GAMBAR BAKAL SUAMI TUNKU TUN AMINAH, NIKAH OGOS 2017

| 18/07/2017 | 0 Comments

Sudah tentu rakyat Malaysia terutamanya di negeri Johor bergembira apabila anakanda Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim bakal melangsungkan perkahwinan pada 14 Ogos 2017 nanti di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, istiadat persandingan pasangan Pengantin Diraja akan diadakan di Bilik Singahsana Istana Besar Johor Bahru pada 8 malam, hari sama.

Beliau berkata, satu istiadat meletak kerja pada 8 Ogos ini dengan menaikkan bendera istiadat kerajaan menandakan permulaan Istiadat Perkahwinan Diraja itu.

Majlis Tahlil dan Doa Kesyukuran akan diadakan pada Khamis 10 Ogos di Masjid Pasir Pelangi mulai 6.30 petang mohon restu Allah SWT terhadap perkahwinan itu. Istiadat pertunangan akan diadakan pada jam 10 pagi pada 14 Ogos dia Istana Bukit Serene diikuti Istiadat Nikah.

Katanya, Sultan Johor berkenan mewakilkan Sahibus Samahah Datuk Muhammad Tahrir Shamsudin yang juga Mufti Negeri Johor sebagai wali dan majlis perkahwinan berkenaan akan dilangsungkan secara tertutup.

Tapi siapakah jejaka yang menjadi pilihan Tunku Tun Aminah itu?

Memetik laporan Bernama dan Kosmo! serta sumber media sosial, Dennis Muhammad Abdullah atau nama asalnya Dennis Verbaas merupakan jejaka dari Belanda.

Dennis Muhammad dilahirkan pada 1 Mei 1989 di Lisse, sebuah bandar berdekatan dengan Amsterdam, Belanda dan merupakan anak kedua dari tiga beradik.

Dennis, yang juga anak kepada pasangan Martin dan Henriette Varbaas, menerima pendidikan di Floretti College Hilego The Netherlands dan kemudian meneruskan pembelajaran di ROC Leiden, The Netherlands dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

Bagaimanapun, Dennis bukannya seorang yang asing buat Tunku Tun Aminah.

Dennis, yang juga gemarkan bola sepak, pernah bekerja dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor sebagai Pengurus JDT Concept Store dan Cafe. Dia kemudiannya bekerja sebagai Pengurus Pemasaran Kelab Bola Sepak Tampines Rovers di Singapura.

Dennis memeluk Islam pada 31 Mei 2015 di Pejabat Kadi Johor Bahru dan dipimpin oleh pegawai agama bagi mempelajari Islam termasuk solat, berpuasa Ramadan, pengajianal-Quran, akhlak dan tulisan jawi selain dididik dalam Bahasa Melayu, budaya, etika serta protokol istana.

“Mulai tahun ini, Dennis Muhammad diasuh dan dipimpin oleh keluarga angkat yang diperkenan tuanku. Jadual pelajaran agama ditambah dan prestasi beliau sentiasa dipantau oleh panel guru dan pendidik Jabatan Agama sehingga mencapai taraf yang diperkenankan.

Dennis Muhammad lulus cemerlang dalam ujian tulisan, lisan dan praktikal,” kata Abdul Rahim.

Berikut adalah beberapa gambar yang tersebar di media sosial.

Semoga segalanya berjalan lancar dan dirahmati Nya. Amin.


Tags: , , , , , , , ,

Category: INFO SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published.