WANITA PANDU LAWAN ARUS DALAM PENGARUH ALKOHOL DAN DADAH

| Mar 15, 2017 | 0 Comments

Wanita yang memandu melawan arus sehingga mengakibatkan kematian seorang lelaki semalam, mendakwa melihat seakan-akan ada lori di depannya menyebabkan dia membuat pusingan U berhampiran Plaza Tol Sungai Dua.

Memetik sumber Berita Harian Online, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata siasatan awal mendapati wanita berusia 19 tahun itu, berada dalam pengaruh alkohol dan dadah sehingga dia bertindak luar jangka.

Nampak Lori dan Bertindak Membuat Pusingan U

Katanya, suspek yang juga seorang model sambilan berasal dari Taman Desa Murni sepatutnya memasuki susur keluar Sungai Dua untuk pulang ke rumahnya, namun terlajak sehingga ke Plaza Tol Sungai Dua.

“Suspek yang baru pulang minum di sebuah kelab bersama rakannya mendakwa ternampak sebuah lori di hadapannya menyebabkannya bertindak membuat pusingan U secara tiba-tiba sehingga bergesel dengan tiga kenderaan di situ.

“Suspek kemudian memandu laju kenderaannya secara melawan arus dalam jarak lima kilometer sebelum bertembung dengan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun yang mengakibatkan lelaki itu maut,” katanya.

Jelasnya lagi, pihaknya menerima empat laporan polis berhubung kemalangan itu, manakala tiga laporan lagi diterima polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara.

“Lapan saksi iaitu orang awam yang menyaksikan kejadian itu dan pemandu yang terbabit juga sudah tampil memberi keterangan. Bagi kes ini, kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 44, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Majistret Bukit Mertajam, Dianne Ningrad Nor Azahar, membenarkan permohonan reman empat hari ke atas wanita berkenaan.

Keluarga Mahu Saman Pemandu Wanita Melampau

Keluarga Allahyarham Mohamad Fandi Rosli akan menyaman pemandu Proton Gen-2 yang melawan arus hingga menyebabkan kemalangan maut di Kilometer 134 Lebuhraya Utara Selatan di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, semalam.

Dipetik sumber yang sama, bapa mangsa, Rosli Lin, 57, berkata tindakan itu dipersetujui keluarganya selepas berasakan pemandu Proton Gen-2 itu, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun, perlu bertanggungjawab atas kematian anak sulungnya itu.

“Kami akui apa yang terjadi adalah suratan takdir, namun kematian anak saya perlu pembelaan dan individu yang bertanggungjawab itu perlu mendapat hukuman yang setimpal.

“Kemalangan yang berlaku bukan kemalangan biasa, tetapi ia disengajakan dan kami merasakan anak kami seperti dibunuh dengan sengaja,” katanya.

Rosli berkata, pihak berkuasa juga perlu mengenakan tindakan tegas terhadap pemandu terbabit supaya ia menjadi pengajaran kepada pemandu lain.

Katanya, tindakan remaja terbabit yang memandu laju dan melawan arus bukan tindakan yang boleh dimaafkan hingga menyebabkan kematian satu-satunya anak lelakinya.

Semalam, Mohamad Fandi yang juga seorang juruteknik di sebuah kilang di Seberang Jaya, maut dalam kemalangan selepas kenderaannya dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dipandu melawan arus.

Mangsa yang menaiki kereta Perodua Kelisa baru sahaja habis bekerja pada jam 7 pagi dan memandu menghala ke arah utara untuk pulang ke rumah keluarganya.


Tags: , , , ,

Category: INFO SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published.