Kadang kala kita sering mengalami masalah flight delayed ketika di lapangan terbang. Perkara ini menjadi satu masalah kerana ianya boleh mengganggu jadual aktiviti yang telah dirancang. Untuk mengurangkan sedikit rasa tidak puas hati, berikut ialah perkara yang anda boleh tuntut ketika flight anda delay di Eropah. Artikel membantu ini ditulis oleh Tuan Halid Haz.

Saya ingin berkongsi dengan anda apakah hak anda sebagai pengguna apabila penerbangan anda delay atau dibatalkan di negara-negara Eropah.

Mengikut akta European Commission – 261/2004/EC, penumpang boleh mendapat pampasan dari segi penginapan, tiket baru dan juga wang tunai (ketiga-tiga sekali) dalam keadaan tertentu.

Pertamanya, penerbangan dibatalkan atau delay agak kerap berlaku. Sepanjang 12 bulan lalu saya sudah mengalaminya 4 kali:

1. Disember 2016 – VIE-CDG (Air France)
2. Disember 2016 – VIE-BUD (Austrian)
3. Februari 2017 – VIE-CDG (Vueling)
4. Disember 2017 – FCO-VIE (Eurowings)


Penumpang layak dapat gantian tiket dan hotel percuma

Dalam kes 1, 2 dan 4 pihak airline memindahkan saya ke penerbangan keesokan hari dan memberi hotel 4* berdekatan lapangan terbang, termasuk makanan, sebagai pampasan. Kes 2, Vueling tidak mempunyai kaunter di VIE jadi saya terus beli tiket sendiri saja dengan Air France.

Gantian pembayaran mengikut akta European Commission – 261/2004/EC

Kes 1,2 dan 3 juga mendapat balik pampasan EUR 350 (voucher penerbangan), dan 2 kali EUR 250 (tunai). Kes 4 baru saja berlaku dan saya kini dalam proses meminta gantirugi EUR 350 (terpaksa hilang 1 hari bekerja. Jadi ia adil dan bukan kira ‘ambil untung’).

EUR 250 ini ialah pampasan tunai yang telah ditetapkan dalam akta ini bagi penerbangan lebih daripada 1,500KM. Dalam kes Air France, mereka menawarkan alternatif EUR 350 jika penumpang ambil flight voucher.

Di sini saya ceritakan kronologi peristiwa Ahad lepas sewaktu penerbangan saya dibatalkan:

1. Penerbangan asal FCO-VIE sepatutnya berlepas 21:31 malam. Ia ditunda ke 22:05 dan kemudiannya 22:45. Selepas itu pengumuman dibuat di gate bahawa ia telah dibatalkan terus. Sebab pembatalan tidak didengari dengan jelas.

2. Mengikut undang-undang EU, semua penumpang perlu diberitahu apakah hak mereka. Jadi kertas diedarkan. Kertas yang diberikan dalam Bahasa Inggeris, dan ini berlaku di Itali. Jadi anda boleh teka berapa ramai orang di situ yang betul-betul faham apa yang mereka boleh tuntut.

3. Oleh kerana ia sudah lewat malam, semua penumpang akan diberi tiket untuk esok. Kaunter tiket sudah tutup jadi tidak ada kata putus bilakah kami akan berlepas semula.

4. Pada pukul 1 pagi, penumpang dihantar ke Holiday Inn Rome. Pukul 6.15 pagi perlu tunggu bas untuk balik ke airport dan mendapatkan tiket baru.

5. Pukul 7.30 pagi saya mendapat tiket baru untuk penerbangan pukul 15:40. Jadi tunggu di airport saja. Makanan diberi percuma tapi kena tunggu pukul 10 pagi. Dari segi nilai tak begitu banyak (mungkin EUR10) jadi saya beli sendiri saja.

6. Pada masa yang sama saya menghubungi pihak Eurowings dengan email untuk meminta pampasan. Tiada jawapan sampai hari ini.

7. Semalam saya mengisi borang di laman web Schlichtungsstelle für den öffentlichen Personenverkehr e.V iaitu badan di Jerman yang mengendalikan arbitrasi sebegini. Mereka menjawab hari ini bahawa mereka sudah memulakan proses bagi pihak saya.

Tidak semua kes sebegini memerlukan penglibatan pihak ketiga. Dalam kes Air France dan Austrian Airlines, mereka sendiri beri pampasan itu dalam masa 2 minggu. Dalam kes Vueling, saya terpaksa gunakan pihak ketiga juga.

Amaran  : Terdapat banyak syarikat yang membuat claim sebegini bagi pihak penumpang, kemudian mengambil 25% daripada pampasan ini. Pastikan anda tidak ditipu.



8. Sekarang saya sedang menunggu proses ini untuk habis. Tidak pasti lagi berapa minggu.

9. Maklumat lengkap tentang hak penumpang ini ditulis di laman web Europe.eu.

Perkara diatas adalah pengalaman sebenar penulis. Walau bagaimanapun, anda perlu tahu bahawa perkara-perkara tersebut tidak dapat dituntut apabila pihak penerbangan membuktikan bahawa flight yang dibatalkan adalah beyond their control. Contohnya, flight delay disebabkan cuaca buruk. Semoga pembaca dapat menambah pengetahuan dari artikel ini.


Penulis: Siti Khadijah

Siti Khadijah

Merupakan pelajar dan kini menetap di Kuantan.Merupakan penulis separuh masa di Ammboi.com

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.