“Ane, kam!” Saya dipangggil seorang lelaki tua yang melepak di depan rumah usangnya semasa saya sedang berjalan sendirian di sebuah perkampungan dekat Chidambaram tempoh hari. “Ona kap ti!” Suaranya garau mengajak saya duduk sebentar untuk minum teh bersama kawan-kawannya, malah menawarkan lagi sepotong kek pisang untuk dimakan. Saya pula hampir tak mampu berkata apa-apa menerima ketulusan persahabatan ini.

Jika anda menjelajah Tamil Nadu, ada satu hal yang selalu hadir: keramah-tamahan. Ia sentiasa hidup dalam budayanya samada anda gunakan Couchsurfing, Airbnb, ataupun berjalan sendiri masuk ke kawasan perkampungan. Tak kira betapa miskin penduduknya, taraf pelajaran ataupun latar belakang sosialnya, semua seakan berlumba menawarkan sesuatu pada orang luar.

Konsep ini sangat melekat dalam sanubari mereka. Begitu hebat, sampaikan saya jadi malu sendiri. Tuan rumah tak makan tak mengapa, asalkan tetamunya dihidangkan makanan yang cukup dan banyak. Kadangnya saya dipaksa untuk tambah makanan lagi walaupun perut sudah penuh terisi.

Satu perkara yang saya belajar di sini: Mencuci pinggan sendiri selepas makan dianggap sebagai tidak sopan. Sebagai tetamu, kita perlu membiarkan sahaja pinggan di tempat makan kerana kerja mengemas adalah tanggungjawab tuan rumah. Cara melipat daun pisang selepas makan pun ada caranya dan maksud tersendiri. (Bagi yang belum tahu, orang Tamil lebih prefer gunakan daun pisang berbanding pinggan sewaktu makan, dan budaya ini masih kuat di Tamil Nadu berbanding negeri-negeri lain).

Di negeri ini, saya telah menginap bersama penduduk tempatan di lima lokasi berbeza. Dari kota metropolis Chennai, Auroville, Thanjavur, Madurai, hinggalah ke Nagercoil di Kanyakumari. Sama sekali tak ada beza dalam hospitalitinya. Dan seperti inilah layanan yang saya terima di setiap rumah yang saya singgahi.

Saya teringat dengan kisah di Thanjavur, ketika saya ditegur pada suatu pagi. Subuh itu, semasa seluruh penghuni rumah masih larut di alam mimpi, saya keluar sebentar untuk minum chai (teh) di kedai seberang jalan. Sekembalinya ke rumah, saya ditegur oleh Pargunan,
“kenapa kamu keluar minum di kedai sana? Minta saja apa yang kamu mahu dan tak perlu dapatkan sendiri. Kamu dah buat keluarga saya ini seperti dalam kekurangan. Saya pasti malu kalau jiran memperkatakan tentang ini nanti.”
“Kalau kamu mahu minum, anak saya boleh masakkan teh, kalau kamu lapar, anak saya boleh sediakan makanan untuk kamu, saya harap kamu tak minum chai di luar lagi esok lusa.” Katanya dengan nada hampa.

Orang Tamil tak pernah bermain-main dalam bab melayani tetamu. Bagi mereka, ia menyiratkan penghormatan tertinggi kepada orang luar, kemurahan hati sebagai sebahagian dari ibadah, dan ketulusan untuk menolong sesama manusia seperti yang diajarkan agama hindu.

Ini membuatkan saya teringat dengan kisah-kisah tentang betapa dahsyatnya nabi dan para sahabat melayan tetamunya. Mereka sanggup tak makan dan membiarkan isteri dan anak-anak kelaparan asalkan perut tetamu dapat dikenyangkan. Apakah masih wujud lagi budaya sehebat itu dalam diri kita di zaman kini? Saya pun tidak pasti. Tapi ada beberapa pelajaran penting dan nilai-nilai murni dari agama lain yang saya bawa pergi dari tempat-tempat ini.

Usai sarapan pagi bersama mereka, saya langsung naik ke atas rooftop dan termenung sendirian. Sedikit tekanan dan rasa bersalah menyelubung diri. Hanya kerana secawan teh yang saya minum di kedai seberang jalan pada awal pagi.


Penulis: Siti Khadijah

Siti Khadijah

Merupakan pelajar dan kini menetap di Kuantan.Merupakan penulis separuh masa di Ammboi.com

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.