INI DIA SEBAB PERMAINAN BLUE WHALE CHALLENGE PERLU DIHARAMKAN MASUK MALAYSIA

| 08/09/2017 | 1 Comment

Dunia gempar dengan satu permainan dalam talian ‘Blue Whale Challenge’ yang didakwa boleh membuatkan pemainnya melakukan aktiviti merbahaya serta menyebabkan kematian.

Oleh itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan permainan Blue Whale Challenge yang disifatkan boleh mendorong golongan remaja melakukan aktiviti berbahaya termasuk terjun bangunan.

Pengerusi CAP S.M Mohamed Idris berkata walaupun setakat ini permainan itu belum memasuki Malaysia, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu mengambil langkah sewajarnya untuk mengharamkan permainan itu di negara ini.

Beliau berkata cabaran permainan yang didakwa wujud di beberapa negara itu bermula apabila ‘kurator’ yang menyampaikan mesej persendirian kepada pemain dalam media sosial menjemput mereka untuk bermain dengan syarat mereka tidak boleh berhenti sebaik sahaja bersetuju untuk mula bermain.

Jelasnya lagi, kurator kemudiannya memberikan pemain satu siri tugasan berbahaya dalam tempoh 50 hari termasuk melukakan diri sendiri, bangun seawal 4.20 pagi setiap hari, menonton video berlumuran darah yang dihantar kurator, mendengar lagu memurungkan, mengunjungi tanah perkuburan secara bersendirian dan berdiri di belebas bangunan tinggi.

Beliau berkata setiap tugasan yang diterima pemain perlu dirakam secara video atau difotokan supaya pentadbir (administrator) mempunyai bukti dan kesahihan tugasan termasuk membunuh diri.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa ibu bapa agar memantau aktiviti media sosial anak-anak mereka bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam permainan yang boleh membawa keburukan itu.

Awas, pastikan anda, keluarga dan kenalan tidak terjebak dengan permainan ini!


Tags: , , , , ,

Category: INFO SEMASA

Comments (1)

Trackback URL | Comments RSS Feed

  1. Nurul Nadiah says:

    Ya Allah..macam mana permainan macam ni pun orang boleh terfikir nak main..merbahaya betul..

Leave a Reply

Your email address will not be published.