KISAH SEBENAR BUKIT KEPONG : JAMILAH DEDAH APA SEBENARNYA BERLAKU PADA HARI KEJADIAN

| 13/04/2017 | 0 Comments

Kisah Sebenar Bukit Kepong! Setiap kali datangnya tarikh keramat 23 Februari, ingatan tragedi Bukit Kepong yang mengorbankan ibu dan adik tetap segar dalam lipatan sejarah seorang warga emas dari Bandar Baharu Uda, Johor Baharu.

Walaupun telah 67 tahun tragedi itu berlaku, bagi Jamilah Abu Bakar, 71, ia diibarat seperti baharu semalam berlaku dan kenangan pahit itu tidak akan dilupakannya selagi hayat dikandung badan.

Dalam tragedi itu, bapanya Koperal Abu Bakar Daud cedera parah apabila dadanya ditembusi peluru komunis manakala ibunya Fatimah Yaaba dan adiknya Hussin yang berumur dua tahun mati dalam keadaan berpelukan akibat ditembak komunis.

Jamilah yang sesekali menyeka air matanya berkata ketika itu dia baru berumur empat tahun dan masih mengingati kejadian menyayat hati itu dan juga daripada apa yang diceritakan oleh bapanya.

Pada 23 Feb 1950, kira-kira pukul 5 pagi itu, Balai Polis Bukit Kepong di sini diserang segerombolan kira-kira 200 pengganas komunis semasa darurat di Persekutuan Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua.

Serangan pengganas komunis itu telah mengorbankan 14 anggota polis, empat isteri anggota polis, seorang anak polis dan enam polis bantuan (AP).

“Saya lihat bapa saya tersandar di dinding kerana tembakan itu manakala ibu dan adik mati berpelukan dan keadaan ketika itu tidak boleh digambarkan dengan kata-kata akibat serangan komunis,” katanya.

Jamilah berkata dirinya kemudian diheret ke sebuah parit di luar balai polis dan nyawanya ketika itu diibarat seperti `telur di hujung tanduk’ apabila seorang komunis cuba untuk membunuhnya dengan benet.

“Alhamdulillah ketika nyawa hampir melayang kebetulan masa itu ada orang datang memberi bantuan,” katanya dan menurutnya ketika diheret dia hanya mampu menangis dan meraung sekuat hati.

Katanya, selepas diselamatkan daripada menjadi mangsa tikaman komunis, dia bersama-sama penghuni berek lain yang terselamat dikurung di sebuah kedai runcit, dan semasa itu dia turut terkena peluru sesat di bahagian tangan kirinya.

Jamilah berkata, semasa kejadian bapanya berusia 35 tahun dan walaupun mengalami cedera parah tetapi diberikan umur yang panjang, selain seorang lagi adiknya, Hassan, iaitu kembar Hussin, juga terselamat tetapi mereka terpisah selepas kejadian tersebut.

“Adik saya Hassan pun sudah ditemukan semula,” katanya yang berkeluarga dan dikurniakan enam cahaya mata.

Jamilah berkata, selepas peristiwa itu dia mengalami trauma manakala bapanya banyak termenung dan kurang bercakap, mereka kemudiannya berpindah ke Tanjung Surat sebelum bapanya menamatkan perkhidmatan di Johor Baharu.

Wanita itu juga berpesan kepada generasi muda agar mengenang kembali tragedi itu dan mempertahankan negara daripada diceroboh dan digugat keamanan yang dikecapi kini.


Tags: , , , , , , ,

Category: FEATURED, INFO SEMASA, VIRAL TERKINI

Leave a Reply

Your email address will not be published.