Kelmarin pelakon lelaki popular, Aaron Aziz telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur kerana mengalami masalah kesihatan. Bagaimanapun sumber berita memaklumkan, aktor berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Menurut isteri Aaron, Diyana Halik, Aaron sebelum itu mengadu sakit pada bahagian leher. Kesakitan berkenaan mula dirasakan Aaron pada lehernya sejak seminggu lalu. Bagaimanapun, Aaron sanggup menahan kesakitan itu kerana mahu menyelesaikan penggambaran sebuah telefilem. Namun, apabila kesakitan itu menular sehingga ke bahagian tangan dan jari sebelah kirinya menjadi kebas, dia terus membawanya ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. Hasil pemeriksaan, Aaron didapati mengidap penyakit Cervical Facet Arthritis pada bahagian leher menyebabkan ia senget sebelah serta tidak boleh banyak bergerak pada bahagian terbabit.
Sumber terkini memberitahu, Aaron sudahpun dibenarkan keluar hospital dan keadaan kesihatannya kini semakin baik setelah menerima tiga suntikan. Bagaimanapun Aaron perlu menjalani rawatan fisioterapi untuk susulan oleh kerana suntikan itu hanya bertahan selama sebulan sahaja.