Kecoh sebelum ini dengan cerita mengenai harta karun di Pulau Nangka, Melaka. Jika benar harta karun itu wujud, sudah tentu ia satu penemuan yang cukup bermakna apatah lagi ia dikatakan milik Kesultanan Islam Melaka. Oleh itu, usaha bagi mengenal pasti kewujudan harta karun di pulau berkenaan giat dijalankan. Info terkini, ia semakin menampakkan hasil apabila pintu ke bilik yang menyimpan harta berkenaan disahkan sudah ditemui.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata dalam laporan Sinar Harian, kejayaan itu bakal membuktikan sama ada kewujudan harta karun hanya satu mitos atau sebaliknya. Menurutnya, pihaknya sudah dimaklumkan bahawa syarikat dilantik, Smart Partnership International Sdn Bhd berjaya menemui pintu berkenaan selepas kajian dijalankan di pulau terbabit.

“Sekiranya tiada aral melintang, saya dan wakil kerajaan negeri akan ke pulau berkenaan pada 28 April ini untuk membuka pintu ke bilik itu. Berdasarkan perkembangan ini, saya yakin mereka dapat sampai ke bilik itu menjelang 30 April iaitu tarikh akhir yang diberikan kerajaan negeri kepada syarikat ini,” katanya.

Idris berkata, penemuan pintu ke bilik rahsia itu merupakan satu kejayaan memandangkan usaha mencari harta berkenaan telah dilakukan sejak 1980, bagaimanapun gagal. Mengikut kajian, katanya, terdapat lebih 20 bilik di sebalik pintu berkenaan yang menyimpan pelbagai harta dipercayai milik Kesultanan Islam Melaka.

harta karun pulau nangka

Menurutnya, kerajaan negeri akan menyerahkan tugas-tugas mengeluarkan harta berkenaan kepada Jabatan Warisan Negara apabila ia berjaya ditemui. Bagaimanapun, beliau berharap Kerajaan Persekutuan akan berkongsi harta berkenaan dengan Kerajaan Melaka apabila selesai tugas mengeluarkannya, memandangkan hasil dari harta berkenaan boleh digunakan untuk pembangunan negeri ini.

Malah, katanya, kerajaan negeri telus dalam menyenaraikan setiap barangan yang ditemui di dalam bilik itu kelak dan akan diumumkan kepada orang ramai. Jelas beliau lagi, pihaknya tidak mahu mana-mana pihak kelak membuat tuduhan bahawa ada dikalangan mereka mengambil barangan di dalam bilik itu untuk diri sendiri. Beliau berkata, fasa kedua nanti membabitkan usaha mengenal pasti sama ada harta ditemui ini merupakan harta peninggalan Kesultanan Melaka atau sebaliknya.


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.