AWAS… JANGAN BELI ATAU GUNA DUA PRODUK KOSMETIK INI!

| 11/04/2017 | 0 Comments

Nampaknya ramai yang berlumba-lumba untuk mengeluarkan produk kecantikan sendiri. Masakan tidak, melihat kepada kejayaan Datuk Vida, Datuk Aliff Syukri dan ramai lagi dalam perniagaan tersebut membuatkan ramai yang terliur.

Nak berniaga boleh, tetapi janganlah sampai menipu dan mengabaikan keselamatan serta kesihatan orang lain. Biasalah produk kecantikan. Untuk mempercepatkan proses ‘cantik’ dna menimbulkan kepercayaan pengguna mereka akan menambah bahan terlarang.

Sebagaimana yang dilaporkan dalam myMetro hari ini dimana Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai tidak lagi membeli dan menggunakan produk kosmetik Tati Skincare Krim Malam dan Krim Rawatan serta Moleek Skincare Krim Anti Pigmen yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, notifikasi produk kosmetik terbabit sudah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual dalam produk berkenaan.

“Dua produk kosmetik ini mengandungi hydroquinone dan tretinoin serta merkuri yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik.

“Justeru, penjual dan pengedar produk kosmetik ini juga diberi amaran untuk menghentikan sebarang penjualan dan pengedaran produk terbabit dengan serta merta,” katanya dalam satu kenyataan dipetik portal berita tersebut.

Katanya, penjualan dan pengedaran produk kosmetik yang mengandungi jadual beracun ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan mengikut peraturan ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

“Denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Malah, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Berikut adalah kenyataan akhbar dari KKM :

Kenyataan Akhbar KPK 11 April 2017 – Produk-Produk Kosmetik Yang Dikesan Mengandungi Racun Berjadual

1.Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik berikut kerana dikesan mengandungi racun berjadual seperti di bawah:

2. Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam produk berkenaan.

PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL DAN KESANNYA PADA KESIHATAN

3. Produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

4. Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif. Kesan dari penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

5. Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan. Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

6. Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri boleh memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

7. Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu. Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut dan kemudiannya memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut. Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK KOSMETIK INI

8. Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

9. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM

10. Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

11. Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh diemel kepada kosmetik@npra.gov.my atau menghubungi talian 03-78835400. Pengguna dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my/

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
11 April 2017

Sila SHARE dan sebarkan info ini untuk makluman saudara mara dan kenalan kita semua!


Tags: , , , , , , , , , ,

Category: FEATURED, INFO SEMASA, VIRAL TERKINI

Leave a Reply

Your email address will not be published.