ANGGOTA TENTERA DAN ISTERI DIREMAN 5 HARI RANTAI ANAK PADA TONG GAS

| 07/10/2017 | 0 Comments

Rantai anak pada tong gas? Seperti sukar nak percaya. Kerana masih lagi ada kes macam ini berlaku kat negara kita. Mungkin niat mereka nak ‘mengajar’ tetapi ia sudah menjadi kes dera dan jika disabit kesalahan buruk akibatnya.

Memetik laporan mStar Online, seorang anggota tentera dan isterinya direman selama lima hari bermula semalam, bagi membantu siasatan kes dera anak lelaki mereka yang ditemui dirantai pada tong gas pada Khamis.

Ketua Polis Pahang Datuk Rosli Ab Rahman berkata suspek berusia 32 tahun dan isterinya berusia 37 tahun ditahan ekoran penemuan kanak-kanak malang itu, selepas polis terpaksa memecah masuk bahagian belakang rumah yang terletak di Indera Mahkota 1, pada pukul 10 pagi semalam.

Beliau menambah semasa ditemui, mangsa yang berusia 10 tahun hanya memakai seluar dengan lehernya diikat pada tong gas berwarna hijau menggunakan rantai besi dan kunci mangga.

“Mangsa dipercayai berada dalam keadaan itu selama dua jam dan ditinggalkan di rumah bersama-sama dengan adik bongsu berusia dua tahun, yang semasa serbuan berada di tingkat atas rumah.

“Ibu mangsa dipercayai keluar berniaga manakala dua lagi adik beradik mangsa masing-masing berusia 13 dan enam tahun ke sekolah,” katanya.

Rosli berkata mangsa yang merupakan anak kandung wanita itu daripada perkahwinan terdahulu kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Difahamkan, mangsa diperlakukan sedemikian kerana ponteng sekolah dan degil.

Beliau menambah siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 iaitu mendera, mengabaikan dan menganiaya kanak-kanak yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, jiran mangsa yang enggan dikenali mendakwa beliau mendengar bunyi besi bergesel dengan tong gas dari rumah itu sejak awal pagi semalam, dan mula berasa curiga apabila mendengar bunyi rantai besi direntap.

“Pada mulanya saya ingat anak jiran sengaja bermain di tong gas itu, namun bila diselidik, didapati anak jiran yang diikat pada tong gas itu. Saya nampak kanak-kanak itu juga cuba mengangkat tong gas itu sambil menyeret rantai besi itu,” katanya.

Beliau juga mendakwa sering mendengar mangsa ditengking oleh suspek selain ada kalanya merayu supaya tidak dipukul.

Sementara itu, seorang lagi jiran berkata keluarga berkenaan baru dua bulan berpindah ke kawasan perumahan itu dan kurang bercampur dengan jiran-jiran.


Tags: , , , , ,

Category: INFO SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published.