PUNCA UTAMA PEMAIN MALAYSIA MENOLAK TAWARAN BERAKSI DI LUAR NEGARA TERJAWAB

| 31/12/2017 | 1 Comment

Sudah pasti ramai yang tidak sabar menantikan pembukaan Liga Malaysia 2018. Sehingga kini, semua pasukan terlibat sedang giat memperkemaskan pasukan masing-masing. Pastinya mereka mahu mempamerkan aksi terbaik dan mencabar kejuaraan pada musim baharu ini.

Seperti yang kita maklum, perpindahan pemain juga nampak rancak. Biasalah, pemain-pemain yang menonjol dan berbakat pada musim lalu akan menjadi buruan pasukan-pasukan besar. Apapun, ramai yang mempertikaikan kenapa mereka tidak mahu beraksi di luar negara?

Adakah pemain Malaysia langsung tidak menarik perhatian?

Memetik sumber info, sebenarnya ramai pemain Malaysia yang berjaya memikat kelab luar negara (rantau Asia Tenggara). Namun begitu, oleh kerana tawaran kurang lumayan berbanding pendapatan yang diperoleh dalam Liga Malaysia (Liga M) menjadi antara faktor pemain tempatan terpaksa menolak tawaran berkenaan terutamanya tawaran dari kelab Thailand.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Bakat Sukan MVP Sports Agency, Hafizan Halim sambil menjelaskan gaji yang ditawarkan oleh kelab Thailand kepada beberapa pemain Malaysia antara USD3,000 (RM12,000) hingga USD5,000 (RM20,000) sebulan.

Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan pengurangan antara 40 hingga 50 peratus daripada gaji yang diperoleh pemain tempatan daripada kelab di Liga M.

“Memang ada beberapa kelab dari Thailand berminat dengan pemain Malaysia terutama yang bermain pada Sukan SEA lalu, cuma daripada segi tawarannya tak berapa sesuai dengan apa yang diminta.

“Ini bukan soal memilih atau tidak, tapi masalahnya tawaran gaji yang pemain itu dapat daripada pasukan dalam liga kita lebih tinggi.

“Jadi, saya menafikan dakwaan yang pemain kita tiada kualiti atau sengaja tak nak keluar beraksi di liga luar, mereka tak nak keluar sebab faktor macam ini.

“Mungkin ramai orang tak faham. Contoh terbaik adalah jika kita ditawarkan bekerja di luar negara tapi pada masa sama kita mendapat pendapatan lebih baik di Malaysia, sudah pasti kita akan pilih untuk bekerja di negara sendiri,” katanya.

Sebelum ini, enam pemain muda negara – Adam Nor Azlin, Adib Zainudin, Syamer Kutty Abba, Nor Azam Azih, Jafri Firdaus Chew dan N Thanabalan – dilaporkan menjadi buruan beberapa kelab liga Thailand selepas mempamerkan aksi cemerlang pada temasya Sukan SEA, Ogos lalu.

Namun, difahamkan hanya Adam, Syamer dan Jafri saja mendapat tawaran daripada kelab negara jiran itu tetapi sehingga kini tiada khabar berita mengenainya.

Malah, Adam dan Syamer sudah sah menyertai pasukan baharu mereka yang juga juara Liga Super empat kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selain itu, Hafizan turut mengakui Liga M menjadi antara liga di rantau Asia Tenggara yang menawarkan gaji tertinggi buat pemain.

“Walaupun Liga M menawarkan gaji tinggi, tapi saya tidak menolak kemungkinan pemain tempatan akan berhijrah sekiranya mendapat tawaran lebih baik di liga luar,” katanya.


Tags: , , , , ,

Category: SUKAN

Comments (1)

Trackback URL | Comments RSS Feed

  1. semakkini says:

    Harap kualiti permainan dapat ditingkatkan juga. Jangan gaji besar tapi main takda peningkatan

Leave a Reply

Your email address will not be published.