KAFA MAHU SELESAI SEMUA HUTANG DALAM TEMPOH 30 HARI TETAPI DENGAN BERSYARAT

| 09/06/2017 | 0 Comments

Kalau baca tajuk awal mengenai Persa­tuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mahu selesai semua hutang dalam tempoh 30 hari tu dah bagus dah. Seperti ada sinar baru kepada pegawai dan pemain serta bekas pemain yang masih mempunyai tunggakan hutang daripada KAFA.

Bagaimanapun, bila baca selanjutnya rupanya disertakan dengan beberapa peraturan atau syarat yang mereka perlu akur. Alamak, dah la ada tunggakan hutang, tak boleh bayar dan nak bayar pula penerima dikenakan syarat.

Apa syaratnya?

Memetik sumber info, barisan penaja The Red Warriors (TRW) yang diketuai oleh Tan Sri ­Annuar Musa sedia melunaskan tunggakan hutang barisan pemain musim 2015 dan 2016 secara tunai sekiranya mereka bersedia memberikan rebat sebanyak 50 peratus kepada KAFA.

Annuar berkata, bayaran itu akan dilunaskan dalam tempoh 30 hari kepada mana-mana pemain dan pegawai yang bersetuju dengan pelan penyelesaian tersebut. Menurutnya, persetujuan itu mestilah diberikan secara bertulis dan mengikut peraturan yang dipersetujui antara kedua-dua belah pihak.

“Bagi tujuan itu, kita akan melantik sebuah firma guaman yang akan menulis surat dan menghantar tawaran ini kepada semua pemain terbabit. Tawaran ini dibuat secara sukarela oleh sekumpulan penaja demi membantu KAFA mempercepatkan penyelesaian hutang,” katanya menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Sebelum ini­, Annuar mengakui pihaknya tertunggak bayaran gaji, malah berhutang dengan hampir 30 orang melibatkan pemain musim 2015 dan 2016. Annuar memberitahu, mereka yang tidak bersetuju dengan tawaran tersebut berhak menolak, namun mungkin bakal berdepan jangka masa cukup lama menantikan tuntu­tan berkenaan dilunaskan badan induk bola sepak negeri itu.

“Kebanyakan bukan tunggakan gaji tetapi pampasan atau penyelesaian penamatan kontrak lebih awal dan KAFA belum mempunyai dana untuk menjelaskannya. Tiada paksaan dan mereka perlu menunggu seperti biasa sehingga KAFA ada keupayaan untuk membayarnya kerana itu adalah hak mereka. Boleh pilih yang mana satu, kami cuba membantu kedua-dua pihak tanpa prejudis,” ujarnya.

Dalam entri berkenaan, ­Annuar turut mengumumkan khabar gembira apabila barisan penaja musim ini bersetuju me­langsaikan tunggakan gaji selain gaji terkini, tidak lama lagi.

“Beberapa penaja sepakat untuk membantu membayar lebih awal gaji pemain bagi Jun yang sepatutnya dibayar pada awal Julai. Gaji Mei juga akan dijelaskan serentak pada 20 Jun ini. Ini ber­erti tiada tunggakan gaji bagi TRW pada musim ini,” katanya.

Aduh. Kalau nak diikutkan, memang merugikan pemain dan pengawai. Namun begitu, itu sahaja caranya untuk dapatkan tunggakan hutang berkenaan seberapa segera yang boleh. Kalau tak, entah bilalah akan dapat.

Macam mana?


Tags: , , , , , , ,

Category: SUKAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.