Adi Putra dan Nora Danish Ada ‘Keserasian’ | Adi Putra dan Nira Danish adalah antara pelakon terbaik yang menghiasi arena hiburan negara. Keberkesanan lakonan mereka sudah terbukti dengan kejayaan banyak drama mahupun telefilem. Kali ini keserasian antara mereka bakal teruji sekali lagi dalam filem Aku Terima Nikahnya yang mula menemui penonton di seluruh negara pada 11 Oktober 2012 ini.

Selepas meninggalkan impak bergandingan sebagai pasangan cinta menerusi drama Tentang Dhia yang pernah menghiasi slot Akasia TV3 suatu ketika dulu, emosi Adi Putra, 31, dan Nora Danish, 30, bakal direntap sekali lagi pula di pawagam. Malah, dek gandingan dan kombinasi yang terserlah ini juga pernah mencetuskan polemik sebagai punca pergolakan rumah tangga Adi bersama isterinya, Aida Yusof, Mei lalu.

Kedua-duanya dikatakan terjerat dengan cinta lokasi atau cinlok, namun ditepis kerana keserasian yang terjalin hanya berlandaskan paksi profesional di set penggambaran. Kali ini pula, Adi Putra dan Nora Danish bakal memegang watak sebagai Johan dan Arlisa dalam filem arahan Eyra Rahman menerusi produksi Metrowealth Pictures (MIG) milik David Teo ini.

Menghitung hari hingga tarikh tayangan filem berkenaan menjelma, kedua-duanya tidak mampu menyembunyikan getaran adrenalin yang mula mengalir laju. Kedua-duanya berkongsi debaran sama serta terjemahan diri dalam dunia seni selepas sedekad memilih jalan sebagai anak seni.

“Melihat kepada maklum balas gambar babak yang kami muat naikkan di Instagram sebagai contohnya, ramai yang tidak sabar menanti keserasian saya dan Nora sekali lagi. Daripada gambar babak itu ada yang sudah meramalkan kami sudah memberikan yang terbaik.

“Tetapi masih terlalu awal untuk membuat konklusi. Tapi itu juga tidak bererti kami cukup bagus. Mungkin di pandangan sesetengah pihak yang akan menonton filem ini nanti, kami masih belum cukup baik. Apa-apapun saya mengharapkan sokongan peminat filem tempatan untuk menontonnya dengan hati yang terbuka,” katanya yang bersedia menerima kritikan terhadap prestasi di dalam filem ini.

Cipta Keserasian Bersama Nora Danish

Menurut Adi, sebagai pelakon dia cuba yang terbaik dalam menzahirkan sesebuah watak yang diberikan termasuk mencipta keserasian dengan gandingan pelakon wanita yang ditugaskan. Mengenai gandingannya dengan Nora, Adi tidak menidakkan betapa kuat impak drama Tentang Dhia hingga membuka mata khalayak.

“Rentetan keserasian dalam drama itu, ia memberi bonus untuk saya dan Nora memanjangkannya ke versi filem pula. Saya juga tidak takut digandingkan dengan pelakon jelita kerana ada yang melihat ia mudah sebagai ruang untuk berlakunya cinlok. Ironinya, saya tahu posisi saya sebagai hak kepada seorang isteri.

“Tak dinafikan paras rupa itu antara satu bonus dalam penghasilan sesebuah karya. Tetapi pada akhirnya, peminat kini juga sudah mula bijak dalam menilai bakat daripada rupa semata-mata. Kualiti lakonan itu mengatasi segala-galanya. Saya percaya lakonan yang ‘cantik’ secara tak langsung mencantikkan diri pelakon itu,” katanya yang dipetik dari ruangan Hiburan, BH Online.


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.