Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Artikel 88 Statut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) edisi 2010-2014 yang menidakkan hak ahli FAM mengeluarkan kenyataan membabitkan bola sepak Malaysia adalah sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau yang digantung dua setengah tahun kerana mengkritik pasukan kebangsaan secara terbuka turut menyifatkan artikel terbabit sebagai kejam yang akan hanya merugikan pembangunan bola sepak dan harapan peminat bola sepak tempatan.

“Kalau boleh saya ingin hapuskan saja artikel berkenaan, ia sebenarnya tidak membantu perkembangan bola sepak. Tapi hendak buat macam mana saya tidak ada kuasa, tambahan lagi saya sudah digantung dua setengah tahun tanpa dibenarkan merayu.

“Saya ingin katakan bahawa media sebenarnya tersalah menafsir Artikel 88. Tafsiran sebenar adalah hanya Presiden dan Setiausaha Agung FAM saja yang boleh buat kenyataan membabitkan bola sepak bukan terhad kepada pasukan kebangsaan,” katanya kepada Berita Harian, di Stadium Negeri, Petra Jaya kelmarin.

Terdahulu, apabila ditanya pemberita berkenaan perlawanan Sarawak menentang Kelantan yang berakhir seri 1-1, Annuar secara sinis berkata, saya kena minta kebenaran FAM terlebih dulu sebelum dibenarkan bercakap. Katanya, penggantungan itu diterima dengan hati terbuka walaupun agak perit untuk ditelan kerana terpaksa melepaskan dua jawatan penting iaitu Timbalan Presiden FAM dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

“Tidak mengapa saya digantung sebab saya percaya ada hikmahnya. Biarlah saya seorang membakar diri demi kepentingan bola sepak negara,” katanya.

Katanya, niat untuk membantu Presiden FAM Sultan Ahmad Shah dan Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah disalah erti sehingga menyebabkan beliau digantung. Petikan BHarian


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.