PENJAWAT AWAM PULAU PINANG BAKAL TERIMA BANTUAN KHAS KEWANGAN 0.75 BULAN GAJI

| 09/06/2017 | 0 Comments

Seramai 3,741 pegawai perkhidmatan awam negeri di bawah pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang akan menerima bantuan khas kewangan (BBK) sempena Hari Raya Aidilfitri pada 20 Jun 2017 ini.

Memetik laporan Sinar Harian Online, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataannya berkata, kerajaan Pulau Pinang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) 7 Jun lalu bersetuju meluluskan bayaran bantuan itu berjumlah 0.75 bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua anggota perkhidmatan awam negeri.

Menurutnya, pemberian bantuan itu dianggarkan berjumlah RM7.55 berbanding RM6.95 juta pada tahun lalu.

“Pemberian BKK pada tahun ini juga dipanjangkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri. BKK sebanyak 0.75 bulan ini akan dipecahkan kepada dua bayaran iaitu 0.5 bulan gaji kepada semua penjawat awam yang tiada rekod disiplin.

“Sementara itu, tambahan 0.25 bulan gaji lagi akan diberikan kepada penjawat awam yang mempunyai prestasi memuaskan iaitu tidak mengambil cuti sakit swasta melebihi satu hari, kad perakam waktu (KPW) kekal berwarna kuning dan tidak diluluskan cuti sakit tambahan di bawah Peraturan 17(a), Perintah Am Bab C dari tempoh 1 Januari sehingga 15 Jun 2017,” katanya.

Guan Eng berkata, pegawai yang layak menerima BKK antaranya lantikan tetap, sementara, ‘contract of service’ dan ‘contract for service’.

“Selain itu, pegawai yang bercuti separuh gaji tetapi tidak sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 15 Jun dan pegawai yang bercuti tanpa gaji tetapi tidak sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 15 Jun juga layak. Pegawai yang dipinjamkan ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya atau badan antarabangsa atau syarikat swasta tetapi tidak sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 15 Jun juga layak.

“Mereka yang layak juga termasuk pekerja sambilan harian (PSH) yang putus perkhidmatan selama tidak melebihi satu hari dan dilanjutkan semula perkhidmatannya juga layak,” katanya.

Menurutnya, pegawai yang tidak layak menerima BKK antaranya pegawai yang bercuti separuh gaji sepanjang tempoh Januari sehingga 15 Jun 2017.

“Selain itu, mereka yang tidak layak adalah pegawai yang bercuti tanpa gaji sepanjang tempoh tersebut (1 Januari hingga 15 Jun) dan pegawai yang dipinjamkan ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya atau badan antarabangsa atau syarikat swasta sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 15 Jun 2017.

“Pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib dalam tempoh tersebut juga tidak layak menerima BKK dan pegawai yang ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam sebelum atau pada 15 Jun 2017 dan pegawai yang meletak jawatan sebelum atau pada 15 Jun 2017 juga sama (tidak layak),” katanya.

Beliau menambah, bantuan itu turut diberikan kepada kakitangan sekolah agama rakyat di negeri ini.

“Penyelia, guru dan kakitangan Kafa, Sekolah Rendah Agama Rakyat, Sekolah Menengah Agama Rakyat, Sekolah Agama Rakyat (KAFA Integrasi), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Negeri dan Sekolah Persendirian Cina Pulau Pinang juga akan menerima BKK sebanyak RM300.

“Manakala bagi Maahad Tahfiz, Sekolah Pondok dan Tadika Islam (TADIS) pula akan menerima RM200 sebagai pengiktirafan kerajaan negeri terhadap sumbangan yang telah diberikan terhadap perkhidmatan masing-masing. Saya berharap agar bantuan ini dapat membantu penjawat awam dan semua guru yang terlibat meringankan beban mereka dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat. Ia juga sebagai bantuan menguruskan persediaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.


Tags: , , , , , ,

Category: INFO KAKITANGAN AWAM, INFO SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published.