Negara Korea terdiri daripada beberapa bandar besar seperti Seoul, Busan, Incheon, Daegu dan Gwangju. Dalam satu trip percutian anda ke Korea, pasti tak akan sempat untuk melawat ke semua bandar. Malah untuk senaraikan ke semua tempat yang menarik di Korea dalam satu artikel ini juga, tidak akan cukup. Oleh sebab itu, kami senaraikan 20 tempat menarik yang terdapat di beberapa bandar di Korea untuk bacaan anda.

 

1) National Museum of Korea

National Museum of Korea

Imej via theseoulguide

Muzium adalah tempat yang paling ideal untuk pengunjung ingin tahu berkenaan sejarah serta latar belakang sesuatu tempat yang dilawati. Begitu juga Korea. Untuk anda mengetahui lebih dekat tentang negara Korea, anda bolehlah melawat ke National Museum of Korea.

Melangkah masuk ke dalam muzium ini membuatkan anda merasa seperti merentasi zaman kerana pamerannya yang tersusun kemas bermula dari zaman pra-sejarah di Korea sehinggalah ke zaman moden. Jika anda tidak tahu berbahasa Korea, tidak mengapa, kerana pameran ini juga lengkap dengan penerangan di dalam bahasa Inggeris.

 

Lokasi: 137 Seobinggo-ro, Yongsan-gu, Seoul 04383, South Korea

Waktu Operasi: Isnin, Selasa, Khamis, Jumaat (10.00am – 6.00pm) | Rabu & Sabtu (10.00am – 9.00pm) | Ahad & Cuti Umum (10.00am – 7.00pm)

Harga Tiket: Percuma

 

2) Nami Island

Nami Island

Imej via kkday

Nami Island terbentuk hasil daripada pembinaan Empangan Cheongpyeong. Ia mendapat nama daripada General Nami yang telah disemadikan di sini. Beliau telah dibunuh pada usia 28 tahun pada masa pemerintahan Raja Sejo (1455-1468) kerana telah dituduh sebagai pengkhianat. Pada tahun 1965, Nami Island telah dibeli oleh Mr. Minn Byeongdo (1916-2006), seorang pencinta alam semula jadi. Mr Minn kemudiannya telah menanam semula hutan di Nami Island, membina resort dan menjadikan Nami Island sebagai sebuah tempat pelancongan.

Pulau ini berkeluasan 553,560 km persegi dan dipenuhi dengan pokok-pokok chestnut menjadikan Nami Island lokasi pengambaran drama Korea popular Winter Sonata. Di Nami Island, anda berpeluang menikmati pemandangan indah dengan menaiki ferry. Di sini juga terdapat kemudahan sukan aktiviti air seperti perahu bermotor dan ski air.

 

Lokasi:  1 Namisum-gil, Namsan-myeon, Chuncheon, Gangwon-do, South Korea

 

3) Seoul Central Mosque

Seoul Central Mosque

Imej via steemit

Bagi yang Muslim, ketika anda di Seoul, bolehlah luangkan masa untuk singgah di Itaewon. Ini kerana, di sinilah terletaknya Seoul Central Mosque. Masjid ini berkeluasan 1,500 meter persegi siap dibina pada 1976 dengan bantuan dana dari kerajaan Saudi dan negara timur tengah lain. Seoul Central Mosque terletak di antara Sungai Han dan Namsan.

Masjid ini terdiri daripada pejabat, bilik kuliah, dewan solat utama di tingkat 2 dan dewan solat wanita ditingkat 3. Di sini juga terdapat sebuah madrasah dinamakan Prince Sultan Islamic School. Di sini juga anda boleh dapatkan makanan halal dengan mudah kerana terdapat komuniti Muslim Korea di kawasan ini.

 

Lokasi: 39 Usadan-ro 10-gil, Hannam-dong, Yongsan-gu, Seoul

 

4) N Seoul Tower

N Seoul Tower

Imej via asiatours

Salah satu mercu tanda bagi Seoul adalah N Seoul Tower. Tak sah kalau anda ke Korea, tetapi tidak melawat bangunan ikonik di Seoul ini. Nama lama bagi bangunan setinggi 777 kaki ini adalah Namsan Seoul Tower. Huruf ‘N” untuk menara ini bermaksud NEW look, iaitu nama baru selepas penstrukturan semula menara ini pada Disember 2005. Salah satu tarikan yang terdapat di menara ini adalah Love-lock. Apa itu love-lock? Alaaa. Yang kunci nama anda dan pasangan pada mangga kunci, kemudian letak di pagar yang disediakan. Sekadar suka-suka. Bolehlah jadi bukti anda dan pasangan dah pernah sampai ke Korea.

 

Lokasi: 105 Namsangongwon-gil, Yongsan 2(i)ga-dong, Yongsan-gu, Seoul

Waktu Operasi: Setiap hari (10.00pagi – 11.00malam)

Harga Tiket: Dewasa 10,000 Won | Kanak-kanak 8,000 Won

 

5) Namsan Park

Namsan Park

Imej via trazy

Namsan Park juga merupakan salah satu lokasi bersejarah di Korea kerana pada zaman dahulu ia merupakan kawasan yang dijadikan kubu daripada serangan musuh. Selain memiliki nilai sejarah, taman ini juga memiliki lanskap yang memukau jiwa terutama sekali pada musim luruh. Di Namsan Park, anda dapat menikmati keindahan bunga-bungaan yang berwarna-warni di sekitarnya, mendengar bunyi burung-burung yang riang berkicaua. Malah terdapat juga kemudahan lain seperti gym, tempat memanah dan banyak lagi.

 

Lokasi: 231, Samil-daero, Jung-gu, Seoul

 

6) Changdeokgung Palace

Changdeokgung Palace

Imej via theseoulguide

Changdeokgung Palace merupakan salah sebuah istana yang menjadi tempat tinggal bagi keluarga diraja Korea. Anda boleh lihat seni bina tradisional istana Korea di bangunan ini. Sudah puas anda berjalan dan melihat keindahan kawasan istana ini, anda turut disajikan dengan kecantikan taman di luar kawasan istana pula.

Terdapat beberapa buah kolam teratai dan dikelilingi dengan pokok-pokok yang penuh warna-warni terutama pada musim luruh. Anda pasti terpegun dan berasa tenang dengan keindahan taman ini.

 

Lokasi:  99, Yulgok-ro, Jongno-gu, Seoul 03072, South Korea

Waktu Operasi: Feb – Mei: 9.00pagi – 6.00petang | Jun – Ogos: 9.00pagi – 6.30petang | Sept – Okt: 9.00pagi – 6.00petang | Nov – Jul: 9.00pagi – 5.30petang

Harga Tiket: Dewasa 3,000 Won | Remaja & Kanak-kanak 1,500 Won | Kanak-kanak Bawah 7 Tahun Percuma

 

7) Gyeongbokgung Palace

Gyeongbokgung Palace

Imej via asiaexchange

Dalam banyak-banyak istana yang ada di Seoul ni, Istana Gyeongbokgung Palace adalah istana yang paling banyak menerima pengunjung. Sebabnya istana ini yang paling cantik dan paling besar antara istana-istana yang lain.

Mengikut sejarahnya, istana ini dibangunkan pada tahun 1395 semasa pemerintahan Dinasti Joseon. Ia pernah musnah semasa berlaku Perang Imjin (1592-1598). Namun semasa perintahan Raja Gojong, ia dibaik pulih. Masa zaman Jepun menjajah pada 1911, ia musnah lagi. Kemudian Jepun perbaiki sedikit istana ini. Namun, oleh kerana Korea sangat menghargai sejarah serta identity mereka, maka istana ini dibaik pulih sehingga cantik dan tersergam indah seperti yang anda dapat lihat sekarang.

 

Lokasi: 161 Sajik-ro, Sejongno, Jongno-gu, Seoul

Waktu Operasi: Setiap hari (9.00pagi – 6.00petang)

 

8) Insadong

Insadong

Imej via visitkorea

Pada asalnya, Insadong adalah tempat untuk pelukis-pelukis di Korea mempelajari seni lukisan pada zaman Dinasti Joseon (1392-1910). Kini Insadong masih lagi mengekalkan semangat keseniannya dengan kewujudan pelbagai jenis galeri seni, pakaian, lukisan, kraftangan dan lain-lain lagi. Di sini jugalah anda boleh membeli barangan untuk menghasilkan kaligrafi, bermacam jenis teh, hanji (kertas tradisional Korea), hanbok (pakaian tradisional Korea) dan lain-lain lagi.

 

Lokasi: 62, Insadong-gil, Jongno-gu, Seoul

 

9) Namdaemun Market

Namdaemun Market

Imej via theseoulguide

Ia merupakan pasar tradisional terbesar di Seoul. Dikatakan terdapat 1700 lot kedai di Namdaemun Market. Pelbagai jenis barangan termasuk makanan yang dijual di sini. Ada produk tempatan dan juga produk import dijual di sini. Kalau anda ingin membeli-belah, jangan lupa untuk keluarkan kemahiran tawar-menawar anda. Selagi boleh tawar, tawarlah harga walaupun anda mungkin berinteraksi dengan peniaga seperti ayam dan itik. Untung-untung, anda dapat beli barang tersebut dengan harga yang sangat murah.

 

Lokasi: 21 Namdaemunsijang 4-gil, Namchang-dong, Jung-gu, Seoul

Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (11.00malam – 4.00pagi)

 

10) Bukchon Hanok Village 

Bukchon Hanok Village 

Imej via korea-hotels

Anda peminat drama Korea tentang kisah maharaja dan rakyat Korea pada zaman dahulu? Jika ya, Bukchon Hanok Village adalah tempat yang wajib anda lawati. Ini kerana, Bukchon Hanok Village adalah sebuah lokasi terbaik untuk anda menyelami budaya tradisional masyarakat Korea.

Sebaik anda melangkahkan kaki ke kawasan kampung ini, anda seperti sudah masuk ke era dinasti zaman Korea. Anda akan terlupa seketika kemodenan teknologi dan bangunan tersergam indah di Seoul kerana anda kini seakan berada di zaman tradisional masyarakat Korea.

Di kampung ini, tiada satu pun rumah yang mengikuti perubahan zaman, beratus-ratus rumah di sekitar Bukchon Hanok Village ini adalah rumah tradisional Korea ataupun digelar hanok. Banyak rumah-rumah klasik di sini yang dijadikan rumah tumpangan, restoran, pusat kebudayaan dan rumah teh. Jangan lepaskan peluang untuk memasuki hanok-hanok ini.

 

Lokasi: 37, Gyedong-gil, Jongno-gu, Seoul

 

11) BIFF Square

BIFF Square

Imej via lokopoko

BIFF Square atau nama panjangnya Busan International Film Festival terletak berdekatan dengan Menara Busan. Ia adalah lokasi terkenal dalam kalangan kaki shopping dan juga pencinta makanan. Jika anda datang ke sini sewaktu Busan Film Festival, mungkin anda boleh terserempak dengan artis-artis Korea.

Antara tarikan di sini adalah pasar malamnya kerana ia sangat meriah. Kalau anda datang ke sini jangan lupa untuk mencuba makanan popular yang terkenal dalam kalangan pelancong iaitu Hotteok. Di dalamnya terdapat kacang, serbuk cinnamon dan juga bijan. Memang sedap, malah harganya juga murah.

 

Lokasi: 20, BIFF gwangjang-ro, Jung-gu, Busan

 

12) Haeundae Beach

Haeundae Beach

Imej via topsimages

Dah penat berjalan ke sana ke sini sekitar Busan, apa kata kalau anda singgah ke Haeundae Beach pula. Sambil menghirup udara segar tepi pantai, bolehlah minum-minum kopi sambal menikmati pemandangan matahari terbenam yang mengasyikkan. Pantai ini juga sangat bersih. Memang best dapat bersantai-santai di pantai ini walaupun sekejap. Boleh hilang segala stress yang ada.

 

Lokasi: Haeundae-gu, Busan, South Korea

 

13) Masjid Al Fatah

Masjid Al Fatah

Imej via buahatikusurgaku

Selain Seoul, Busan juga terdapat masjid yang menjadi tempat ibadah dan aktiviti komuniti Muslim di Korea. Masjid Al Fatah dibina dengan bantuan pihak Turki sebagai tanda kerjasama kedua-dua negara membantu warga Muslim di sini.  Masjid ini juga menjadi pusat pembelajaran agama Islam bagi masyarakat Muslim.  Selain itu, di sekitar masjid ini juga terdapat restoren halal. Jadi, setelah anda selesai solat di masjid ini, bolehlah isi perut supaya kenyang. Barulah syok nak teruskan perjalanan anda untuk terokai sekitar Busan.

 

Lokasi: 113-13, Geumdan-ro, Geumjeong-gu, Busan

 

14) Sea Life Busan Aquarium

Sea Life Busan Aquarium

Imej via livingnomads

Sea Life Busan Aquarium adalah salah satu tempat menarik yang anda boleh lawati di Busan. Dah alang-alang datang sini kan, jadi bolehlah bawa anak-anak dan keluarga untuk melihat hidupan laut dengan lebih dekat di sini. Terdapat dalam sekitar 250 spesies haiwan marin berbeza di akuarium ini. Masa yang diambil untuk menikmati keindahan marin di sini adalah dalam sekitar 30 ke 40 minit.

 

Lokasi: 266, Haeundaehaebyeon-ro, Haeundae-gu, Busan

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (10.00pagi – 8.00malam) | Jumaat – Ahad (9.00pagi – 10.00malam)

Harga Tiket: Dewasa 29,000 Won | Kanak-kanak 23,000 Won

 

15) Gamcheon Culture Village

Gamcheon Culture Village

Imej via blueberryyummy

Perkampungan ini adalah destinasi wajib yang anda perlu lawati sekiranya anda ke Busan. Gamcheon Culture Village terletak di kaki bukit dan menghadap ke pelabuhan. Susunan rumahnya yang berderet-deret serta berwarna-warni membuatkan pemandangan di sini sangat cantik.

Perkampungan ini asalnya ibarat rumah setinggan sahaja dan agak terpinggir dari bandar Busan. Tetapi, setelah kawasan ini dimajukan dan dijadikan kawasan tarikan pelancong, perkampungan ini menjadi sangat cantic berwarn-warni seperti yang anda dapat lihat sekarang.

Perkampungan ini masih diduduki oleh penduduk setempat. Oleh sebab itu, jika anda ke sini, walaupun teruja dengan rumah yang ebrwarna-warni serta mural yang cantik di dinding-dinding rumah, tetapi dalam masa yang sama, perlu menjaga privasi penduduk setempat. Selain itu, jangan lupa pakai pakaian serta kasut yang selesa semasa ke sini memandangkan kawasan kampung ini jalannya bertingkat-tingkat.

 

Lokasi: 203, Gamnae 2-ro, Saha-gu, Busan

 

16) 83 Tower

83 Tower

Imej via visitkorea

Jika di Kuala Lumpur ada KL Tower. Di Seoul pula ada N Seoul Tower. Di Daegu pula, 83 Tower pula adalah mercu tandanya. Pemandangan pada waktu malam di sini sangat memukau. Nak lebih terpukau? Datanglah ke sini pada hari Festival Starlight diadakan, pada waktu ini, sekitar 8 juta lampu LED dinyalakan di sekitar menara. Lebih menarik, di sini juga terdapat ice skating rink.

 

Lokasi: 200, Duryugongwon-ro, Dalseo-gu, Daegu

Waktu Operasi: 10.00am – 10.00pm

Harga Tiket: Dewasa 33,000 Won | Remaja 14 – 19 Tahun 29,000 Won | Kanak-kanak 3-13 Tahun 24,000 Won

 

17) E-World Daegu

E world

Imej via jimatmelancong

E-World Daegu adalah sebuah taman tema indah yang terletak di sekitar 83 Tower. Di taman tema ini terdapat pelbagai aktiviti menarik untuk dicuba termasuklah roller coaster, boomerang, carousel, little car ride, magic castle dan banyak lagi. Kawasan di sekitar taman tema ini juga cukup menarik bagi anda yang ingin bergambar terutama sekali pada waktu malam kerana taman tema ini akan ditumpahi dengan cahaya yang penuh warna-warni.

 

Lokasi: 200, Duryugongwon-ro, Dalseo-gu, Daegu

Waktu Operasi: 10.00am – 10.00pm

Harga Tiket: Dewasa 16,000 Won | Remaja 10,000 Won | Kanak-kanak 9,000 Won

 

18) Incheon Grand Park

Incheon Grand Park

Imej via thatmykimchi

Taman ini bukan sekadar taman biasa-biasa, tetapi tersangatlah grand. Terdapat gunung-ganang, taman botani, tasik dan rumah-rumah hijaunya, ia sememangnya taman yang sangat sesuai untuk anda sekelurga bersiar-siar sambil bergambar. Tanpa mengira musim, Incheon Grand Park sentiasa memiliki lanskap yang indah.

Bukan hanya itu, taman besar ini juga turut lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti ruang berbasikal, khemah untuk bersantai dan perpustakaan kecil di mana anda boleh mendapatkan buku untuk dibaca sambil menghirup udara segar.

 

Lokasi: 180 Jangsu-dong, Namdong-gu, Incheon

Waktu Operasi: Mac – Okt (5.00pagi – 11.00malam) | Nov – Feb (8.00pagi – 8.00malam)

 

19) Incheon Children’s Science Museum

Incheon Children’s Science Museum

Imej via arch2o

Kalau dah namanya muzium untuk kanak-kanak, maka haruslah muzium ini sebuah muzium yang menceriakan dan interaktif. Di sini anda dan anak-anak dapat melihat pelbagai pameran menarik yang dalam masa yang sama dapat mencungkil kreativiti mereka. Antara pameran interaktif yang terdapat di sini adalah Dino Exploration, Book Study, Teaching Tools Study, Global Village Culture Search, Science Exploration, bilik seni, dan bilik 3D. Memang syok! Sambil anda sekeluarga bercuti ke Korea, dapat juga anak-anak anda pengalaman berharga yang bersifat ilmiah.

 

Lokasi: 1 Bangchuk-ro, Gyeyang 2(i)-dong, Gyeyang-gu, Incheon

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (10.00pagi – 6.00petang)

Harga Tiket: Dewasa & Remaja 13 Tahun Keatas 5,000 Won | Kanak-kanak 6,000 Won

20) Songwol-dong Fairy Tale Village

Songwol-dong Fairy Tale Village

Imej via ttnotes

Anda bercuti ke Korea dengan anak-anak kecil? Nah, ini dia lokasi pengubat jiwa anak anda, Songwol-dong Fairy Tale Village. Bukan setakat kanak-kanak, entah-entah yang dewasa pun turut teruja dengan perkampungan cerita dongeng ini.

Siapa yang tak seronok melihat karakter-karakter kartun terkenal di sekitar kampung ini. Walaupun kawasannya agak kecil, namun setiap pelusuk, tiang, dinding, bumbung, tingkap malahan tangga dihidupkan dengan warna-warni dan watak-watak kartun. Snow White, Cinderella, Jack and the Beanstalk, Peter Pan, Alice in the Wonderland dan bermacam lagi, semuanya ada di sini.

 

Lokasi: 38, Donghwamaeul-gil, Jung-gu, Incheon

 

Itulah dia 20 tempat menarik di Korea yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Korea. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Busan dan Tempat Menarik Di Sydney.

 

 


Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.