Kepada mereka yang berkhidmat dalam Skim Keselamatan dan Pertahanan Awam (KP), ada berita baik juga untuk anda. Kalau sebelum ini ramai yang mengeluh dan mengadu kenapa skim mereka diabaikan, anda pasti boleh tersenyum dengan cadangan terbaru dari Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Memetik laporan Sinar Harian, Cuepacs meminta kerajaan turut memasukkan Skim KP dalam senarai 100 skim perkhidmatan yang akan dikaji semula awal tahun depan. Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, gred perkhidmatan yang diguna pakai menerusi Skim KP oleh lebih 10,000 pengawal keselamatan awam dan polis bantuan seluruh negara itu dilihat tidak lagi munasabah dalam keadaan ekonomi semasa. Beliau turut mencadangkan Skim KP yang bermula daripada gred KP11 itu ditukar lantik menjadi gred KP17 dengan mengikut kadar gaji yang diterima pihak berkuasa tempatan atau Jabatan Pertahanan Awam.

datuk omar osman - presiden cuepacs

“Gaji gred KP11 yang diberi kepada pengawal keselamatan awam dan polis bantuan hari ini sudah sama macam gred 10 penjawat awam lain yang sudah disemak gajinya…ia dilihat tidak adil kerana tugas mereka lebih mencabar malah terpaksa berdepan pelbagai risiko demi menjaga ketenteraman awam. Kebajikan mereka perlu juga dijaga dan selaras dengan kajian semula itu, gred pengarah keselamatan di universiti juga dapat ditambah baik yang mana di universiti penyelidikan misalnya, pengarahnya layak mendapat gred sekurang-kurangnya Jusa C. Disebabkan kerajaan sekarang sedang melalui proses semakan skim perkhidmatan, saya berharap naik taraf Skim KP ini juga dapat diselesaikan tahun depan kerana ia tidak pernah dikaji sejak ia mula diperkenalkan,” katanya dipetik Sinar Harian.

Sementara itu, Datuk Omar Osman turut meminta kerajaan agar mewujudkan insentif khas bagi penguatkuasa dan anggota keselamatan yang bekerja shif lewat malam sebagai jaminan agar mereka lebih berdedikasi dalam membanteras tragedi yang tidak diingini sepanjang menjaga ketenteraman awam pada waktu tersebut. Selain itu, beliau turut berharap imbuhan tetap perumahan yang diterima penjawat awam yang tinggal di kuarters kerajaan dapat diberi sepenuhnya terutama bagi yang bekerja ‘on-call’ kerana bidang tugas yang terpaksa mengorbankan masa rehat penjawat awam tersebut.

Katanya, beliau akan berjumpa dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam masa terdekat untuk mengadakan perbincangan berhubung kajian semula serta cadangan berkenaan.


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.