang dibantu penduduk kampung melakukan gerakan awal mencari mereka pada jam 9 malam sehingga jam 12.30 pagi keesokannya (24 Ogos).

Beliau berkata, rancangan murid-murid berkenaan melarikan diri daripada asrama sekolah itu diketahui hasil temubual yang dijalankan ke atas 16 murid yang kembali ke asrama selepas dipujuk oleh guru mereka.

Katanya, pada 24 Ogos, pihak sekolah dan penduduk kampung meneruskan usaha pencarian bermula jam 8 pagi hingga 3 petang dalam lingkungan 1 kilometer (KM) dari kawasan sekolah serta berjumpa dengan ibu bapa murid-murid berkenaan di Kampung Penad dan Kampung Gawin.

Namun, selepas gagal menemui ketujuh-tujuh murid berkenaan di kampung masing-masing, pihak sekolah kemudiannya membuat laporan polis pada jam 2.25 pagi pada 25 Ogos sebelum Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menghantar lima anggotanya ke Pos Tohoi pada jam 9.30 pagi untuk menjalankan operasi pencarian di kawasan berdekatan.

Katanya, bermula pada 25 Ogos, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketujuh-tujuh murid-murid berkenaan telah digerakkan, sekali gus menolak dakwaan di laman sosial yang mendakwa pasukan SAR hanya melaksanakan operasi berkenaan pada 27 Ogos.

Pihak sekolah juga lambat membuat laporan polis kerana pernah ada kejadian murid bertindak melarikan diri dari asrama, namun ditemui ketika mencari murid berkenaan di rumah mereka.

Mazlan berkata, lebih daripada 350 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan dan awam telah terlibat dalam operasi berkenaan sehinggalah pasukan SAR menemui mayat pertama pada 7 Oktober lalu.

Miksudiar Alui, 11, dan Norieen Yaakob, 10, ditemui selamat oleh pasukan SAR pada Jumaat lalu. Mereka adalah antara tujuh murid SK Tohoi di Gua Musang yang dilapor melarikan diri dari asrama sekolah pada 23 Ogos lalu kerana takut dikenakan tindakan oleh guru kerana mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.

Dua lagi murid, Sasa Sobrie, 8, dan Ika Ayel, 9, disahkan meninggal dunia manakala dua rangka turut ditemui tetapi masih belum dikenal pasti. Tiga lagi murid dalam insiden itu adalah Linda Rosli, 8, Haikal Yaakob, 8, dan Juvina David, 7.


Tags: , , , , , , , , ,

Category: INFO SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published.