Sudah menjadi lumrah artis, setiap kisah mereka baik dari segi kerjaya mahupun peribadi, pasti akan menjadi tumpuan masyarakat. Namun, bila menyentuh soal penceraian, tidak semua artis terbuka untuk berkongsi mengenainya. Maklumlah, tiada insan yang mahu rumahtangga yang dibina atas dasar kasih sayang berakhir dengan penceraian.

Namun, seperti yang kita tahu, ajal, maut, jodoh dan pertemuan semuanya terletak di tangan Tuhan. Di sini, ammboi rangkumkan beberapa selebriti yang sebelum ini menafikan konflik atau pergolakan yang berlaku dalam rumahtangga mereka namun akhirnya hubungan mereka menemui titik noktah iaitu bercerai.

selebriti nikah cerai

Erra Fazira dan Engku Emran

Kontroversi mengenai pergolakan rumahtangga penyanyi serta pelakon, Erra Fazira sudah mula diperkatakan sejak dua tahun lalu, namun baik Erra mahupun Engku Emran, keduanya mengunci rapi mengenai perkara tersebut. Pelbagai spekulasi yang timbul kononnya Engku Emran sudah berkahwin lain dan mereka tidak lagi tinggal sebumbung, namun pasangan ini tetap mengambil pendekatan untuk tidak mengulas mengenai gosip yang timbul. Walau bagaimanapun, segala teka-teki mengenai rumahtangga mereka terjawab apabila pasangan ini sah bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam pada tanggal 18 Februari 2014.

Erra ketika ditemubual memberitahu dia mempunyai sebab merahsiakan mengenai masalah rumahtangga mereka lebih-lebih lagi ia melibatkan hal dalaman keluarga. Pasangan ini mendirikan rumahtangga pada 25 Oktober 2007 dan hasil perkongsian hidup selama enam tahun, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Engku Aleesya yang kini berusia 5 tahun. Ini merupakan perkahwinan kedua Erra selepas bercerai dengan Yusry Abdul Halim pada tahun 2006.

Awie dan Arni Nazira

Pemilik nama Ahmad Azhar Othman ini menceraikan isterinya, Arni Nazira dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan pada 16 Oktober 2006 selepas isterinya itu memfailkan tuntutan cerai pada 27 Julai 2006. Berita penceraian penyanyi rock ini ternyata agak mengejutkan ramai lebih-lebih lagi Awie mendedahkan dia sudah mendirikan rumahtangga dengan isteri keduanya, Rozana Misbun setahun sebelum mereka bercerai.

Awie yang mengadakan sidang akhbar beberapa hari selepas penceraian mereka memberitahu dia tidak berkongsi mengenai kemelut rumahtangga mereka kerana menganggap ia terlalu peribadi. Awie turut enggan mendedahkan punca sebenar keretakan rumahtangganya namun mengakui salah satu sebab adalah kerana pernikahannya dengan adik kepada Haliza Misbun itu.

Pelantun lagu ‘Tragedi Oktober’ ini berkongsi dia mempunyai sebab merahsiakan perkahwinannya dengan Rozana kerana mahu menanti masa yang sesuai untuk memberitahu Arni sekaligus mengelak penceraian dengan wanita itu. Namun, belum sempat memberitahu Arni, berita tersebut telah sampai ke pengetahuan Arni daripada pihak luar sekaligus menjadi punca kemusnahan rumahtangga yang dibina mereka. Hasil perkongsian hidup selama lapan tahun, pasangan ini dikurniakan dua orang anak iaitu Putri Aleeya Antasha dan Putri Aleefa Antasha.

Nora Danish dan Jejai

Belum sampai setahun jagung usia perkahwinan mereka, timbul desas-desus kononnya rumahtangga Nora Danish dengan Rizal Ashram Ramli mengalami keretakan. Walau bagaimanapun, pelakon drama ‘Puteri’ ini menafikan rumahtangga yang dibina pada 20 Jun 2006 itu sedang mengalami konflik.

Namun, pada 2008, pasangan ini telah menghadirkan diri ke mahkamah bagi perbicaraan permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah yang dibuat Rizal atau lebih dikenali dengan panggilan Jejai. Ketika prosiding tersebut, Jejai mengaku melafazkan cerai kepada Nora tiga hari sebelum ulangtahun kedua perkahwinan mereka di mana ketika itu Nora sedang hamil. Jejai turut mengaku melafazkan cerai sebanyak dua kali menerusi telefon di mana kali pertama pada Februari tahun sama. Pasangan ini mendakwa punca penceraian mereka adalah disebabkan tiada lagi persefahaman antara mereka.

Sasha Saidin dan Salyo

Kehadiran Sasha bersama ibunya pada 25 Jun 2012 di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur telah menarik perhatian pihak media yang kebetulan hadir bagi membuat liputan kes khalwat seorang pelakon. Sasha yang tidak menjangkakan kehadiran media ketika itu ternyata agak terkejut apabila ditanyakan mengenai urusannya di sana.

Anggota kumpulan Elite ini bagaimanapun memberitahu kehadirannya ke situ kerana mempunyai urusan keluarga. Namun, beberapa hari selepas itu, Sasha akhirnya mengaku tujuan sebenarnya hadir ke mahkamah adalah untuk membuat permohonan cerai dengan suaminya, Salyo Priyanto Nutosoemarsono.

Menurut Sasha, dia enggan berkongsi mengenai perkara tersebut kerana tidak mahu membuka pekung mana-mana pihak. Akhirnya, pasangan ini sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 10 Julai 2012 dengan talak satu. Hasil perkahwinan pada tahun 2007, mereka dikurniakan seorang anak iaitu Adam Aryasenna. Ia merupakan perkahwinan pertama buat Salyo dan kedua untuk Sasha.

Ana Dahlia dan Chef Riz

Kisah keretakkan rumahtangga pelakon Ana Dahlia dengan Chef Riz mula dihidu pada Oktober 2012 apabila pasangan ini dikatakan telah pergi ke mahkamah untuk mengambil borang penceraian. Walau bagaimanapun, kedua-duanya enggan mengulas mengenai perkara tersebut, namun mengaku rumahtangga mereka menghadapi masalah.

Ana dan Chef Riz akhirnya bercerai secara rasmi dengan talak satu pada 10 Disember 2012 di Mahkamah Rendah Syariah Kajang. Menurut Chef Riz, kesibukan dalam karier masing-masing dan tiada lagi persefahaman merupakan antara punca mereka memilih jalan untuk berpisah. Selain itu, perkenalan yang singkat iaitu lapan bulan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin pada 11 Disember 2011 juga merupakan antara sebab pasangan ini bercerai.

Nurul Wahab dan Ajai

Seperti lagu nyanyian mereka, ‘Keliru’, begitu juga dengan kisah penceraian mereka. Ramai yang tertanya-tanya tentang status pasangan ini sama ada mereka bercerai atau tidak. Nurul mendakwa Ajai pernah melafazkan cerai kepadanya sebanyak tiga kali sepanjang 10 tahun perkahwinan mereka iaitu pada 2001, Ogos 2006 serta September 2006.

Bagaimanapun Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 13 Disember 2006 mengesahkan bahawa dua artis terkenal itu masih sah sebagai suami isteri pada 2001 selepas Ajai membuat penafian secara bersumpah bahawa dia tidak pernah melafazkan cerai seperti didakwa oleh Nurul. Ajai memberitahu dia masih sayangkan Nurul, namun dia redha dengan ketentuan Ilahi jika tiada jodoh antara mereka.

Akhirnya, rumahtangga yang dibina oleh Ajai dan Nurul pada 25 Disember 1996 itu menemui titik noktah apabila pasangan penyanyi ini sah bercerai talak satu selepas Ajai melafazkan talak di hadapan Hakim Syarie Ghazali Ahmad, di Mahkamah Rendah Syariah pada 1 Mac 2007. Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan seorang anak, Ayu Nazirah serta mempunyai seorang anak angkat, Mohd Fairul Ihsan.

Maya Karin dan Muhammad Ali Steven

Gosip tentang pergolakan rumahtangga Maya dan Steven mula diperkatakan pada pertengahan bulan Februari 2010. Pasangan ini kemudian dilihat hadir ke mahkamah pada Jun 2010 secara berasingan sekaligus menimbulkan spekulasi kononnya mereka bercerai. Namun pelakon filem ‘Pisau Cukur’ itu menafikan perkara tersebut dan enggan memberi sebarang komen ketika ditanya media.

Difahamkan, pasangan ini ke mahkamah atas tujuan membuat pengesahan nikah selepas dua tahun berkahwin. Akhirnya, pasangan yang berkahwin pada 14 Ogos 2008 di Villa Corte de Lago, Itali ini sah bercerai talak satu pada 16 Julai 2010 di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, iaitu genap sepuluh hari tarikh pengesahan perkahwinan mereka.

Fiza Halim dan Adam

Perceraian pasangan ini baru sahaja disahkan oleh Mahkamah Syariah Shah Alam pada Isnin. Usia perkenalan yang singkat dipercayai menjadi salah satu sebab perpisahan Fiza dan Adam. Sama seperti pasangan-pasangan di atas, baik Fiza mahupun Adam, masing-masing menafikan pergolakkan rumah tangga mereka setiap kali diajukan soalan oleh pihak media.

Jika diimbas, konflik mula timbul dalam perkahwinan pasangan ini ketika di awal perkahwinan lagi apabila Adam dilaporkan memarahi Fiza di sebuah stesen minyak kerana berbual dengan lelaki yang dipercayai bekas teman lelakinya. Ketika ditemui selepas prosiding mahkamah pada Isnin, Adam mengakui dia masih sayangkan Fiza, namun redha dengan ketentuan Ilahi.

Sumber: GUA


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.