Kalau sebelum ini kita dihebahkan dengan kisah kecekalan seorang bapa yang menunggang motosikal bersama tiga anaknya untuk pulang beraya dari Sepang ke Pulau Pinang. Ini pula kisah seorang ibu yang nekad untuk pulang ke kampung selepas mendakwa ditinggalkan suami.

Berbekalkan RM15 nekad pulang ke kampung bersama dua anak dari KL ke Johor – Memetik sumber info, hanya berbekalkan RM15, seorang ibu nekad membawa dua anaknya menaiki sebuah motosikal dari Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung halaman di Tebrau, Johor.

Difahamkan, Normaliza Mustafa, 36, bersama suami dan dua anak lelaki Muhamad Shariz Daniel Abdullah, 11, dan Muhamad Shafiz Daniel, 10, hidup sebagai gelandangan di ibu kota, sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, suami yang berusia 37 tahun dikatakan menghilangkan diri sebelum Ramadan lalu dan gagal dikesan sehingga kelmarin, menyebabkan dia membuat keputusan membawa dua anak lelakinya itu pulang ke kampung untuk memulakan kehidupan baru.

Tiga beranak terbabit menaiki motosikal Honda Wave menempuh perjalanan sejauh 90 kilometer melalui Sepang sebelum terpaksa berhenti di Surau Al Hijrah Bandar Springhill dekat sini, selepas kehabisan petrol dan tiada wang.

Mengimbau kembali kisah hidupnya, Normaliza, suami dan anak sememangnya menetap di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Desa Mutiara, Tebrau, Johor sebelum datang ke Kuala Lumpur pada Oktober 2013 untuk ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya bagi menguruskan surat beranak anak.

Namun, sebaik tiba di ibu kota, pelbagai dugaan ditempuhi kerana tiada tempat tinggal dan dua anaknya iaitu Nordiana Shafiza, 12, yang ketika itu berusia 10 tahun manakala Shafiz baru berusia lapan tahun hilang.

Dengan bantuan pelbagai pihak, kedua-dua anaknya itu ditemui semula sebulan kemudian sebelum keluarganya dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk menempatkan empat anaknya di sebuah rumah kebajikan di Cheras, Kuala Lumpur, sementara dia dan suami mencari kerja.

“Lebih dua tahun kami hidup merempat. Saya mempunyai enam anak berusia 11 bulan sehingga 12 tahun, tetapi empat daripadanya saya tempatkan di sebuah rumah kebajikan kerana tidak mampu. Saya mengambil upah membasuh pinggan di beberapa restoran dan kadangkala mengemis demi sesuap nasi. Secara tiba-tiba suami menghilangkan diri beberapa hari sebelum menyambut Ramadan. Saya cuba mencarinya tetapi gagal, mungkin dia sudah tidak sanggup lagi hidup susah dengan saya,” katanya dipetik myMetro.

Normaliza, Shariz dan Shafiz tiba di surau berkenaan kira-kira jam 8 malam sebelum dibantu jemaah surau yang membuat kutipan dan berjaya mengumpulkan lebih RM200 untuk membantu tiga beranak terbabit meneruskan perjalanan.


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.