FILEM KAU YANG SATU DISIAR ONLINE DI FACEBOOK, PENERBIT BUAT LAPORAN POLIS RUGI RM2 JUTA!

| 07/08/2017 | 0 Comments

Terkejut, terkilan, kecewa… Mungkin itu sahaja perasaan yang ammboi boleh gambarkan mengenai perasaan pihak penerbit dan produksi filem Kau Yang Satu. Baru sahaja membuat tayangan namun filem Kau Yang Satu sudah menjadi mangsa cetak rompak.

Memetik sumber BH Online, penerbit filem Kau Yang Satu telah membuat laporan polis berhubung tindakan dua individu yang didakwa membuat lintas langsung melalui laman Facebook ketika menonton filem berkenaan di pawagam.

Tindakan dua individu berkenaan menyebabkan naskhah arahan Othman Ali itu ‘bocor’ di internet. Mereka mendakwa kerugian RM3 juta apabila semakan mendapati lebih 200,000 tontonan direkodkan sepanjang tempoh lintas langsung itu, baru-baru ini.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Taman Melawati pada jam 10.23 pagi tadi oleh Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro Shaw, Datuk Khairul Anwar Salleh dan Penerbit Eksekutif Global Station, Zetty Adila Ramly.

Zetty Adila berkata menerusi sumber tersebut, pihaknya membuat laporan polis bagi memberi pengajaran kepada pihak terbabit.

“Kami buat laporan polis bukan nak menghukum, sebaliknya kami berharap ia akan memberi pengajaran.

“Hal ini bukan baharu biarpun pernah terjadi. Tapi nampaknya, ada dalam kalangan kita yang tak takut. Mereka tak tahu ada hukuman setimpal yang menanti,” katanya.

Zetty kesal kes ‘rakam curi’ seumpama itu berlaku sedangkan industri filem tempatan bukanlah besar.

“Industri hiburan kita ini kecil. Kalau kita tak menyokong, bererti akan matilah (industri filem),” katanya.

Zetty menambah, pihaknya sudah membuat aduan rasmi kepada Facebook dan rakaman lintas langsung itu sudah pun dipadamkan.

“Kami berharap laporan polis ini akan membuka mata dan disusuli tindakan lanjut oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Terdahulu, Osman turut memuat naik status mendedahkan perlakuan individu terbabit. Osman meluahkan rasa kecewa dan menyatakan insiden itu menjejaskan kutipan tiket filem arahannya itu.

Filem adaptasi novel lakonan Aaron Aziz, Izara Aishah, Hisyam Hamid dan Soo Wincci itu mula ditayangkan di pawagam sejak 27 Julai 2017 lalu.


Tags: , , , , , ,

Category: HIBURAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.