Pekanbaru adalah ibu kota Riau wilayah Indonesia dan merupakan pusat ekonomi utama di bahagian timur Pulau Sumatera.  Ia mempunyai kawasan sekitar 632.26 km² dengan populasi 1,093,416 penduduk.

Pekanbaru terletak di tebing Sungai Siak, yang mengalir ke Selat Melaka. Pada mulanya, daerah ini dibina sebagai pasar oleh pedagang Minangkabau pada abad ke-18. Namanya berasal dari perkataan Melayu untuk pasaran baru di mana ‘pekan’ adalah pasaran dan ‘baru’ adalah baru.

tempat menarik di pekanbaru

Imej via [jrrny]

Untuk pengetahuan anda, terdapat  banyak sekali tarikan pelancong di Pekanbaru. Ia dikenal orang sebagai bandar perniagaan bagi mengeksport minyak mentah, kelapa sawit, kertas dan pulpa.

Pekanbaru juga dinobatkan sebagai bandar ketiga terbesar di pulau Sumatera.  Kali ini, mari kita mengelilingi kota Pekanbaru ini dan kawasan sekitarnya. Terdapat beberapa tempat menarik di Pekanbaru yang unik dan cantik boleh anda kunjungi.

 

1.  Riau Fantasi

Tempat menarik di pekanbaru

Imej via [lovetravelling18]

Kita mulakan dengan tempat menarik di Pekanbaru yang pertama ini berkonsepkan taman tema air.  Destinasi ini amat sesuai untuk anda datang bersama keluarga terutamanya anak-anak. Riau Fantasi ini merupakan hasil gabungan dari Labersa Theme Park dan Labersa Waterpark sekaligus menjadi taman tema air terbesar di Sumatera.

Terdapat lima jenis kolam dengan tema dan kedalaman yang berbeza malah papan luncur juga disediakan dengan pelbagai jenis bentuk.  Jika anda sudah bosan bermain air di Riau Fantasi ini, anda boleh melakukan aktiviti darat seperti speedy coaster, kora-kora, family swinger dan wave blaster.  

Kemudahan awam juga turut disediakan seperti surau, gazebo dan kafeteria.  Datang dan rasailah sendiri pengalaman yang semestinya memacu degup jantung anda dengan cepat sekali.

 

2.  Danau Lembah Sari

tempat menarik di pekanbaru

Imej via [daerahpekanbaru]

Tempat menarik di Pekanbaru selanjutnya tidak kalah hebatnya berbanding yang lain. Walaupun Pekanbaru merupakan salah satu kota moden di Sumatera namun keaslian kotanya tetap kukuh dijaga rapi.

Pada mulanya, danau ini hanya digunakan sebagai bendungan untuk mengalirkan air ke sawah. Suasana yang tenang dan damai berlatar belakangkan flora yang kehijauan menjadikan tempat ini sesuai untuk berkelah sekaligus melancong.

Anda juga boleh menyewa perahu dayung dan bot untuk bersiar siar di sekitar danau. Lebih menarik, disekitar kawasan danau ini terdapat beberapa warung dan gerai untuk anda mencuba makanan tradisi khas Pekanbaru terutama sekali Sup Tunjang yang menjadi kegilaan ramai.

 

3.  Taman Rekreasi Alam Mayang

tempat menarik di pekanbaru

Imej via [ksmtour]

Tak sah jika anda tidak berfotografi sekiranya melancong kan? Pastinya tempat menarik di Pekanbaru kali ini amat sesuai untuk anda merakam momen-momen indah.  Tempat ini menjadi kegemaran penduduk tempatan mahupun pelancong untuk melakukan aktiviti yang mengasyikkan.

Ia dikelilingi kawasan bukit serta udara sekelilingnya sejuk sesuai untuk bersantai.  Anda dapat melihat Jambatan Leighton yang melintasi Sungai Siak dari taman ini.

Terdapat tiga buah kolam yang selalu menjadi port bagi kaki pancing. Pertandingan memancing juga kerapkali diadakan di sini.  Aktiviti lasak dan kegiatan outbound seperti flying fox, banana bot dan bola air gergasi juga boleh anda cuba.  Anak kecil anda boleh dibawa ke taman permainan, studio 3d dan arena mandi. Persembahan silap mata dan badut yang menambat hati juga terdapat di sini.

 

4.  Istana Siak Sri Indrapura

tempat menarik di pekanbaru indonesia

Imej via [Info Budaya Indonesia]

Istana Siak yang merupakan pusat pemerintahan Kesultanan Siak pernah menjadi saksi berkembangnya islam di Tanah Riau yang berdaulat. Tempat menarik di Pekanbaru berkonsepkan istana ini didirikan pada tahun 1889 oleh Sultan Syarif Hasyim Abdul Jalil Syaifudin.

Anda boleh melihat struktur luar istana yang bergaya eropah, arab dan melayu malah di ruang dalam istana juga amat mengagumkan.  Beberapa buah patung iaitu Ratu Wilhelmina dari belanda dan patung Sultan Syarif Kasim II dipamerkan di tingkat satu.

Di tingkat dua pula terdapat pelbagai jenis barangan, senjata, alat muzik dan gambar sultan.  Untuk memasuki istana ini, anda harus membuka kasut kerana dikhuatiri merosakkan lantai istana dan merupakan adab kepada istana.

 

5.  Masjid Agung Annur

tempat menarik di pekanbaru

Imej via [bimasislam]

Masjid Agung Annur bukan sahaja menjadi tempat menarik di Pekanbaru bahkan ia juga tempat beribadat orang islam yang paling indah. Masjid yang berdiri megah di Pekanbaru ini diterapkan dengan senibina ala-ala melayu, arab, turki dan india.

Masjid yang mempunyai 3 tingkat ini mampu menampung lebih 4,500 orang dan selalu dijadikan tuan rumah bagi acar tabligh akhbar besar-besaran.  Pada malam hari, anda akan melihat masjid ini disinari dengan lampu berwarna warni yang memantulkan cahaya di kolam besar hadapan masjid.

Disamping menjadi tempat beribadat ia juga menjadi tempat yang sering dikunjungi terutama pada bulan ramadan.  Terdapat beberapa buah gerai yang menjual makanan dan peralatan ibadat dan sunnah. Aura memukau masjid ini membuatkan ia sering disebut sebagai Taj Mahal Riau.

 

6.  Perpustakaan Seoman H.S

tempat menarik di pekanbaru

Imej via [wikipedia]

Seni bina dan reka bentuk Perpustakaan Seoman H.S ini sangat unik kerana ia berbentuk rehal untuk mengalas Al Quran dengan futuristik dan moden.  Perpustakaan 6 tingkat ini bukan sahaja mempunyai pelbagai jenis aneka buku malah terdapat surau, kafe dan juga auditorium untuk anda singgah.

Ruangan khas seperti ruang bahasa melayu dan Children Library membolehkan anda bebas membaca semua jenis buku tanpa mempunyai kad keahlian dengan tenang. Segalan kemudahan seperti sofa dan pendingin hawa serta akses internet secara percuma cukup disediakan di sini.

Pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran dan perpustakaan ini dibuka setiap hari. Pencinta buku pasti rambang mata setelah menjejakkan kaki ke sini.

 

7.  Pasar Bawah

tempat menarik di pekanbaru

Imej via [inhilklikfoto]

Tempat rekreasi sudah, tempat bersejarah pun sudah, tempat menarik di Pekanbaru kali ini adalah lokasi membeli-belah, tentunya kaum hawa menyukainya.  Pasar yang merupakan pasar tertua di Pekanbaru ini terletak di Sungai Siak dan pelabuhan. Senibina bangunan ini memadukan antara budaya Tionghwa dan melayu.

Pelancong wajib datang ke Pasar Bawah ini kerana terdapat pelbagai barangan dan perhiasan dijual di sini. Kebanyakan barang di sini diimport dari China, Timur Tengah, Singapore dan tempatan.

Barangan secondhand juga boleh anda temukan di sini dan pastinya dijual dengan harga yang murah.  Makanan dan camilan khas buatan Pekanbaru seperti dodol kedondong, lempuk durian dan ikan salai harus anda cuba di sini.

 

8.  Rainbow Hills Rembau

tempat menarik di pekanbaru

Imej via [instagram]

Mendengar namanya sahaja, pasti anda teruja untuk melihatnya bukan?  Bukit warna-warni ini digolongkan sebagai tempat menarik di Pekanbaru. Anda tak perlu lagi untuk ke Peru untuk melihat Rainbow Mountain kerana di Pekanbaru ini sudah ada semirip Rainbow Mountain.

Pertama kali bukit ini diperkenalkan oleh seorang blogger bernama Marischka Prudence. Kini ia menjadi tular dan lokasi bagi mengambil foto-foto berlatar belakangkan bukit berwarna warni nan cantik.

Bukit pelangi ini sebenarnya adalah lembah tanah kecil beraneka warna iaitu coklat tua, orange, kekuningan hingga pink. Kombinasi warna pemandangan ini sangat menarik apatah lagi jika anda melihatnya pada siang hari.

 

9.  Desa Okura

tempat menarik di pekanbaru

Imej via [datariau]

Meskipun tempat menarik di Pekanbaru ini hanya sebuah desa, namun sejak 2010 Pekanbaru telah dijadikan sebagai lokasi pelancongan di Provinsi Riau.  Di sini anda dapat menikmati suasana perkampungan suku melayu Riau yang semestinya tenang dan jauh dari hiruk pikuk kesibukan kota.

Untuk sampai ke sini, anda boleh menggunakan jalan darat atau jalan sungai. Aktiviti-aktiviti menarik yang selalu dilakukan di sini adalah menaiki bot menyusuri sungai, melihat kehidupan suku asli di Desa Okura, berbasikal dan menunggang kuda.

Pekanbaru juga telah mempunyai gerbang masuk serta jambatan yang menghubungkan Desa Okura dan Kabupaten Siak. Anda boleh lalu di sini dan mengambil gambar kenangan.

 

10.  Anjungan Seni Idrus Tintin

tempat menarik di pekanbaru

Imej via [bertuahpos]

Tempat menarik di Pekanbaru yang terakhir ini sering menjadi kunjungan para pencinta karya seni. Bangunan dengan senibina Melayu Riau yang mirip seperti istana ini dinamakan sempena nama seniman terhebat Riau Idrus Tintin.

Ruang dalam Anjungan 3 tingkat  ini tak kalah hebatnya dengan senibina bangunan diluarnya.  Anda boleh mengambil gambar dan bersantai-santai di kawasan luar.

Di lokasi ini juga pernah diadakan kegiatan seni bertaraf nasional bahkan internasional seperti pada tahun 2008 iaitu Festival Film Indonesia dan Vinculos Indonesia 2018. Seronokkan melihat aktiviti-aktiviti di sini.

 

11.  Kebun Binatang Sang Kulim

tempat menarik di pekanbaru

Imej via [Antaranews]

Kebun Binatang Sang Kulim ini seakan-akan taman rekreasi atau zoo yang lengkap dengan pelbagai haiwan. Namun, ia bukan sekadar pameran haiwan, tetapi ia sarat dengan pelbagai aktiviti menarik boleh anda dan anak anda lakukan.

Anda boleh membawa anak bermandi-manda di kolam renang kanak-kanak, bermain buaian, memancing dan lain-lain lagi aktiviti.  Kebun Binatang Sang Kulim yang terletak di Pekanbaru ini menjadi salah sebuah tempat menarik sesuai anda lawati bersama anak dan keluarga.

 

12.  Masjid Senapelan Pekanbaru

tempat menarik di pekanbaru

Imej via [lelungan]

Sebenarnya, terdapat banyak masjid di Pekanbaru Indonesia yang boleh anda kunjungi. Masjid Senapelan Pekanbaru ini asalnya adalah nama “Masjid Alam”, “Masjid Nur Alam” dan sekarang bertukar kepada nama “Masjid Senapelan Pekanbaru, atau Masjid Raya Pekanbaru” pula.

Masyarakat setempat mengatakan bahawa masjid ini menjadi tempat utuk ramai orang datang dengan tujuan  memohon kesembuhan dari penyakit, membayar nadzar ataupun niat mereka yang lain kerana terdapat sumur yang dikeramatkan di sini.

 

13.  Kuantan Regency Waterpark

tempat menarik di pekanbaru

Imej via [lelungan]

Kuantan Regency Waterpark adalah sebuah tempat menarik di Pekanbaru, Indonesia yang berkonsepkan taman tema air. Anda boleh bermandi-manda sambil bermain gelongsor yang panjang dan mencabar di sini.

Selain taman air, kolam air turut terdapat di sini untuk anda bermandi-manda dengan anak-anak kecil. Lebih selesa bukan? Penginapan seperti chalet, hotel dan homestay boleh anda dapatkan di Kuantan Regency Waterpark dengan harga yang berpatutan.

 

14.  Artificial Lake Tour

tempat menarik di pekanbaru

Imej via [Tripadvisor]

Terdapat banyak kerusi  untuk anda bersantai menikmati keindahan tasik berdekatan kawasan ini.  Ia sering dijadikan kawasan majlis dan tempat perjumpaan untuk acara, kelab dan sesetengah organisasi.

Tasik Artificial Lake Tour ini boleh dijadikan port memancing anda kerana ia amat tenang dan penuh dengan ikan-ikan besar dan pelbagai jenis.  Tak percaya? Jom datang lihat orang memancing atau rasai sendiri memancing di sini.

tempat menarik di pekanbaru

Imej via [riaume]

Itulah dia tempat menarik di Pekanbaru yang wajib anda lawati. Bagaimana? Anda tertarik untuk mengunjungi tempat-tempat yang saya cadangkan? Rugi rasanya jika anda berkunjung ke Indonesia tetapi tidak singgah ke Pekanbaru.

Moga artikel kali ini menjadi panduan dan bermanfaat buat anda. Jemput baca tempat menarik di Pontianak, Indonesia dan tempat menarik di Sepang pula.

 

Rujukan

  1. Wikipedia
  2. Tripzilla
  3. Tempat Wisata Seru

 

Penulis: Zushazrina Zulkifli

Merupakan penulis bebas sepenuh masa yang suka berkongsi tips, ilmu dan penulisan di Malaysia.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.