PUNCA KEMATIAN THAQIF AMIN TERJAWAB TAPI RESPON DARI KELUARGA AGAK MENGEJUTKAN

| 10/07/2017 | 0 Comments

Setelah beberapa bulan kes ini berlaku akhirnya punca sebenar kematian murid madrasah tahfiz Al-Jauhar, Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11, terjawab.

Memetik sumber berita, keputusan bedah siasat terhadap Thaqif yang meninggal dunia pada 26 April lalu di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru didapati berpunca daripada penyakit dan bukannya trauma atau kecederaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dipetik sumber tersebut berkata, penyebab kematian kanak-kanak itu adalah kencing tikus (Leptospirosis).

“Ia dirumitkan dengan keadaan kulit nekrosis dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi) di seluruh saluran darah yang mengakibatkan perubahan warna kulit dan seterusnya membabitkan kegagalan organ untuk berfungsi,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan merujuk laporan bedah siasat yang dikeluarkan pada 5 Julai lalu. Katanya, proses bedah siasat bagi mengetahui sebab kematian dilakukan pada 6 petang hari yang sama kanak-kanak itu meninggal dunia.

“Beberapa sampel tisu dan darah diambil dan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan juga ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisa. Susulan daripada kejadian itu juga, satu Jawatankuasa Khas Siasatan ditubuhkan bagi menyiasat kes ini,” katanya.

Menurutnya, jawatankuasa itu membabitkan Pakar Perunding Forensik yang mahir dan berpengalaman luas dalam pengendalian kes-kes rumit.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata berdasarkan laporan perubatan itu, pihaknya akan mengemaskini kertas siasatan. Polis juga akan mendapat arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya.

– – – – – – – – – – – – – – – – – – – –

Bagaimanapun memetik sumber berita yang sama, keluarga Thaqif memberitahu mereka masih menunggu laporan penuh perubatan berkaitan punca kematian anaknya.

Bapa kanak-kanak itu, Mohd Gadaffi Md Karim berkata, sehingga kini tiada laporan diterima daripada pihak hospital meskipun kematian anaknya itu berlaku hampir tiga bulan lalu.

“Sudah hampir tiga bulan Allahyarham Mohamad Thaqif Amin meninggal dunia dan sehingga kini tiada laporan diterima mengenai punca kematiannya itu.

“Sebaliknya kami menerima laporan berkenaan dari pihak ketiga hari ini dan masih terkejut dengan perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan perubatan dikeluarkan terhadap kematian anaknya yang dikatakan berpunca daripada kencing tikus ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram, hari ini.

Menurutnya, sebelum ini keluarga berkenaan juga melantik peguam pemerhati bagi mendapatkan laporan penuh perubatan arwah anaknya itu.

Isterinya, Felda Wani Ahmad, 40, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai keputusan laporan perubatan membabitkan anaknya itu.

“Kenapa mereka tidak memberitahu kami terlebih dahulu, sebab dia anak kami. Sekarang keadaan bertambah keliru dan hanya dimaklumkan selepas lebih dua bulan berlalu baru diisytiharkan,” katanya yang juga guru sains Sekolah Kebangsan Taman Bukit Tiram.

Katanya, biasanya laporan penyakit berkaitan kencing tikus hanya boleh diketahui dalam tempoh singkat, sebaliknya berbeza dengan keadaan dilalui anaknya itu.

– – – – – – – – – – – – – – – – – – – –

Sebelum ini, pembantu warden madrasah tahfiz yang didakwa mendera murid itu dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah sebanyak RM20,000 pada 3 Mei lalu.

Dia ditahan pada 22 April lalu berhubung siasatan terhadap dakwaan mendera Mohamad Thaqif mengikut Seksyen 31(1) Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001.

Bagaimanapun, polis kemudian mengklasifikasikan kes kematian itu sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Tags: , , , , , ,

Category: INFO SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published.