Sayu hati baca berita ini. Kepada sesiapa sahaja, berhati-hatilah semasa ‘mengendalikan’ kenderaan anda. Walaupun kata pepatah ‘kemalangan tidak berbau’ namun jadikan ianya sebagai pengajaran dan peringatan. Anak kecil tidak tahu apa, jadi peranan orang dewasa untuk memastikan keselamatan mereka. Sebagaimana yang berlaku di Kuala Terengganu, bayi 10 bulan maut digilis kereta ibunya.

bayi 10 bulan maut digilis kereta ibu

Memetik laporan Berita Harian, hasrat seorang suri rumah mengundurkan kereta untuk kemudahan suami ke sekolah, bertukar tragedi apabila tindakan itu menggilis bayi lelakinya yang berusia 10 bulan, dalam kejadian dekat Bukit Besar pagi semalam. Kejadian jam 7.15 pagi itu berlaku apabila mangsa, Muhammad Faqih Mohd Fitri, dikatakan merangkak keluar dari rumah dan menuju ke belakang PROTON Exora milik keluarga itu tanpa disedari ibunya, Faziah Yusuf, 35.

Muhammad Faqih yang berlumuran darah akibat tersepit di bawah tayar belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) itu, sempat dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), tetapi meninggal dunia kira-kira 15 minit ketika dalam rawatan kecemasan. Bapa mangsa, Mohd Fitri Ngah, 40, berkata ketika kejadian beliau sedang berada dalam rumah untuk bersiap ke sekolah sebelum bergegas keluar sejurus mendengar orang menjerit.

“Sebaik keluar, saya terkejut melihat isteri mendukung anak kami yang berlumuran darah dan terus mengejarnya ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia 15 minit selepas itu,” katanya yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman itu.

Fitri berkata, menjadi rutin harian, isterinya mengundurkan MPV itu bagi memudahkan beliau keluar bekerja, tetapi tidak menyangka diekori anak bongsunya semalam. Seorang saksi dan juga jiran keluarga terbabit yang mahu dikenali sebagai Kak Ton, 34, berkata ketika kejadian, beliau melihat kanak-kanak itu berada di pekarangan tempat letak kereta.

“Saya terkejut dan berlari apabila melihat kereta tiba-tiba mengundur dan melanggar bayi itu. Saya menjerit ke arah ibunya supaya berhenti tetapi dia tidak dengar. Selepas pintu kereta diketuk, barulah dia memberhentikan kereta. Saya cuba mengangkat bayi itu tetapi kakinya tersekat di bawah tayar kereta. Hanya selepas kereta digerakkan ke depan, barulah saya dapat mengangkatnya yang dalam keadaan nyawa-nyawa ikan,” katanya.

Faziah tidak dapat ditemui wakil media kerana terlalu sedih dan trauma dengan kejadian menimpa anak bongsu daripada enam beradik. Jenazah Faqih disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Merbau Patah selepas Zuhur, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin, berkata kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

AL-FATIHAH untuk arwah.

p/s: Kena lebih berjaga-jaga semasa mengundur dan sebagainya sebab kejadian sebegini semakin kerap berlaku di rumah… Adakah kamera undur penting untuk elakkan kemalangan seperti ini?


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.