SENARAI PEMAIN KELANTAN 2018 AKAN DIUMUM PADA SABTU INI

| 06/11/2017 | 0 Comments

Kelantan berjaya mengekalkan kedudukan dalam Liga Super bagi musim 2018 setelah berjaya menundukkan Melaka United dalam perlawanan terakhir liga.

Setelah aksi terumbang ambing dalam musim 2017, ramai berharap Kelantan mampu bangkit pada musim baharu yang akan datang. Oleh itu, usaha yang lebih keras diperlukan oleh pihak pengurusan dalam meningkatkan kembali bolasepak Kelantan.

Memetik sumber berita hari ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) nampaknya sudah membuat persiapan awal bagi musim depan. Menurut sumber berkenaan, KAFA akan mengumumkan senarai pemain serta jurulatih musim depan pada Sabtu ini.

Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman yang mengesahkan perkara itu berkata, ia akan diumumkan selepas mesyuarat Exco badan induk berkenaan.

“Ya betul, KAFA akan umumkan senarai pemain yang akan menggalas cabaran TRW musim depan sebaik selesai mesyuarat yang diadakan 11 November nanti. KAFA juga akan umumkan barisan kejurulatihan,” katanya dipetik laporan BH Online.

Jelasnya, keputusan itu bagi membolehkan persiapan awal dibuat sekali gus memastikan pasukan lebih sempurna dapat dibentuk.

“Kita juga berharap pemain baharu yang ditandatangani dapat membentuk keserasian bersama pasukan lebih awal sebelum saingan Liga Super tahun depan,” katanya.

Terdahulu, terdapat desas-desus di kalangan penyokong TRW mengenai senarai wajah baharu yang bakal membarisi skuad TRW musim depan.

Menurut beberapa blog penyokong TRW, beberapa bekas pemain kemungkinan menyertai TRW semula pasukan itu pada musim depan. Antaranya pemain sayap FELDA United, Wan Zack Haikal Wan Noor; pemain sayap Pahang, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Manakala penyerang FELDA United, Norshahrul Idlan Talaha dan pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Shakir Shaari turut dikaitkan dengan perpidahan semula ke Kelantan.

Apapun, senarai pemain Kelantan 2018 yang sebenarnya hanya akan diketahui pada Sabtu ini. Sama-sama kita nantikan.


Tags: , , , , , , , ,

Category: BOLASEPAK MALAYSIA, THE RED WARRIORS NEWS

Leave a Reply

Your email address will not be published.