SOLAT JAMAK DAN QASAR – INFO LENGKAP DAN PANDUAN

| 26/09/2016 | 0 Comments

Kali ini ammboi nak berkongsi mengenai Solat Jamak dan Qasar. Rasanya, ramai dikalangan kita termasuklah ammboi sendiri kurang jelas mengenai cara dan info mengenainya. Bila ia boleh dilakukan? Solat apa yang boleh dijamak dan diqasarkan?

Mungkin ada yang sudah arif mengenainya boleh berkongsi pendapat dalam ruang komen dibawah. Semoga perkongsian info Solat Jamak dan Qasar ini beri manfaat kepada kita semua.

solat-jamak-dan-qasar-info-lengkap-dan-panduan-1

Jika ada yang silap dan kekurangan mohon beri ruang untuk diperbetulkan. Anda boleh baca sepenuhnya penerangan mengenai Solat Jamak dan Qasar yang dipetik dari Facebook Abu Basyer dibawah:

PERBEZAAN PENDAPAT MENGENAI SOLAT JAMAK DAN QASAR

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Solat adalah amalan yang pertama akan dihisab oleh Allah SWT di hari akhirat nanti. Bila solatnya diterima maka barulah amalan-amalan yang lain di terima seperti puasa, zakat. haji, sedekah, bacaan al-Quran, berzikir, berbuat kebaikan kepada kedua orang tua dan berjihad di jalan Allah SWT akan diterima dan dihisab. Jika solatnya ditolak maka amalan kebaikan yang lain tidak akan di hisab dan ianya akan terus dimasukkan ke dalam neraka, nauzubillah.

Sebelum Allah SWT menerima solat seseorang hamba di hari akhirat nanti maka Allah SWT akan terima solat itu di dunia ini lagi. Jika Allah SWT menolak solat seseorang ketika di dunia maka solatnya tidak akan diterima apabila dipersembahkan olehnya dihadapan Allah SWT nanti. Selain daripada khusyuk dan betul dari rukun dan syarat sah solat, terdapat beberapa faktur lain yang akan diambil kira untuk diterima solat kita oleh Allah SWT.

Oleh kerana solat menjadi perkara penting, Allah SWT memberi rukhsah kepada hamba-hamba-Nya yang sedang dalam musafir iaitu dibenarkan mengqasar dan menjamakkan solat untuk kemudahan manusia supaya solat menjadi suatu yang tidak membebankan.

Wujud pelbagai perbezaan pendapat mengenai permasalahan solat qasar dan jamak dan bilangan hari semasa bermusafir. Perbezaan ini bersumber daripada kepelbagaian riwayat hadis dan athar (riwayat) yang datang daripada para perawi di kalangan sahabat Rasulullah SAW.

Justeru, apa jua perbezaan pendapat yang berlaku diharapkan tidak mengakibatkan tali persaudaraan sesama saudara muslim menjadi retak.

Perlu difahami bahawa permasalahan perbezaan pendapat di atas adalah permasalahan fiqh. Dan ia merupakan suatu yang perlu diterima dan kita dituntut untuk berlapang dada dan berbesar hati dalam meraikan perbezaan yang berlaku. Apa yang pasti sebagai umat Islam kita berusaha menjadikan dalil yang kuat sebagai landasan amal ibadah kita.

Keterangan mengenai qasar solat telah difirmankan oleh Allah SWT dalam al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa ‘mengqasarkan’ (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.”

Asbabun Nuzul ayat 101 surah an-Nisa’ : Ali k.wj menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan sekelompok orang dari Bani Najjar yang suatu ketika bertanya kepada Rasulullah SAW : “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami ini sering berpergian untuk berniaga, bagaimana cara kami melakukan solat?” (Hadis Riwayat Ibnu Jarir. Lihat Ibnu Katsir 1/721) maka turun ayat ini.

Dalam ayat ini, mengqasar solat dikaitkan dengan “apabila takut dengan musuh.”

Ketika turun ayat ini, para sahabat merasa hairan, adakah masih dibolehkan untuk mengqasar solat jika keadaan aman dan tenteram?

Justeru, ketika persoalan ini diajukan oleh sahabat kepada Rasulullah SAW, maka baginda SAW bersabda: “Ia adalah sedekah dari Allah SWT, maka terimalah sedekah-Nya”.

Allah SWT telah memberi kelonggaran/keringanan kepada umat Islam dalam mengerjakan ibadah solat dalam situasi tertentu khususnya ketika bermusafir. Kelonggaran ini dinamakan rukhsah solat.

Sabda Rasullah SAW maksudnya : “Sesungguhnya Allah suka dilaksanakan rukhsah (keringanan) yang diberikan olehNya seperti Allah membenci dilakukan maksiat kepadaNya”. (Hadis riwayat Ahmad).

Rukhsah Solat bertujuan supaya umat Islam dapat menunaikan fardhu solat dalam apa keadaan sekalipun, di samping membuktikan bahawa agama Islam yamg mengambilkira kebajikan umat dan bukanlah agama yang menyusahkan. Allah SWT telah mensyariatkan Solat Qasar dan Solat Jamak sebagai rukhsah bagi mereka yang bermusafir.

SYARAT-SYARAT PERJALANAN (MUSAFIR) YANG DIBENARKAN UNTUK SOLAT QASAR/JAMAK

1. Musafir adalah untuk tujuan yang baik, bukan untuk melakukan maksiat.
2. Destinasi yang dituju melalui 2 marhalah (lebih kurang 89 km).

(Menurut Dr. Muhammad Bakr Ismail dalam kitabnya al-Fiqh al-Wadhih; dua marhalah menyamai kira-kira 89 km. Jarak dua marhalah itu di hitung secara sehala iaitu jarak perjalanan pergi dari rumah/kediaman ke tempat musafir, bukan berdasarkan jarak pergi dan balik (yakni dua hala).

3. Mengetahui destinasi yang dituju (tahu jalannya).

HIKMAH DISYARIATKAN SOLAT QASAR/JAMAK

1. Meringan/memudahkan umat Islam untuk menunaikan solat dalam perjalanan.
2. Tanda kasih sayang Allah SWT kepada manusia.
3. Supaya solat fardu dapat dilaksanakan dalam apa kedaan sekalipun.
4. Menggalakkan umat Islam bermusafir/melancong/ziarah-menziarahi bagi menambahkan keimanan dan mengeratkan tali persaudaraan.

SOLAT QASAR

Bahasa ; Pendek dan ringkas.
Istilah ; Memendekkan solat jenis 4 rakaat kepada 2 rakaat.

Solat Qasar

Dalil Solat Qasar : Berkata Anas bin Malik ra. :

خرجنا مع النبي صلى الله عليه وسلم من المدينة إلى مكة فصلى ركعتين، ركعتين حتى رجعنا إلى المدينة

“Kami keluar bersama Nabi SAW dari Madinah ke Mekah, dan kami bersolat 2 rakat, 2 rakaat, sehinggalah kami kembali ke Madinah” [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim].

Jadi, solat yang boleh diqasarkan ialah Solat Zohor, Asar dan Isyak.

SYARAT-SYARAT SOLAT QASAR

1. Hendaklah melepasi semapadan kawasan tempat tinggal.
2. Tidak berimamkan imam yang solat tamam (sempurna) rakaatnya.
3. Masih dalam keadaan musafir ketika mengerjakan Solat Qasar.

SOLAT JAMAK

Bahasa : Himpun @ kumpul
Istilah : Menghimpunkan 2 solat fardu dalam satu waktu dengan syarat-syarat tertentu.

Solat Jamak adalah terdiri daripada Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak.

Solat Jamak terbahagi kepada ;

1) JAMAK TAQDIM – Menghimpunkan 2 solat Fardu dalam waktu pertama. Contohnya menghimpunkan solat Zohor dan Asar dan menunaikannya dalam waktu Zohor.

Dalil Jamak Taqdim

Riwayat dari Anas bahawa :

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا رحل قبل أن تزيغ- تميل ظهرا- الشمس، أخر الظهر إلى وقت العصر، ثم نزل يجمع بينهما، فإن زاغت قبل أن يرتحل صلى الظهر، ثم ركب.

“Sesungguhnya apabila Nabi SAW bermusafir sebelum gelincir matahari, baginda akan mengakhirkan / melewatkan waktu Zohor sehinggalah waktu Asar, kemudian baginda singgah disuatu tempat dan bersolat jamak kedua-dua solat. Apabila baginda berangkat sebelum gelincir matahari, Nabi akan bersolat Zohor dan kemudian berangkat.” [Hadis Bukhari dan Muslim].

SYARAT-SYARAT JAMAK TAQDIM

solat-jamak-dan-qasar-info-lengkap-dan-panduan-2 solat-jamak-dan-qasar-info-lengkap-dan-panduan-4

1. Niat jamak dlm waktu pertama (Zohor/Maghrib).

Niat hendaklah dilakukan dalam solat terutama ketika takbiratulihram. Walau bagaimanapun, boleh dilakukan niat semasa (pada mana-mana bahagian) solat yang pertama sekalipun semasa memberi salam. (Bukannya selepas memberi salam sebab solat sudah habis/selesai).

2. Bertertib iaitu memulakan solat yang pertama (Zohor/Maghrib), kemudian diikuti dengan solat yang kedua (Asar/Isyak) kerana waktu solat Jamak Taqdim adalah untuk waktu yang pertama (Zohor/Maghrib), sedangkan solat yang kedua (Asar/Isyak), adalah pengikut bagi solat yang pertama, maka mestilah solat yang diikuti (solat pertama).

3. Berturut-turut kedua-dua solat iaitu tidak berlaku pemisahan yang lama di antara kedua-dua solat kerana jamak telah menjadikan kedua-dua solat tersebut sebagai satu solat, maka mestilah bersambung di antara kedua-duanya seperti rakaat-rakaat solat.

Tidak membatalkan jamak jika terpisah di antara 2 solat kerana mendapatkan sedikit air untuk berwuduk kerana perbuatan tersebut adalah keperluan solat sebagaimana iqamah, malah lebih utama lagi kerana wuduk adalah syarat sah solat tetapi iqamah bukan syarat.

4. Kekal waktu solat yang pertama dengan yakin sehingga mendirikan solat yang kedua.

Cara melakukan solat JAMAK TAQDIM

1. Sunat @ afdhal melakukan solat waktu pertama dahulu (Zohor/Maghrib) kemudian diikuti oleh Solat Waktu kedua (Asar/Isyak)
2. Selepas salam solat pertama, sunat iqamah dan kemudian dirikan solat yang kedua.

2) JAMAK TA’HIR – Menghimpunkan 2 solat Fardu dalam waktu kedua. Contohnya menghimpunkan solat Zohor dan Asar dan menunaikannya dalam waktu Asar.

Dalil Solat Jamak Ta’khir

Dari Muaz bin Jabal ra. :

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان في غزوة تبوك إذا ارتحل بعد المغرب عجل العشاء فصلاها مع المغرب

“Bahawa Nabi SAW ketika peperangan Tabuk, apabila bergerak selepas Maghrib disegerakan solat Isyak, maka dilakukan solat Isyak dengan Maghrib” [Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmudzi].

SYARAT-SYARAT SOLAT JAMAK TA’HIR

solat-jamak-dan-qasar-info-lengkap-dan-panduan-3 solat-jamak-dan-qasar-info-lengkap-dan-panduan-5

1. Berniat melakukan solat Jamak Taqdim dalam waktu pertama (Zohor/Maghrib). Niat hendaklah dilakukan sebelum habis waktu solat yang pertama. Sekalipun waktu yang masih ada itu sekadar satu rakaat sahaja.

2. Masih dalam perjalanan sehingga kedua-dua solat selesai didirikan.

* Tertib tidak menjadi wajib kerana waktu bagi solat yang kedua (Asar/Isyak), telah masuk waktu bagi solat yang pertama (Zohor/Maghrib). Oeh itu boleh didahulukan mana-mana solat sama ada solat pertama atau solat kedua.

Cara melakukan solat JAMAK TA’HIR

1. Sunat @ afdhal melakukan solat waktu kedua dahulu (Asar/Isyak) kemudian diikuti oleh Solat Waktu pertama (Zohor/Maghrib)

2. Selepas salam solat waktu kedua, sunat iqamah dan kemudian dirikan solat waktu yang pertama.

SOLAT QASAR DAN JAMAK

Solat Qasar hanya boleh dilakukan ketika bermusafir. Solat Jamak menurut Ibn Utsaimin lebih luas pengunaannya. Ia boleh dilakukan ketika hujan, sakit, dan sebagainya, termasuklah semasa bermusafir.

Ulama memberi fatwa bahawa sekiranya ada peperiksaan penting atau doktor melakukan pembedahan, jika bermula sebelum Zohor dan habis selapas Asar maka boleh dilakukan solat Jamal Ta’hir

CARA MENGERJAKAN SOLAT QASAR DAN JAMAK

Cara mengerjakan Solat Qasar dan Jamak adalah sama seperti mengerjakan solat Jamak Taqdim dan Solat Jamak Ta’hir, Cuma ditambah Qasar sahaja… iaitu Solat Zohor/Asar/Isyak menjadi 2 rakaat sementara solat Maghrib kekal 3 rakaat.

Sahabat yang dimuliakan,

Setelah kita dapati ilmu yg haq mengenai perbuatan mengqasar dan menjamakkan solat berpandukan al-Quran, hadis-hadis Nabi SAW dan ijtihad ulama, soalannya, berapa harikah kita boleh qasar dan jamakkan solat? Terdapat beberapa hadis Nabi SAW sebagai panduan mengenai perkara ini.

Kita telah dimaklumkan ketetapan as-Sunnah bahawa Rasulallah SAW apabila bermusafir mengqasarkan solat-solat fardu yang empat rakaat menjadi dua rakaat dan baginda juga menjamakkan solat-solat Zohor dengan Solat Asar, dan solat Maghrib dengan Solat Isyak. Di dalam bahagian ini kita akan teliti berapa harikah boleh dijamak dan diqasarkan solat?

(a) Mengqasar dan Menjamakan Selama 9 hari

Mengikut hadis di bawah ini pula, Jabir mengatakan bahawa Nabi SAW musafir dan menetap di Mekah untuk sesuatu tujuan pada 4 Zulhijjah, kemudian kembali ke Medinah selepas habis musim haji (yakni, 13 Zulhijjah). Sepanjang tempoh tersebut baginda menqasarkan solat fardunya – iaitu selama sembilan (9) hari.

Diriwayatkan hadis daripada Jabir bin Abdullah (r.a) di dalam sekumpulan manusia (yakni, orang-orang), berkata: ‘Telah datang Nabi SAW ke Mekah pada tanggal 4 telah lewat dari bulan Zulkhijjah.’ [Hadith Ibnu Majjah]

(b) Menjamak dan Mengqasar Selama 10 Hari

Hadis berikut pula daripada Anas (r.a) yang menyatakan bahawa beliau bersama-sama dengan Rasulallah SAW bermusafir dari Madinah ke Mekah dan menetap di Mekah selama sepuluh (10) hari. Semasa menetap di Mekah mengqasarkan solat fardunya dua rakaat dua rakaat. Yakni, boleh diqasarkan solat kerana musafir itu selama 10 hari.

Diceritakan hadis daripada Yazib bin Zurai’in dan Abdul A’la, berkata kedua-duanya: ‘Menceritakan kepada mereka hadis itu daripada Abi Ishak, daripada Anas (r.a), berkata: ‘Keluar aku beserta Rasulallah SAW dari Madinah (pergi) ke Mekah. Maka bersolat kami (mengqasarkan solat) dua rakaat dua rakaat sehingga kembali kami (ke Madinah). Berkata Yahya: ‘Berapa lama dia menetap di Mekah?’ Berkata Anas (r.a): ‘Sepuluh (10) hari’.
[Hadis Ibnu Majjah]

(c) Jamak dan Qasar 13 hari

Sebagai permulaannya, mengikut hadis berikut dilapurkan bahawa Rasulallah SAW mengqasarkan solat fardunya selama tempoh tiga belas (13) hari, yakni, sepanjang bulan Zulhijjah sampai hari tasyrik, iaitu tiga belas (13) hari.

Diriwayatkan hadis daripada Abdul Rahman bin Humaidin az-Zuhri berkata: ‘Bertanya aku kepada Saib bin Yazid: ‘Apakah mendengar engkau dalam diam (yakni, semasa menetap) di Mekah?’ Berkata Sabit: ‘Telah mendengar aku al-‘Ala bin Hadhrami berkata: ‘Bersabda Nabi SAW : ‘Tiga hari kerana bertempat selepas selesai mengerjakan haji.’
[Hadis Ibnu Majah]

Hadis ini menjelaskan bahawa ibadah haji itu bermula waktu Wukuf di Arafah, iaitu tanggal 10 Zulhijjah, kemudian disambung pula mengqasarkan solat tiga hari lagi, menjadikannya tiga belas (13) hari. Hadis di atas menjelaskan bahawa solat jamak dan qasar itu dilakukan oleh Rasulallah SAW selama 10 hari pada musim haji baginda.

(d) Menjamak dan Mengqasarkan Solat 15 Hari

Di dalam hadis berikut kita diberitahu oleh Abdullah bin Abbas (r.a) bahawa Rasulallah SAW mengqasarkan solat fardunya selama lima belas (15) hari:

Diriwayatkan hadis daripada Abdullah bin Abbas (r.a) berkata: ‘Rasulallah SAW tinggal selama lima belas (15) hari di Mekah selepas peperangan dan dia mengqasarkan (yakni, memendekkan) solatnya (yakni, empat rakaat dijadikan dua rakaat).’ [Hadis Abu Daud]

Di dalam hadith di bawah ini pula katanya dia dan Rasulallah SAW menetap kerana musafir di Mekah selepas menang satu peperangan selama lima belas (15) hari mengqasarkan solat fardu sepanjang tempoh mereka menetap di Mekah itu.

Diriwayatkan hadis daripada Ibnu Abbas (r.a) berkata: ‘Sesungguhnya Rasulallah SAW bertempat di Mekah selepas menang perang (selama) lima belas (15) malam, mengqasar dia akan solatnya.’ [Hadis Ibnu Majjah]

(e) Qasar dan Jama’ Selama 17 Hari

Di dalam hadis di bawah ini pula, ibnu Abbas (r.a) memberitahu bahawa Rasulallah SAW mengqasar dan menjamakkan solat-solat fardunya selama tujuh belas (17) hari. Selain itu, Ibnu Abbas (r.a) juga memberitahu satu prinsip yang lain, iaitu jika orang tempatan (yakni, qariah tersebut), tidak boleh mengqasarkan solatnya.

Diriwayatkan hadis daripada Abdullah bin Abbas (r.a) berkata: ‘Bahawa Rasulallah SAW berhenti (yakni, bermukim sementara) di Mekah selama tujuh belas (17) hari dan dia mengqasarkan (yakni, memendekkan) solatnya (menjadi dua rakaat). Berkata Ibnu Abbas (r.a) : ‘Sesiapa yang berhenti sementara hendaklah memendekkan solatnya, dan sesiapa yang tinggal melebihi jangka waktu itu hendaklah bersolat sempurna (yakni, dibuat empat rakaat).’ [Hadith Abu Daud]

Hadis di atas itu memberikan nas dan dalil syariat bahawa mereka yang didalam musafir boleh mengqasar dan menjamakkan solatnya selama tujuh belas (17) hari manakala orang yang bermukin di tempat tersebut tidak boleh menjama’ dan mengqasarkan solat mereka.

(f) Menjama’ dan Mengqasarkan 18 Hari

Di dalam hadis dibawah ini diceritakan oleh seorang sahabat, Imran, bahawa Rasulallah SAW pernah mengqasar dan menjamakkan solat-solat fardunya selama lapan belas (18) hari. Tetapi, orang qariah tersebut (yakni, tempat dia berhenti rehat sebentar itu) tidak boleh memendekkan solat-solat fardunya.

Diriwayatkan hadis daripada Imran bin Husain (r.a) berkata: ‘Aku di dalam musafir dengan Rasulallah SAW selepas satu penaklukan. Baginda tinggal di Mekah selama delapan belas (18) hari dan bersolat dia dua-dua rakaat setiap solat (yakni, mengqasarkan solat fardunya). Maka bersabda baginda (yakni, Rasulallah SAW : ‘Kamu yang tinggal (yakni, bermestautin) di sini hendaklah bersolat empat rakaat, kami pengembara (yakni, dalam musafir).’
[Hadis Abu Daud]

Hadis di atas menyebutkan prinsip yang sama sebagaimana disebutkan di dalam hadis sebelumnya, yakni hadis riwayat Ibnu Abbas (r.a) itu. Kemudahan hanya kepada mereka yang bermusafir.

(g) Menjamak dan Mengqasar 19 Hari

Di dalam hadis Ibnu Abbas (r.a) di bawah ini, dia bersama-sama dengan Rasulallah SAW menetap selepas musafir di Mekah selama sembilan belas (19) hari. Sepanjang tempoh tersebut mereka bersolat fardu dengan mengqasarkannya dua rakaat dua rakaat.

8. Diriwayatkan hadis daripada Ibnu Abbas (r.a) berkata: ‘Bermukim Rasulallah SAW sembilan belas (19) hari bersolat dia dua-dua rakaat. Adapun kami ketika bermukim (yakni, bertempat) sembilan belas (19) hari, bersolat kami dua-dua rakaat. Maka ketika bertempat (yakni, bermukim) kami melebihi dari demikian itu, bersolat kami empat rakaat (yakni, mengerjakan solat-solat fardu seperti biasa, tidak dijamak atau diqasarkan).’
[Hadith Ibnu Majah]

Di dalam hadis Ibnu Abas (r.a) di atas itu baginda dan Rasulallah SAW menjamakkan solat selama 19 hari. Selepas 19 hari mereka membuat solat fardu seperti biasa iaitu empat rakaat setiap solat yang empat rakaat.

(h) Menjama’ dan Mengqasarkan 20 Hari

Di dalam hadis di bawah ini pula diriwayatkan oleh seorang sahabat akrab Rasulallah SAW, iaitu Jabir bin Abdullah (r.a), bahawa Rasulallah SAW mengqasarkan solat-solatnya selama dua puluh (20) hari.

Diriwayatkan hadis daripada Jabir bin Abdullah r.a berkata: ‘Rasulallah SAW tinggal selama dua puluh (20) hari di Tabuk dan baginda memendekkan solatnya (yakni, empat menjadi dua rakaat sahaja).’ [Hadis Abu Daud]

Sahabat yang dikasihi,

Walaupun kita diberi keringanan untuk mengqasar dan menjamakkan solat-solat fardu ketika dalam musafir sebanyak yang disebutkan dalam hadis-hadis tersebut – maksimanya adalah 20 hari – namun jika kita bermusafir kemudian bermestautin sementara di suatu tempat yang agak kekal kita di situ, maka sebaik-baiknya kita hendaklah menqasr dan menjamakkan solat-solat kita hanyalah untuk 3 hari sahaja.

Kecualilah, ketika bertempat di suatu tempat itu, kita perlu menguruskan kerja yang tidak maksiat, terpaksa berpindah-pindah dari suatu daerah atau pekan ke suatu daerah atau pekan setiap hari, maka menyulitkan kita bersolat, wallahu ‘alam. – Abu Basyer


Tags: , , , , ,

Category: INFO KELUARGA DAN KESIHATAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.