JKM DAN POLIS SAHKAN WANITA PANDU LAWAN ARUS ADALAH OKU

| Mar 16, 2017 | 0 Comments

Isu pemandu wanita memandu melawan arus sehingga menyebabkan seorang lelaki maut masih belum reda. Orang ramai masih menantikan hasil siasatan sepenuhnya pihak polis dan hukuman setimpal yang bakal dikenakan terhadapnya.

Sebelum ini pihak berkuasa mengesahkan gadis berkenaan yang berusia 19 tahun memandu dibawah pengaruh alkohol dan dadah. Kenyataannya yang mendakwa ternampak lori dan kemudiannya membuat pusingan U di lebuhraya itu memang membangkit kemarahan ramai.

Bagaimanapun hari ini, memetik laporan portal Free Malaysia Today, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis mengesahkan pemandu remaja adalah adalah orang kelainan upaya (OKU).

Seorang pegawai dari JKM Pulau Pinang mengesahkan kad OKU itu adalah asli dan dikeluarkan kepada remaja itu pada 2011. Jelas pegawai tersebut, doktor mencadangkan gadis itu menyertai program pendidikan khas ketika dia memasuki tingkatan 1.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Ab Hamid yang dipetik China Press turut mengesahkan pemandu berusia 19 tahun itu mempunyai kad OKU.

Menurut laporan akhbar itu, seorang mangsa cedera turut mendakwa ibu suspek ada memaklumkan anaknya mempunyai kad OKU ketika membuat laporan polis pada hari kejadian. Bagaimanapun, ketika kemalangan berlaku, kereta Gen-2 yang dipandu remaja itu tidak mempunyai pelekat OKU.

Pengguna Internet memuat naik gambar kad OKU yang mirip pemandu remaja itu, di mana kad terbabit dikeluarkan JKM pada 9 September 2011. Tambahan, kad OKU itu turut tertera masalah pembelajaran dalam ruangan kategori ketidakupayaan.

Pada jam 7.50 pagi Selasa lalu, remaja yang memandu Proton Gen-2 itu melanggar 3 kenderaan sebelum membuat pusingan U beberapa meter dari Plaza Tol Sungai Dua dan memecut melawan arah trafik sejauh 5km di Km 134 Lebuhraya Utara-Selatan di Seberang Perai Tengah.

Ia kemudiannya merempuh Perodua Kelisa yang dipandu pekerja kilang, Mohamad Fandi Rosli, menyebabkan bakal bapa berusia 26 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian. Kereta dipandu remaja itu turut merempuh 5 kenderaan lain, termasuk sebuah van kilang dan motosikal.

Ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine. Bagaimanapun, polis semalam berkata “ia bukan methamphetamine, sebaliknya hanya amfetamina”. Amfetamina ialah ubat yang lazim digunakan untuk gangguan defisit perhatian (ADD).

Semalam, Mahkamah Majistret membenarkan polis mereman remaja itu selama 4 hari sehingga Sabtu ini bagi menyiasatnya memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dia turut disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Dadah Merbahaya 1952 kerana salah guna dadah.


Tags: , , , , , ,

Category: INFO SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published.