WEDDING PLANNER ZURIN JUNDI JELAS PUNCA MASALAH, SEDIA RUNDING DENGAN 91 PASANGAN

| 06/09/2017 | 0 Comments

Sebelum raya Aidil Adha baru-baru ini, kecoh dengan isu dan kontroversi membabitkan Wedding Planner Zurin Jundi. Ada ramai pasangan pengantin mendakwa mereka ditipu oleh perancang perkahwinan berkenaan.

Mereka mendakwa apa yang dijanjikan oleh pihak Zurin Jundi tidak sama dengan yang dibuat pada majlis perkahwinan mereka. Sudah tentu ia memalukan kan?

Terbaru, memetik sumber Sinar Harian Online, pihak Zurin Jundi sedia berunding dengan 91 individu yang terlibat membuat laporan polis terhadap mereka.

Peguam dan juga wakil kepada pemilik Zurin Jundi, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar berkata, pihaknya sedia membincangkan langkah penyelesaian termasuk memulangkan deposit bagi memastikan semua pihak berpuas hati.

“Kami amat memohon maaf atas kecuaian yang berlaku dan akan membuat pembayaran secara berkala kepada beberapa pelanggan yang mendapat perkhidmatan kurang memuaskan terutama katering (makanan).

“Bagi 91 pelanggan terutama bakal pengantin, mereka boleh terus menghubungi anak guam saya yang juga pemilik syarikat selepas 24 jam sidang media ini untuk berbincang secara menyeluruh mengenai isu tuntutan semula wang deposit,” katanya.

Menurutnya lagi, pihak Zurin Jundi yang dimiliki Zurina juga akan mengembalikan wang kepada mereka yang terlibat dengan masalah yang tidak dapat dielakkan pada hari bahagia mereka.

“Kami akan mengembalikan wang secara berperingkat. Buat masa sekarang kami masih dalam proses mengenal pasti pihak yang terlibat dalam proses ini.

“Kami akui memang berlaku beberapa perkara yang tidak disengajakan, dan kami minta maaf atas kesilapan-kesilapan kami,” katanya.

Mengulas lanjut, sebenarnya terdapat beberapa pihak atau entiti yang didapati menyeleweng wang yang diberikan oleh pasangan pengantin kepada syarikat.

“Kami sedang mengenal pasti tentang perkara itu, apa yang kami pasti, ada lima atau enam individu atau entiti yang terlibat.

“Kami akan kemukakan saman sivil ke atas mereka dalam masa terdekat kerana tindakan mereka ini telah menjejaskan perniagaan kami,” katanya lagi.

Jelas pihaknya lagi, kebanyakan 91 individu yang terlibat membuat laporan polis terhadap pemilik perniagaan perancang perkahwinan terkenal Zurin Jundi, Zurina Ahmad Jundi bukanlah mangsa penipuan.

Sebaliknya menurut peguam dan juga wakil kepada Zurina, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar, hampir kesemua yang membuat laporan polis belum melangsungkan perkahwinan masing-masing.

“Mereka tidak boleh dipanggil mangsa kerana mereka tidak ditipu oleh Zurin Jundi.

“Mereka membuat laporan polis sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku apa-apa deposit mereka. Saya pasti selepas sidang media ini, mereka akan faham,” katanya.

Menurut Muhamad Akmal lagi, pihaknya tidak pernah menipu sesiapa atau mana-mana pihak sepanjang hampir 10 tahun melebarkan perniagaan di negara ini.

“Kami faham, disebabkan isu viral ini, mereka semua rasa terancam dan hilang kepercayaan terhadap kami. Lantas menyebabkan mereka ingin menuntut semula duit yang mereka persetujui untuk diberikan kepada kami.

“Ingin kami tekankan, istilah mangsa tidak pernah wujud kerana kami tidak pernah menipu. Sebagai pelanggan, mereka berhak berasa terancam tetapi ini adalah sesuatu tidak benar sekiranya mereka mengklasifikasikan diri mereka sebagai mangsa dan perkara ini telah disensasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Pada 31 Ogos lalu, Mah­kamah Majistret Klang telah mengeluarkan perintah reman selama dua hari sehingga semalam ke atas suspek bagi membantu siasatan dakwaan kes penipuan pakej perkahwinan yang membabitkan kira-kira 100 pasangan dan bakal pengantin.

Zurina dikatakan ditahan namun dibebaskan semula selepas disiasat.


Tags: , , , ,

Category: INFO SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published.