Pondicherry adalah destinasi saya yang seterusnya selepas Chennai. Semasa di dalam perjalanan yang menyusuri ECR (East Coast Road), saya mengubah perancangan apabila saya menemukan sebuah penempatan yang bernama Auroville kira-kira 6km sahaja lagi sebelum bas yang saya naiki tiba di Pondicherry. Pada mulanya saya cuma mahu melawat kawasan penempatan unik ini, tetapi malah saya telah menetap selama lapan hari dalam kunjungan saya ke sini.

Auroville adalah sebuah bandar yang diasaskan pada 1968 oleh seorang wanita Perancis bernama Mira Richard atau lebih dikenali sebagai ‘The Mother’ bagi penduduk setempat dan ia bertujuan untuk membangun menjadi bandar sejagat dan mewujudkan perpaduan manusia di mana lelaki dan perempuan dari berbagai negara dapat hidup bersama dalam keamanan dan keharmonian yang progresif tanpa sebarang undang-undang, kepercayaan agama, fahaman politik, dan perbezaan kaum.

Sesuai dengan mottonya: Fertile, Certitude, Sincerity, Revelation, dan Transformation, Auroville diharapkan untuk menjadi sebuah kota ideal bagi populasi 50 ribu orang. Seni bina bangunan-bangunan di sini menggabungkan unsur barat dan elemen India tradisional.

Ia terletak di landskap sempit di luar bandar, kawasan tanah merah, dan hutan hijau yang subur. Pendapatan utama diperoleh daripada pertanian, kraf tangan, makanan, projek pendidikan dan pembangunan teknologi alternatif. Seluruh kompleks memperoleh tenaga semulajadi yang dijana oleh panel solar dan kincir angin, dan sumber air dari perut bumi. Pembentukan komuniti Auroville pada asalnya adalah untuk mencapai keharmonian, yang membawa kehidupan bermakna melalui kerja-kerja fizikal yang disokong oleh disiplin dalam bentuk kesedaran rohani (spiritualisme) dan bukannya dogma atau perlakuan ritual.

Walau bagaimanapun, tempat ini ada sejarah naik turunnya, seperti perselisihan yang terjadi di antara komuniti Auroville dan Sri Aurobindo Society (SAS) di Pondicherry ke atas hak pemilikan kota ini selepas kematian ‘The Mother’. SAS telah menghentikan penyaluran dana kepada komuniti Auroville dan memaksa mereka untuk berdikari dalam sudut kewangan.

Perebutan kuasa semakin memuncak, lalu keganasan tercetus beberapa kali sehingga memaksa polis untuk membuat campur tangan. Hingga pada satu tahap, konflik ini menjadi sangat sulit sehingga beberapa negara barat terpaksa memberikan bantuan kepada penduduk Auroville. Bagaimanapun akhirnya Mahkamah Tinggi memutuskan untuk memihak kepada penduduk Auroville, dan Akta Auroville telah diluluskan yang meletakkan tanggungjawab bagi pentadbiran penempatan di tangan tujuh anggota majlis, terdiri daripada wakil kerajaan negeri, SAS, dan komuniti Auroville sendiri. Dan kini, Auroville mendapat sokongan dan bantuan dana daripada kerajaan pusat, Unesco, dan UN.

Terdapat lima perkampungan di sekitar Kuilapalayam menjadi milik Auroville. Komuniti Auroville berpegang kepada egalitarianism atau equalitarianism (doktrin yang memegang kepercayaan bahawa semua manusia adalah sama pada nilai asas mahupun status sosial. Ia adalah salah satu ideologi dalam falsafah politik). Pelbagai usaha yang mereka lakukan dan banyak peluang pekerjaan diwujudkan untuk memperbaiki kehidupan kaum berkasta rendah di kampung-kampung tersebut.

Setiap penduduk, tidak kira apapun jawatan yang dipegang, memperoleh pendapatan tetap 12 ribu rupee (sekitar RM 700) sebulan. Hampir tiga ribu orang dari 58 negara berbeza menetap di Auroville. Penempatan komuniti di sini tersebar luas dari kawasan hutan hinggalah ke pantai, dan kota eksperimen ini dibina bukanlah sebagai tempat pelancongan, tetapi kini bilangan pengunjung yang datang malah semakin meningkat saban tahun setelah pusat spiritual terpenting disini bernama Matrimandir siap dibina pada 2008.

Memandangkan kota ini bukanlah kawasan pelancongan, tidak banyak kawasan menarik yang boleh dikunjungi di sini. Tetapi komuniti Auroville mengalu-alukan pengunjung yang berminat untuk menetap sementara bagi mendalami dan memahami konsep kota ini, seperti mana yang saya lakukan. Terdapat banyak peluang untuk menjadi sukarelawan yang ditawarkan, seperti di Sadhana Forest, Solitude Farm, atau Buddha Garden di mana pengunjung berpeluang bekerja bersama penduduk tetap.

Dan akhir sekali, apa yang saya boleh katakan, Inilah India. Ada dunia yang penuh warna warni, ada dunia yang penuh misteri, ada juga dunia yang tersembunyi. Saya sentiasa bersedia untuk cerita-cerita baru dan pelbagai kejutan yang menanti pada hari-hari mendatang dalam perjalanan panjang saya ini.

Matrimandir yang bermaksud ‘Ibu segala kuil’ di dalam bahasa Sanskrit, adalah jantung kota Auroville. Berbentuk sfera berwarna emas dan berdiameter 36 meter, ia adalah tempat para penduduk tempatan bermeditasi. Tiada sebarang penyembahan yang berlaku melainkan pengunjung yang masuk ke dalamnya cuma akan merasai kesunyian dan keheningan yang mutlak


Setiap hari Jumaat, Sadhana Forest akan menganjurkan aktiviti trekking, tayangan filem, dan makan malam percuma kepada para pengunjung dan sukarelawan.


Pelbagai acara mengambil tempat di Sri Aurobindo Auditorium pada setiap hari Sabtu.


Pokok banyan dianggap suci di sini. Setiap dahan pokok ini mengeluarkan akar sebagai penyokongnya dan membolehkan ia terus memanjang.


Pondok di mana saya menetap semasa menjadi sukarelawan sementara di Auroville.


Aurobeach, salah satu pantai terbersih yang wujud di pantai timur India selain masih lagi belum tercemar.


Sebahagian anak-anak pokok gajus yang selesai ditanam para sukarelawan bagi membantu para petani di sini. Komuniti Auroville amat mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi sukarelawan dalam tempoh tertentu dan sedia memberikan penginapan dan makanan percuma sebagai pertukaran untuk kerja-kerja yang dibuat.

Penulis: Siti Khadijah

Merupakan pelajar dan kini menetap di Kuantan.Merupakan penulis separuh masa di Ammboi.com

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.