10 TAHUN BAKAR BARANG, KALI INI API MISTERI BAKAR RUMAH SAMPAI HANGUS

| 20/09/2017 | 0 Comments

Apa yang sebenarnya berlaku sudah tentu menjadi misteri ramai pihak. Kisah ‘api misteri’ yang menghantui satu keluarga di Kampung Penambang Mas, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) sudah berlarutan selama 10 tahun.

Jika sebelum ini kemunculan api misteri hanya berlaku kecil-kecilan dan membakar beberapa barang di dalam rumah namun yang berlaku pada jam 10.30 pagi semalam ia terus memusnahkan rumah mereka dan rumah saudara yang terletak bersebelahan kediaman itu. Ia turut terbakar 20 peratus adalah rumah jiran mereka.

Memetik laporan myMetro, Wan Norfatiha Wan Hanafi, 19, berkata dia menyedari api tiba-tiba membakar dinding di ruang tamu rumah ketika mahu ke tandas untuk mandi.

“Panik melihat api itu saya segera memanggil adik Wan Norfatini, 17, yang ketika itu berada di dalam tandas dan nenek, Zainab Sulaiman, 80, yang bersolat sunat dhuha untuk keluar menyelamatkan diri.

“Emak, Rofeah Zakaria, 50, dan abang, Wan Mohd Faiz, 20, ketika itu berada di luar rumah untuk membuang sampah, sisa kebakaran dua hari lalu.

“Kebakaran itu pun puncanya daripada api misteri yang membakar kain di atas tong gas di dapur, selain tilam dan sofa,” katanya.

Menurutnya, keluarga mereka bercadang mengadakan solat hajat malam semalam untuk memohon keselamatan mereka daripada bencana terbabit.

“Malangnya belum sempat solat hajat diadakan, kejadian itu berulang kembali dan memusnahkan rumah kami.

“Sebelum ini sudah puas kami berikhtiar dan memanggil ustaz memulihkan keadaan kerana tidak tahu mengapa api misteri ini tiba-tiba muncul,” katanya.

Sementara itu, mangsa yang tinggal bersebelahan rumah Wan Norfatiha, Zaki Mohamad, 46, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumahnya dan sempat meminta bantuan jiran menyelamatkan dua kereta Proton Wira dan Perodua Myvi serta motosikal Yamaha.

Katanya, seorang adiknya, Siti Aisyah, 26, pula berada di dalam bilik dan sempat menyelamatkan diri.

“Alhamdulillah kami sekeluarga terselamat. Cuma harta benda di dalam rumah saja yang gagal diselamatkan.

“Sebelum ini, saya memang sudah dimaklumkan keluarga mereka mengenai api misteri itu yang muncul secara tiba-tiba, namun tidak sangka ia mengakibatkan rumah kami musnah sepenuhnya.

“Apapun, saya bersyukur kerana tiada yang cedera,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 25 anggota termasuk pasukan bomba sukarela bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Pengkalan Chepa serta Darulnaim ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 10.34 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Timbalan Penguasa Bomba Zaini Bidin berkata, sebaik tiba, sebuah rumah musnah manakala sebuah lagi terbakar 80 peratus dan seunit yang bersebelahan mereka terkena 20 peratus.

Menurutnya, pasukannya mengambil masa 15 minit untuk mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran.


Tags: , , , ,

Category: INFO SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published.