Semalam kita dikejutkan dengan berita kematian seorang kanak-kanak Muhammad Iqbal Rafie Mohd Ilme, 5, yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat keracunan makanan. Selain kanak-kanak berkenaan, bapanya turut mengalami keracunan makanan namun dilaporkan selamat.

Menurut laporan berita hari ini pula, seramai 101 orang lagi mengalami keracunan makanan selepas menikmati juadah yang dibeli di pasar malam di Taman Shah Bandar dan Padang Hiliran, Kuala Terengganu pada Sabtu lepas. Mereka dilaporkan kini dirawat di HSNZ setelah muntah dan cirit-birit selepas menikmati nasi goreng putih, nasi goreng merah, kuetiau goreng dan mee goreng.

keracunan makanan

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden ini dan tidak menolak kemungkinan empat jenis makanan itu mengandungi virus salmonella yang mungkin berpunca daripada ayam atau telur. Sejak Sabtu lepas, seramai 68 orang termasuk 18 kanak-kanak dimasukkan ke wad HSNZ manakala 33 orang lagi diberi rawatan pesakit luar selepas mengalami keracunan makanan. Mereka berusia antara 10 bulan dan 57 tahun. Pihaknya juga mengambil 10 najis pesakit untuk diuji bagi mengenal pasti punca sebenar keracunan itu.

Dr Anwa berkata pihak hospital telah mengambil sampel air tulang belakang dan darah dari jantung kanak-kanak itu untuk mengenal pasti punca kematiannya. Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu juga mengenal pasti tiga peniaga pasar malam yang disyaki menjual makanan itu dan mengarahkan mereka menghentikan operasi perniagaan selama seminggu bagi melakukan kerja-kerja pembersihan. Pihaknya turut mengambil 31 contoh makanan daripada ketiga-tiga peniaga itu serta najis pengendali makanan berkenaan untuk diuji.

Sementara itu, Dr Anwa meminta orang ramai yang mengalami cirit birit atau muntah selepas memakan makanan yang dibeli dari pasar malam antara 28 Februari dan 1 Mac lepas supaya segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan. Beliau turut meminta para peniaga pasar malam supaya sentiasa mengutamakan kebersihan dalam aspek penyediaan makanan dan tidak hanya mementingkan keuntungan.


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.