Kegembiraan mengikut kumpulan marhaban bagi meraikan 1 Syawal bertukar tragedi buat Abdul Rahman Endot, 43, apabila anak kesayangannya, Mohd Hafi Rayan Abdul Rahman, 2, maut selepas terkena mercun bola dalam kejadian di Kampung Ithnin Maarof, di sini Isnin lalu.

Mangsa, Mohd Hafi Rayan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kluang, dekat sini, akibat kecederaan di dada, muka, tangan kiri dan bahagian dalaman. Abdul Rahman berkata, dia bersama Hafi Rayan menyertai kumpulan marhaban bersama penduduk kampung berkenaan ketika kejadian kira-kira jam 12.45 tengahari.

“Sebaik memberhentikan motosikal di hadapan sebuah rumah bagi menantikan kunjungan kumpulan marhaban berkenaan, tiba-tiba sebiji bola mercun jatuh dari atas pokok dipercayai dibaling oleh seseorang meletup betul-betul di hadapan kami berdua. Sebaik saja mercun bola itu meletup, Hafi Rayan yang berada dalam dakapan saya terus terkulai bagaikan terkena tembakan,” katanya.

Dia bagaimanapun bergegas ke Klinik Simpang Renggam untuk mendapatkan rawatan awal dan kemudian dirujuk ke Hospital Kluang, Abdul Rahman turut mengakui sedih dengan kejadian yang menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu, namun reda dengan ketentuan Ilahi.

“Saya masih tidak dapat menerima kematian anak saya disebabkan kecuaian orang lain bermain mercun. Akibat kejadian itu, saya kini trauma setiap kali mendengar bunyi mercun dan kemungkinan menghadapi masalah pendengaran di telinga kiri,” katanya.

Mengimbas kembali sebelum kejadian, Abdul Rahman berkata anaknya itu sungguh gembira apabila dapat mengikutnya marhaban.

“Namun saya tidak sangka rupa-rupanya itulah petanda dia akan meninggalkan kami buat selama-lamanya…, kehilangan Hafi Rayan amat dirasai kami sekeluarga. Saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya berhubung insiden ini,” katanya.

mercun bola

Katanya, akibat kejadian itu, dia turut mengalami kecederaan ringan di muka, telinga dan bibir selain kerosakan di bahagian meter motosikalnya.

Sementara itu, polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut. Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Roze Shaari berkata, siasatan itu dijalankan walaupun pihaknya sehingga kini masih belum menerima apa-apa laporan daripada keluarga mangsa.

Menurutnya, polis tetap memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 304(b) dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta mengakibatkan kecederaan kepada mangsa. Polis sudah mengambil keterangan bapa mangsa dan beberapa saksi lain bagi bantu siasatan. [Sinar Harian]


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.