Sebagaimana yang kita semua maklum, Bajet 2017 dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 21 Oktober 2016 ini. Sudah tentu kita semua sebagai rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi agar bajet kali ini lebih mesra rakyat.

Memetik laporan Sinar Harian Online, laman sesawang bajet2017.najibrazak.com menjadi salah satu medium perkongsian rakyat untuk menyampaikan apa yang mereka mahu melalui Bajet 2017 sejak 5 September lalu.

bajet-2017-apa-yang-menjadi-harapan-rakyat-malaysia

Menurut laporan akhbar tersebut, didapati antara cadangan utama yang diutarakan adalah berharap kerajaan membantu rakyat ke arah meringankan kos sara hidup.

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) perlu diperbaiki…

Ada yang berpendapat skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) perlu diperbaiki dengan menyalurkannya dalam bentuk bantuan pendidikan, kesihatan dan kemudahan awam.

Terdapat juga cadangan supaya BR1M dihapuskan kerana faedah yang dirasai rakyat dianggap hanya berbentuk sementara dan meminta kerajaan menggunakan wang bagi bantuan itu untuk mengurangkan cukai harian sebanyak 15 peratus.

Antara cadangan lain adalah penggantian peruntukan subsidi minyak masak kepada pertambahan BR1M dan PR1MA bagi membantu rakyat yang perlukan kediaman sendiri.

Kawal harga barang keperluan…

Begitu juga dengan permintaan supaya kerajaan mengawal harga barang keperluan yang semakin meningkat menerusi tindakan lebih efisien.

Selain itu terdapat cadangan supaya RM10,000 simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat dikeluarkan pada umur 35 hingga 40 tahun. Ia untuk menampung kos sara hidup atau menjadi modal untuk berniaga.

Bagi kategori perumahan dan kehidupan bandar, cadangan popular adalah meminta kerajaan menyediakan rumah kepada golongan berpendapatan sederhana.

Begitu juga dengan gesaan supaya kementerian berkaitan mengawal harga rumah. Ini kerana harga kebanyakan rumah yang dikategorikan sebagai rumah mampu milik masih tinggi.

Perbanyakkan rumah rakyat…

Terdapat juga cadangan agar perumahan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah diperbanyakkan di kawasan yang memiliki jaringan stesen LRT dan MRT.

Untuk kategori pengangkutan awam, warga kota mahu syarikat-syarikat bas tidak lagi menggunakan bas-bas buruk kerana berisiko.

Ada juga pendapat cadangan tambang murah pada waktu puncak iaitu jam 6 hingga 7 pagi tidak sesuai dan perlu ditukar kepada jam 7 hingga 8 pagi kerana memberi kesan kepada institusi keluarga.

bajet-2017

Rebat 10 peratus PTPTN dan mansuhkan GST…

Dalam masa sama, ramai berharap pemberian rebat 10 peratus bagi bayaran semula Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diperkenalkan semula dan dinaikkan dari masa ke semasa mengikut baki tahun bayaran balik.

Rakyat khususnya kalangan pekerja berharap berlaku penyerapan perjawatan tetap bagi pekerja berstatus kontrak di sektor awam.

Untuk kategori pencukaian, perniagaan dan kewangan pula, ramai meminta pihak berkenaan tidak membenarkan pekerja asing berniaga di negara ini.

Ada juga cadangan mahu cukai barang dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan.

Naikkan pendapatan isi rumah…

Dalam pada itu, kerajaan digesa meningkatkan pembangunan dan pengurusan sumber manusia bertaraf dunia bagi menaikkan pendapatan isi rumah rakyat.

Memetik sumber yang sama, Pengarah Hak Asasi Manusia Manusia, Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna-pengguna Malaysia (Era Consumer Malaysia), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, isu yang masih membelenggu rakyat sehingga hari ini adalah peningkatan kos sara hidup.

“Macam mana tak terbeban dengan kos sara hidup apabila peningkatan kos tidak selaras dengan peningkatan pendapatan diterima. Saban tahun kita lihat kerajaan bentang bajet tetapi penyelesaian yang diberikan tidak menyeluruh.

“Sebagai contoh Bantuan Rakyat 1Malaysia bersifat sementara. Begitu bantuan rumah pertama, pembeli masih bermasalah untuk dapatkan pinjaman bank kerana syarat ketat disebabkan gaji rendah,” katanya.

Jelasnya, kenaikan harga barang juga menyebabkan kos harian meningkat.

“Harga barang akan sentiasa meningkat berdasarkan kos pengeluarannya. Tapi kalau gaji seseorang itu tidak naik, mereka akan terbeban,” katanya.

Tegasnya, antara punca utama kegagalan meningkatkan taraf sumber manusia di negara ini disebabkan struktur ekonomi negara itu sendiri.

“Saya hairan macam mana negara kita tidak boleh laksana dan tidak mempunyai wang sedangkan kita sebuah negara yang ada hasil bumi,” katanya.

Jelas, dalam Bajet 2017 ramai yang mengharapkan agar kerajaan berupaya untuk seimbangkan ekonomi semasa dan kos sara hidup yang semakin menekan.

Kini, tinggal tidak sampai sebulan sahaja lagi sebelum hari pembentangan. Semoga mereka yang berkenaan mampu merencanakan sesuatu yang lebih bermakna dalam pembentangan Bajet 2017. Insya Allah.


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.