RESPON PEDAS TMJ ISU KEKECOHAN DI IPOH

| 09/08/2016 | 0 Comments

Isu kekecohan di Ipoh, Perak melibatkan penyokong pasukan tuan rumah dengan penyokong pelawat, Johor Darul Takzim (JDT) masih hangat diperkatakan. Pihak mana yang menjadi punca kekecohan masih menjadi persoalan.

Kalau sebelum ini kami ada menyiarkan kenyataan dari jurugambar NSTP berhubung dakwaan kameranya dicuri dan diserang oleh penyokong JDT. Kali ini kami berpendapat adalah adil kalau turut menyiarkan kenyataan rasmi daripada pihak JDT, Tunku Ismail.

RESPON PEDAS TMJ ISU KEKECOHAN DI IPOH

Memetik kenyataannya yang diterbitkan menerusi Facebook Harimau Selatan, baginda seolah-olah kesal kerana isu kekecohan berkenaan dijadikan isu besar.

“Saya hairan mengapa semua orang menjadikan isu ini sebagai isu yang begitu besar. Tidak kira berapa banyak perkara yang baik yang kami lakukan, kami akan sentiasa dianggap sebagai jahat. Tidak kira betapa betul sekalipun kami, di mata mereka kita akan sentiasa salah. Ia sentiasa merupakan kesalahan kita.

“Kami telah menjadi mangsa sejak dari Stadium Lumut sehingga ke hari ini. Setiap kali kami pergi ke Perak, kami akan sentiasa menghadapi masalah. Kami juga bukanlah satu-satunya pasukan yang menghadapi masalah itu kerana pasukan seperti Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur juga menghadapi nasib yang sama.

“Jadi, saya tidak terkejut dengan masalah ini lagi. Kini Bangsa Johor terkejut apabila cerita sebenar telah diolah malah ditambah-tambah lagi untuk menyedapkan cerita dan menyebelahi satu pihak, dengan media dan laman media sosial menyebelahi pihak mereka.

“Saya tidak faham mengapa anda begitu terkejut kerana kes tersebut sudah kerap berlaku. Sebelum ini Saya sentiasa mengambil berat perkara sebegini kerana saya mahu menjaga nama baik negeri saya tetapi sekarang saya tidak perlu memperjelaskannya atau peduli lagi.

“Ini adalah kerana apabila seseorang tidak menyukai anda, tidak kira berapa banyak perkara baik yang anda lakukan, anda tetap dianggap jahat. Oleh itu, tidak perlu dijelaskan lagi. Biasakan diri dengannya.

Menerusi kenyataan yang sama, TMJ turut mengulas mengenai saranan pihak tertentu yang mahukan potongan mata pasukan dilaksanakan bagi penyokong yang melakukan kekecohan pada perlawanan.

“Saya telah menyuarakan pendapat saya ini sejak 2 tahun yang lalu kepada FAM untuk mendenda dan memotong mata bagi mana-mana penyokong pasukan yang membuat kekecohan dalam sesuatu perlawanan.

“Saya tidak tahu mengapa baru sekarang ada pihak tertentu yang ingin mencadangkan tentang pemotongan mata ini sedangkan perjalanan liga bolasepak kita sudahpun berjalan separuh musim.

“Sepatutnya ianya diselaraskan dari awal musim lagi. Tetapi sekiranya pihak FAM ingin melaksanakannya juga, kita terima dan kita akur sekiranya pihak kami ada melakukan kesalahan tersebut.

Dalam pada itu, Tunku Ismail turut beri ulasan mengenai situasi sebenar yang menjadi punca kekecohan selepas perlawanan tersebut. Jelasnya, apa yang dilaporkan oleh pegawainya dan pihak media amat berbeza.

“Saya mempunyai satu unit pasukan khas dari kontinjen polis Johor yang sentiasa mengiringi pasukan JDT ketika perlawanan di laman sendiri mahupun di tempat lawan.

“Saya telah menerima laporan dari mereka dan telah menelitinya, ternyata ia yang amat berbeza dengan laporan yang dikeluarkan oleh pihak media cetak dan media sosial ketika ini.

“Cerita sebenar telah ditambah-tambah lagi untuk mensensasikannya dan meletakkan punca kekecohan itu semata-mata dari pihak JDT. Saya sarankan untuk mendengar laporan dari kedua-dua pihak terlebih dahulu dan tidak menuding jari sesuka hati kepada satu pihak sahaja.

Kami di ammboi.com berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan sebaiknya. Kami juga berharap ianya tidak berulang lagi dalam perlawanan akan datang.

Sukan bola sepak sebenarnya sukan yang boleh membentuk perpaduan. Bukannya mencetuskan ketegangan dan perbalahan yang boleh merosakkan hubungan sesama kita.


Tags: , , , , ,

Category: BOLASEPAK MALAYSIA

Leave a Reply

Your email address will not be published.