CUTI UMUM HARI PERTABALAN AGONG 24 APRIL 2017 – MAJIKAN BOLEH DIDENDA RM10,000!

| 06/04/2017 | 0 Comments

Sebagaimana yang kita maklum, kerajaan telah memutuskan tarikh 24 April 2017 (Isnin) diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V.

Memetik sumber info, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, pengisyiharan ini dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Katanya, bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan negeri berkenaan diminta mengambil tindakan mengikut undang-undang negeri masing-masing.

“Kerajaan akan mengadakan dua acara utama sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang dilantik pada 13 Disember 2016 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan 12 Disember tahun lalu.

“Pada pagi Isnin, 24 April, Istiadat Pertabalan akan diadakan di Balairung Seri Istana Negara manakala pada sebelah malamnya Majlis Santapan Diraja di Dewan Santapan Istana Negara.

“Di samping itu, Bacaan Yassin, Doa Selamat dan Solat Hajat akan diadakan pada Khamis, 20 April di Masjid Putra, dan Pameran Raja Kita akan diadakan pada Selasa, 2 Mei di Muzium Diraja (Istana Negara lama),” katanya.

Bagaimana jika ada majikan ingkar?

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan berkata majikan wajib memberi cuti kepada seluruh pekerja pada 24 April 2017. Jika gagal, majikan boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000.

Shamsuddin berkata cuti kebangsaan ini telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan di bawah Seksyen 8 1951 Akta Cuti Umum.

“Jika kerajaan negeri yang mengumumkan cuti, majikan mempunyai hak sama ada ingin memberi cuti kepada pekerja atau tidak. Tetapi, jika pengumuman cuti dibuat oleh kerajaan persekutuan, majikan perlu mematuhi arahan, atau mereka boleh dikenakan denda RM10,000,” katanya.

Menurut Shamsuddin, kerajaan persekutuan jarang sekali mengumumkan cuti di bawah akta ini, melainkan jika berlaku kemangkatan seorang tokoh diraja atau ketua negara.

Penduduk yang tinggal di Kedah, Negeri Sembilan dan Perlis akan mendapat satu hari cuti tambahan memandangkan Israk dan Mikraj disambut pada 24 April.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdul Halim Bin Mansor berkata semua syarikat kerajaan dan swasta perlu mematuhi cuti ini sebagai tanda hormat.

“Ia merupakan satu bentuk penghormatan kepada YDPA. Saya faham sesetengah syarikat mungkin sudah mempunyai rancangan pada hari itu, tetapi kerajaan persekutuan telah memberi notis 20 hari, jadi saya percaya pertimbangan boleh dibuat.

“Jika syarikat memutuskan untuk tidak memberi kebenaran bercuti kepada pekerja, mereka boleh dihukum. Saya tak nampak apa sebab majikan tidak mahu memberi kebenaran bercuti pada 24 April, kerana istiadat pertabalan Agong hanya berlaku sekali dalam lima tahun. Tetapi jika mereka tetap memilih untuk membiarkan pekerja mereka bekerja pada hari itu, mereka wajib membayar gaji dua kali ganda,” katanya.


Tags: , , , ,

Category: FEATURED, INFO SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published.