GOLONGAN MUDA PALING BERISIKO TERLIBAT KEMALANGAN JALAN RAYA

| 22/11/2017 | 0 Comments

Setiap hari ada sahaja laporan berita mengenai kemalangan jalan raya. Tidak mengejutkan sekiranya Malaysia adalah antara negara yang mencatatkan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya tertinggi di dunia pada tahun 2015.

Sudah tentu apa yang berlaku amat membimbangkan. Apatah lagi kebanyakkan kemalangan jalan raya di negara kita ini melibatkan golongan muda. Kajian oleh Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan 60 peratus daripada kes kematian yang dicatatkan setiap tahun melibatkan golongan muda.

Menurut ‘Laporan Statistik Kemalangan Jalan Raya 2015’ (sumber) yang dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pula, sebanyak 489,696 kemalangan jalan raya telah dilaporkan. Sebanyak 6,706 kematian telah dicatatkan dengan purata 18 orang maut dalam sehari. Ia melibatkan kecederaan dan kematian yang disebabkan oleh faktor kecuaian manusia. Individu yang berumur di antara 16 hingga 20 tahun mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 934 kes, diikuti dengan umur antara 21 hingga 25 tahun (828 kes), 26 hingga 30 tahun (641), 31 hingga 35 tahun (579) dan selebihnya berusia 36 tahun ke atas.

Ditambah pula dengan pemandu muda yang memandu dalam keadaan cuai juga menjadi punca meningkatnya kadar kemalangan jalan raya di samping gejala ‘mat rempit’ yang semakin menjadi-jadi. Tidak kurang juga pemandu lalai yang memandu melebihi had laju yang merisikokan nyawa orang ramai di jalan raya demi keseronokan sementara.  Jika nyawa tidak melayang, saman dan tahanan lokap seolah-olah sudah lali kepada golongan ini.

Disebabkan itu, liberalisasi insurans/takaful motor telah diperkenalkan untuk menggalakkan tabiat pemanduan yang selamat dan memberi keadilan kepada pemandu yang mempunyai rekod yang baik.

Menerusi liberalisasi insurans/takaful motor, kadar premium adalah lebih adil kerana ia berdasarkan profil risiko pemandu. Sebelum liberalisasi, jika anda seorang pengguna jalan raya yang baik, tidak pernah terlibat dalam kemalangan, tidak membahayakan pengguna lain, anda membayar premium / sumbangan takaful yang sama dengan pengguna yang berisiko tinggi. Kini, pemandu yang mempunyai rekod yang baik serta risiko kemalangan yang rendah berpeluang menikmati premium insurans/sumbangan takaful yang lebih adil dan rendah.

Namun begitu, sebagai pengguna yang bijak kita tidak boleh hanya memilih berdasarkan harga semata. Kita perlu membuat perbandingan dan memilih perlindungan insurans/takaful yang dapat memenuhi keperluan pada harga yang tepat. Anda digalakkkan untuk membuat perbandingan bila tibanya masa untuk memperbaharui insurans / takaful motor anda dengan melayari halaman ‘Motor Product Selector’ di piam.org.my atau malaysiantakaful.com.my

Semoga dengan pelaksanaan kaedah baru ini ia dapat melahirkan pemandu berhemah dan patuh terhadap peraturan yang ditetapkan. Seterusnya statistik kemalangan jalan raya dan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya juga dapat dikurangkan!

Kalau nak tahu lebih lanjut tentang manfaat liberalisasi, anda boleh layari piam.org.my atau malaysiantakaful.com.my.


Tags: , , , , , , ,

Category: ADVERTORIAL, INFO SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published.