HINA MENDIANG BAPA WATSON NYAMBEK – PERMOHONAN MAAF DITOLAK, PENGACARA DAN 6 KRU SUKAN TAK SENTRAL DIGANTUNG TUGAS

| 24/04/2017 | 0 Comments

Ramai yang terkilan dengan dengan adegan lawak bodoh program tv Sukan Tak Sentral yang diterbitkan Primeworks Studios dan disiarkan oleh TV3. Salah satunya yang menjadi isu besar sekarang adalah melibatkan bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek.

Menerusi sumber berita hari ini, Watson menolak permohonan maaf daripada Primeworks berhubung insiden nama bapanya dipersendakan. Nama mendiang bapa Watson dikatakan dipersendakan seperti kambing oleh pengacara program tersebut, Azizul Ammar Abu Hassan.

“Sekarang saya hendak jelaskan di sini, walaupun mereka meminta maaf di hadapan anda semua (media), di TV serta di depan rakyat Malaysia, khasnya di Sarawak, kepada saya, saya sekarang ini susah hendak menerima maaf itu.

“Ini kerana bapa saya ini dipandang seperti seekor haiwan. Apa perasaan saya dan bagaimana perasaan anda semua?,” katanya pada sidang media Primeworks Studios dan Watson Nyambek hari ini.

Turut bersama dalam sidang media berkenaan adalah Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar; pengacara program itu, Azizul Ammar Abu Hassana dan isteri Watson, Fellizia Michael Sandom.

“Mungkin suatu masa nanti, hati saya akan terbuka, ..dan saya akan menerima kemaafan ini. Jadi sekarang saya belum hendak menerima (permohonan) maaf,” katanya.

Watson, 41, yang kini adalah jurulatih sukan berkata, ketika ini hatinya belum terbuka untuk memberikan kemaafan. Tegasnya, beliau sudah membuat laporan polis pada pagi tadi kerana perkara itu bukan main-main atau pun lawak.

“Saya akan teruskan perjuangan saya mendapatkan keadilan,” katanya yang akan mendapatkan khidmat peguam untuk menentukan langkah seterusnya. Watson dan isterinya sebelum itu hadir dalam rundingan damai dan permohonan maaf yang dianjurkan Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lain Bujang di Hotel Grand Palace.

Menerusi sumber yang sama, Primeworks Studios Sdn Bhd menggantung khidmat pengacara Azizul Ammar Abu Hassan dan enam kru penerbitan, tanpa tempoh dinyatakan, berkuat kuasa serta-merta susulan isu mempersendakan nama ayah bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Izham Omar yang memohon maaf secara terbuka pada sidang media bersama bekas pelari pecut negara Watson Nyambek berkata, program yang sama juga ditamatkan siarannya.

Beliau berkata, tempoh penggantungan tugas enam krew penerbitan akan diputuskan kemudian.

“Saya mohon maaf atas kesilapan yang tidak disengajakan kerana menyinggung perasaan keluarga Watson dan rakyat Sarawak,” katanya.

Turut hadir dan menyatakan kekesalan ialah Azizul Ammar sendiri.

Mimik tersebut dilakukan oleh pengacara Azizul Ammar Abu Hassan dalam rancangan “Sukan Tak Sentral”.

Mana geng seniman? Mereka tak mahu ambil tindakan kepada pelawak ‘sampah’ ni? Sebenarnya ramai pelawak sampah jenis sebegini. Ada yang mungkin anggap mereka otai siap nasihatkan lagi orang jangan sensitif sangat bila orang buat lawak sebab mereka hanyalah melawak.

Rasanya dalam kes ini, pihak penerbitan, stesen tv pun sewajarnya kena tindakan.

Berkenaan dengan kes Ammar ni, ramai yang mendedahkan sudah banyak kali dia melakukan kesalahan yang serupa. Katanya sebelum ini beliau pernah menghina Fina Mentor.


Tags: , , , , , ,

Category: FEATURED, HIBURAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.